
Album: Yang Lebih Kau Cinta (2001)
Artis: Fauziah Latiff
Produser: Amin Abdullah / Helen Yap / Manan Ngah / Ross Arifin / Melly Goeslaw / Zul Mahat
P&C: EMI / Universal Music (M)
Nama Fauziah Latiff cukup besar dalam pasaran muzik Balada tempatan dengan puluhan barisan hits malar segar yang sudah mengisi jiwa-jiwa pendengar sejak penghujung 80-an lagi.
Berawal dengan “Digamit Memori” dia menjadi Ballad Sweetheart tempatan dengan hits lainnya seperti “Dia”, “Batas Menanti”, “Bukan Kemahuan Fikiran” dan “Enggan” antaranya.
Dengan barisan 12 album studio keseluruhan, “Sahabat” yang beredar di tahun 1995 menjadi antara album terhebat yang pernah dihasilkan bersama produser muzik berpengalaman seperti Adnan Abu Hassan dan Ross Ariffin.
Album tersebut sahaja sudah meletakkan nama Jee sebagai penyanyi yang cukup kukuh namanya di persada muzik tempatan. Lagu-lagu seperti “Batas Menanti”, “Sahabat”, “Kenari” dan “Medan Kasih” cukup kuat sebagai satu ramuan muzik Jee yang cukup disenangi.
Sebuah lagi album yang begitu menarik perhatian saya sepanjang karier muziknya adalah “Yang Lebih Kau Cinta” (2001) pertaruah Pop Komersil dengan barisan produser muzik Ross Ariffin sehingga Melly Goeslaw meletakkan album ini sebagai yang terhasil cukup matang dalam katalog Pop Jee sepanjang bermuzik.
“Yang Lebih Kau Cinta” single perdana album ini terhasil dalam acuan Balada yang sememangnya menjadi forte Jee sepanjang karier muziknya. Balada ini terhasil cukup solid dalam memancing jiwa-jiwa Melayu yang sememangnya sukakan irama mendayu begini.
Memberi satu keseimbangan di album ini Jee tidak hanya mempertaruhakan Balada semata. Lagu-lagu Pop seperti “Aku” (Helen Yap) meneruskan kelangsungan lagu-lagu Pop Jee sebelum ini seperti “Sandarkan Ke Bahuku”, “Resah” dan “Sahabat”. Ini antara lagu-lagu yang memberi warna berbeza dalam menyerlahkan karakter vokal Jee.
Album ini terisi balada-balada yang kuat menurut saya untuk dikomersilkan sebagai naskhah radio. “Igauan Semalam” antara yang begitu menarik pendengaran saya akan struktur muziknya dengan korus yang cukup sedap penghasilan melodinya.
Sebuah lagu ciptaan Melly Goeslaw berjudul “Kedinginan” juga antara lagu yang cukup kuat di album ini. Penyampaian Jee di lagu ini hampir melupakan saya akan lagu ini diciptakan Melly kerana selalunya ciri khusus Melly itu sangat kuat di lagu-lagunya tetapi berbeza di lagu ini.
Ross Ariffin dalam magis lagu-lagu ciptaannya buat Jee diteruskan di album ini dengan penghasilan melodi malar segar “Aku Seadanya” – terhasil dalam satu feel yang cukup kemas perasaannya buat vokal Jee yang begitu in control di lagu ini.
Seperti apa yang kita dengar dan puas melayani Jee di lagu seperti “Ku Pohon Kemaafan”, “Dia” dan “Tiada Nokhtah Cinta” begitu jugalah saya puas menikmati alunannya di lagu ini. Kombinasi komposer – penyanyi ini begitu menyatu sangat baik dan matang sekali.
Yang Lebih Kau Cinta pasti menjadi album yang cukup istimewa buat penggemarnya. Dalam gagasan Pop Balada wanita nama Jee dan rangkaian lagu di album ini masih diingati biar sudah hampir 20 tahun album ini diedarkan.
Dengarkan album penuh “Yang Lebih Kau Cinta” yang diedarkan pada tahun 2001 ini di saluran YouTube Getaran Nostalgia.
ARTIKEL BERKAITAN