Pasara muzik 80-an dan 90-an hadir dalam ramuan muzik yang cukup ikonik iaitu Balada. Dalam edaran muzik yang dimonopoli komposer seperti Ahmad Nawab di era 70-an dan penghujung 80-an, muncul nama-nama baru seperti Adnan Abu Hassan, Azman Abu Hassan juga Mazlan Hamzah yang datang dengan ilham muzik yang lebih moden.
Irama Balada diberi nafas baru dengan feel kebaratan seperti apa yang banyak dibawakan Sheila Majid antaranya memberikan warna baru pasaran muzik ketika itu. Muzik Kita melewati katalog muzik Getaran Nostalgia dan menyenaraikan beberapa Balada yang jarang diperdengarkan.
Dihimpit Keraguan – Sheila Majid
Balada ciptaan Mazlan Hamzah ini menyunti kesegaran dalam pasaran muzik tempatan ketika diedarkan. Mungkin jika anda bukan pengikut Sheila lagu ini agak asing di pendengaran namun saya kira adil jika saya letakkan lagu ini sebagai salah satu lagu terbaik yang pernah dirakam Sheila di awal perjalanan bermuziknya di pertengan 80-an.
Kehausan Dalam Mimpi – Chris Vadham
Soloist yang cukup popular dengan hits “Hanya Nyanyian Dalam Sepi” antar yang memiliki lagu-lagu Balada 80-an yang cukup kuat. “Kehausan Dalam Mimpi” satu daripada yang ditulis dalam acuan muzik yang dibaluti puitis lirik yang menarik “Kau cuba membunuh kesepian // Dengan jeritan // Kuatnya menembusi kamar // Menembusi langit.”
Kasihku – Rahim Maarof
Lagu ini cukup dikenali hanya setelah dirakamkan Amy Mastura menerusi album keduanya “Pujaanku” yang turut melatari runut bunyi filem “Puter Impian”. Azman Abu Hassan meramu lagu ini dengan riff gitar bagi menyesuaikan dengan karakter vokal Rahim Maarof. Antara Balada yang cukup sedap didengar kerana dibaluti soul Rahim Maarof.
Perpisahan – Haliza
Bakat yang dididik S. Atan ini antara yang mungkin belum pernah anda dengar dalam radar Pop 80-an. Muncul dalam kegemilangan Sheila Majid dan kebangkitan Ramlah Ram menenggelamkan nama Haliza dalam radar Pop yang banyak disamakan dengan bakat lain seperti Noreen Noor, Rahimah Rahim dan Raja Ema yang ketika itu sama naik membina nama.
Seperti Hari Hari Berlalu – Fredo
Fredo usai fasa bersama Freedom melayari kembara bermuzik secara solo dengan pertaruhan muzik Pop 80-an yang banyak digunakan dalam runut-runut bunyi filem di era tersebut. “Seperti Hari-Hari Berlalu” antara lagu yang jarang diperdengarkan namum memiliki elemen cukup nostalgia pabila didengarkan kembali hari ini. Suara Freedo antara yang cukup ikonik dengan feel yang secukupnya.
Sepinya Perjalanan Ini – Nassier Wahab
Nassier Wahab cukup dikenali dengan Balada Melayu yang mendayu dan merintih. “Sepinya Perjalanan Ini” satu daripada Balada Nassier Wahab yang cukup kuat dua elemen tersebut. Seperti apa yang banyak dirakam oleh Ramlah Ram lagu ini ibarat versi lelaki jika anda dekat dengan lagu-lagu ciptaan Ahmad Nawab dan Akhbar Nawab.
Selamanya – Maya
Lagu ciptaan komposer Indonesia, Irvan Jonah memberi nuansa berbeza dalam menikmati persembahan vokal Maya yang lebih lembut di lagu ini berbanding apa yang kerap kita dengar menerusi lagu “Matahari”. Tiupan Sax di tengah lagu ini memberi taste berbeza saat pertama kali mendengarkannya.
Tanpamu Ku Sepi – Sharifah Aini
Antara Balada nyanyian Sharifah Aini yang jarang diperdengarkan tetapi cukup menyentuh rasaa saat mendengarkannya. Lagu ini memberikan kelebihan untuk Biduanita ini benar-benar menyerlahkan kehebatan vokal serta feel yang dia miliki. Korus lagu ini cukup haunting dengan bait lirik tulisan Habsah Hassan yang nyata menyentuh.
Siapa Yang Bersalah – Ramlah Ram
“Kau Kunci Contaku” dan “Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi” antara yang cukup ikonik sepanjang karier muzik Ramlah Ram. Selain “Kuterbakar Hangant Cintamu” sebuah lagi Balada berhantu Ramlah Ram yang mungkin belum ramai tahu adalah “Siapa Yang Bersalah” yang cukup menguji kemampuan vokalnya sebagai penyanyi. Feelnya cukup dijaga biar harus menjerit di nada tinggi.
ARTIKEL BERKAITAN