
Saya pertama kali mendengar Jo Soegono dalam senarai artis cadangan Apple Music. Dan “Hujan Deras” menjadi trak yang datang dengan daya keterikatan yang kuat untuk saya menikmati dan mahu mengenal lebih dekat siapa Jo Soegono ini. Adunan Jazz dalam pengaruh Acid Jazz yang datang dengan groove dan pesona Raggae juga Bossanova memberi satu kesegaran yang dibutuhkan ketika itu.
Setelah itu Jo saya cadangkan hampir kesemua teman-teman. Pasaran muzik begini niche tetapi pabila sekali-sekali hadir ia begitu mengujakan untuk dinikmati. Mendengar Jo dalam EP perdananya “Prof Jo” (2023) buat pendengaran saya menerawang jauh daripada pasaran muzik semasa.
Antara lagu yang terisi cukup mengesankan lewat EP tersebut adalah “Mati Rasa” yang saya ulang dengar berkali-kali keran sifatnya yang cukup chill dan menyenangkan sekali. Terkini Jo menghasilkan EP keduanya “Rasa & Rasa” yang sekali lagi menongkah arus muzik semasa yang meneruskan ilham Jazz dalam balutan lirik berbahasa Indonesia.

Dan itulah yang membuatkan saya enjoy dengan Jo, Jazz jika dalam bahasa Inggeris itu biasa, dalam bahasa Indonesia juga bukan hal luar biasa tetapi Jo datang dengan vibes yang berbeza. Ia mengingatkan saya ketika pertama kali terpaku melewati album perdana Maliq & d’Essentials lebih dua dekad lalu.
“Rasa & Rasa” sekali lagi meneruskan keterujaan saya melewati muzik Jo Soegono. Lagu seperti “Kasi, Kasi, Kasi”, “Lepas Kendali”, “Kurela” dan “Kuakan Selalu” membuat saya melayang melewati satu perjalan album muzik yang berkonsep sebegini.
Transisi daripada satu lagu ke satu lagunya bersambung dalam satu naratif yang seiring. Masih mampu membezakan satu dengan lainnya, Jo cukup mengikat dengan melodinya yang catchy biar bukanlah sesuatu yang sinonim dengan pendengaran pendengar muzik semasa.
Album ini antara yang akan sentiasa saya putarkan sebagai peneman kerja juga melewati perjalanan ke tempat kerja sehari-harian. A perfect album untuk anda yang lelah dengan nada serupa hipdut yang semakin berlambakan.
9/10
ARTIKEL BERKAITAN