
“Aura bintangnya berkilau sejak awal menceburkan diri dalam bidang nyanyian di pertengahan 80-an dan sehingga hari ini masih belum pudar gemerlap bintang yang digilap.”
Terlahir daripada program pertandingan nyanyian dan bergelar juara itu satu stepping stone yang cukup baik untuk seseorang penyanyi itu dikenali dan dihargai bakatnya ke peringkat lebih komersil. Hal ini sudah terbukti dalam banyak pertandingan nyanyian seperti Bintang RTM, Asia Bagus, Sinaran Passport Kegemilangan, Akademi Fantasia, Mentor dan lainnya.
Nama Ramlah Ram satu antara ratusan juara pertandingan nyanyian yang hadir dalam kredibiliti menyanyi yang cukup hebat sekali. Nota-nota tingginya dalam feel Melayu menerusi lagu-lagu hebat seperti “Kau Kunci Cintaku”, “Cintaku Hanyut di Lautan Sepi” sehingga Pop malar segar “Apa Khabarmu di Sana” dan “Diam-Diam Jatuh Cinta” akan sentiasa diingati.
Melewati katalog Pop muziknya yang berawal pada tahun 1987 dengan album terbitan Datuk Ahmad Nawab berjudul “Sabarlah Sayang” sehingga yang terakhir tampil dengan single “Masar Cinta” – Nama Ramlah Ram tidak lagi padam dalam radar popular penghibur tempatan.
Muzik Kita bertemu dengan Biduanita Pop – Ramlah Ram berbual bercerita tentang kembara muziknya yang cukup panjang namun masih belum masih mahu menokhtahkannya. Semuanya kerana kezaman, keterujaan bermuzik yang belum pernah padam. Ikuti temubual eksklusif kami bersama Biduanita Pop Melayu Ramlah Ram.
MK: Jika kita putar kembali masa apa sebetulnya yang membuatkan Ramlah Ram itu mahu bergelar seorang penyanyi?
RR: Sebenarnya saya memang sangat aktif di sekolah membuat persembahan dan menyanyi tapi untuk menjadi penyanyi ketika itu belum ada keyakinan. Memang tak pernah bercita-cita pun tapi minat tu ada. Boleh dikatakan semuanya sebab abang sulung saya nak sangat saya jadi penyanyi, benda tu jadi semangat untuk saya cuba untuk menyanyi. Family lah yang sangat mendorong.
MK: Selepas menang memang terus dapat offer recording?
RR: Sebenarnya sebelum menang lagi pertandingan dalam peringkat quater final saya dah dapat offer untuk jadi recording artiste tapi disebabkan kita masih dalam pertandingan kita kena mematuhi syarat-syarat bertanding yang tak membenarkan peserta ada kontrak rakaman. Tapi lepas menang Bintang RTM saya terus di offer Datuk Ahmad Nawab untuk record album ketika itu.
MK: Selepas menerima tawaran tersebut Kak Ramlah memang tahu itu akan jalan panjang yang Kak Ramlah akan pilih sebagai karier atau sebaliknya?
RR: Sebenarnya masa buat keputusan untuk masuk pertandingan itu pun dah fikir sebenarnya untuk ketengahkan bakat sebagai penyanyi. Tapi masa mula-mula tu kita tak fikir pun menang atau tak sebab saya rasa bila dah melangkah ke situ untuk ketengahkan bakat untuk jadi penyanyi saya dah ready kalau ada offer, saya akan terimalah.

MK: Tahun 1986 Album pertama diedarkan dengan judul “Sabarlah Sayang” – Kalau kita lihat trend muzik ketika itu Malaysia sudah evolve dengan sound yang lebih ke depan. Sheila Majid dan Freedom Antaranya. Muzik Ramlah Ram kalau saya katakan sekadar mengulang formula Sharifah Aini & Uji Rashid, Kak Ramlah setuju?
RR: Ya saya tahu tentang hal itu tapi mungkin jiwa saya sudah ke arah itu membuatkan lagu-lagu saya banyak sebegitu. Lagu-lagu yang berbentuk kemelayuan. Datuk Ahmad Nawab jenis banyak melihat karakter sebelum membuat lagu. Dia akan bawa saya keluar berbual dengan kita dan tengok cara kita. Sebab kalau nak diikutkan saya suka semua jenis lagu, semua saya dengar. Daripada Rock semua lagu sedap saya sengar tapi saya tahu apa yang sesuai dengan saya. Jadi maknanya untuk saya rekodkan mesti bersesuaian dengan vokal dan jiwa.
MK: Dari segi persaingan ada tak kepayahan album pertama itu diketangahkan?
Bagi saya yang pertama sekali bergantung pada rezeki. Apa yang saya buat bila dah berusaha sepenuhnya dan buat yang terbaik selebihnya saya serah pada rezeki. Album pertama memang menguji walaupun nama tu dah dikenali daripada pertandingan Bintang RTM tapi album pertama tu dari segi impak tak begitu kuat sangat. Faktor masalah dalaman macam recording company tutup, saya tak dapat royalti antara cabaran awal dalam kerjaya saya.
MK: Album kedua Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu (1985) terjual lebih 300,000 unit. Expect tak album tersebut akan begitu diterima?
RR: Sebenarnya kita takkan duga. Kadang-kadang lagu bagus semua bagus tapi lagu tak boleh pergi, tak boleh hits. Semua saya berpegang pada rezeki. Saya sebagai penyanyi hanya memberikan apa yang terbaik.

MK: Disebabkan kejayaan album tersebut ada pressure tak untuk menghasilkan album seterusnya?
RR: Masa tu saya tak pernah terfikir ke situ. Saya tengah seronok memberikan apa yang terbaik sebagai seorang penyanyi. Lagipun waktu itu saya tak ada masalah lagu tak hits. Cuma mungkin selepas selepas fasa tersebeut ada juga kepayahan dan tekanan menghasilkan yang lebih baik.
MK: Nama Ramlah Ram cukup dikenali dengan versatility dalam nyanyian. Tanpa perlu terikat dengan satu jaluran muzik sahaja. Balada, Pop, Dangdut, Irama Malaysia sehingga kolaborasi bersama bakat Hip-Hop seperti Sleeq dan Caprice. Dari segi bermuzik semua dah dicuba namun yang mana memberi kepuasan sebenar untuk Ramlah Ram?
RR: Macam saya cakap tadi saya suka dengar semua jenis lagu. Dan dalam pada itu saya dah lalui banyak zaman yang membuatkan saya kena faham citarasa psaran semasa. Dalam album-album saya sendiri dah ada banyak elemen dalam satu sebabnya nak menarik pendengar lebih muda dengan berkolaborasi dengan penyanyi-penyanyi muda. Jadi dari situ ada peminat-peminat muda.
Tapi sebenarnya bila saya buat show ramai je orang-orang VVIP yang suka Dangdut.
MK: “Selamat Jalan Romeo” menjadi satu fasa berbeza karier muzik Kak Ramlah. Muzik Dangdut diterima cukup meluas ketika itu dan tak salah jika saya katakan kejayaan album itu menjadi pendorong kepada fenomena Dangdut.
RR: Sebenarnya ada cerita, saya ni banyak mendengar lagu-lagu Hetty Koes Endang yang semua pun maklum dia menyanyikan macam-macam jenis lagu dan Dangdut satu daripadanya. Tujuan album “Dangdut” itu dihasilkan sebab saya cuba untuk menyedarkan tanggapan orang ramai yang mengatakan muzik Dangdut ni sebagai muzik murahan yang hanya disukai orang-orang kampung. Tapi sebenarnya bila saya buat show ramai je orang-orang VVIP yang suka Dangdut.
Maksudnya di sini saya nak bagitahu semua dalam muziknya tak ada kelas – tinggi atau rendah, semua sama. Album “Dangdut” sebenarnya pada awal mendapat tentangan syarikat rakaman tapi alhamdulillah saya berjaya buktikan album ini berjaya mendapat perhatian orang ramai. Dan recording company mula berani nak keluarkan album-album dangdut yang selama ini takut Dangdut tak jual.

MK: Boleh kongsikan cabaran terbesar untuk sustain sebagai penyanyi di Malaysia, untuk kekal relevan berdekad lamanya?
RR: Untuk menghasilkan lagu-lagu baru. Bebanan itu bukan pada diri tapi pada peminat. Sebab kita tak tahu apa yang dapat memuaskan hati peminat. Selain itu cabaran dari segi cara promosi dan corak pemasaran semua tu berubah. Itu cabaran untuk saya face – situasi berbeza-beza pada era berbeza. Semua benda berubah dan cabaran untuk menyesuaikan diri dengan pasaran sekarang itu menjadi cabaran utama. Tapi dalam cabaran itu saya tak boleh nak jadi orang lain tapi kena sentiasa belajar sesuatu yang baru.
MK: Berdasarkan pengalaman yang lepas, ada tak hal yang akak kesalkan?
RR: Sebenarnya masa saya dah bertekad untuk kadi artis tu saya dah ready untuk jadi hak orang ramai. Semua benda akan jadi perhatian, jadi tak ada rasa kesal sekali pun kadang-kadang tu rasa perit yang macam dah nak tutup buku, tak nak nyanyi dah tapi bila fikir balik tak semua orang diberi bakat yang saya ada jadi saya patut bersyukur. Semua orang ada jalan cerita masing-masing tapi semua tu adalah pengajaran. Kalau saya kerja dekat luar pun saya akan ada cabaran lain. Cuma bezanya saya orang kenal kita buat salah sikit pun orang akan bercakap. Itu saja.
MK: Dari segi imej, kak Ramlah pernah tak hadapi satu fasa yang mungkin akak struggle nak cari identiti akak dalam membina brand image yang bersesuaian?
RR: Dari segi nyanyian tidak tapi dari segi penampilan ya saya pernah lalui satu fasa orang kritik apa yang saya pakai. Masa bersama BMG ada dulu mereka sediakan image consultant iaitu Norma Norel tapi still orang akan pertikaikan apa yang kita pakai. Orang lain pakai okey kadang bila kita pakai orang tetap akan kritik. Tapi hal itu biasa bagi saya.
MK: Dato’ Ahmad Nawab di mata Biduanita Ramlah Ram?
RR: Sebelum saya kenal ramai yang cakap dia garang orangnya tapi bila jumpa dah kenal tu dia memang seorang yang amat teliti dan tegas. Saya pernah disuruh balik seingat saya sebab sebelum masuk studio saya tak makan. Dia nak bila saya masuk studio dalam keadaan betul-betul ready. Disiplin tu penting untuk dia. Dia takkan marah tapi saya tahu bila dia diam tu dia tengah marahlah tu.
Datuk Ahmad Nawab seorang yang sangat teliti dan bertanggungjawab.
MK: Dalam banyak-banyak album yang mana paling memberikan kepuasan buat Kak Ramlah?
RR: Kalau nak ikutkan saya suka dengan semua album. Setaip album bagi kepuasan yang berbeza-beza. Kalau satu je mungkin tak ada tapi kalau dari segi kejayaan itu memang album Kau Kunci Cintaku. Saya jenis akan sentiasa ada perasaan nak buat lebih setiap kali keluar dengan album baru. Bila dengar balik mesti akan ada saja yang tak cukup dan nak buat lebih baik kalau boleh.
MK: Boleh kongsikan pengalaman studio yang paling memberi kesan buat Kak Ramlah.
RR: Oh sebenarnya lagu Kau Kunci Cintaku (Dalam Hatimu) tu sebenarnya memang saya record lepas saya menangis. Sebab dengan Datuk Ahmad saya disuruh untuk feel lagu tu sampai menangis. Saya sampai tak tahu nak buat macam mana lagi, saya keluar dari studio sebab geram rasa nak tumbuk muka dia (Hahaha..) sampai saya betul-betul menangis. Lepas tu masuk studio saya terus rakam. Pengalaman yang menarik sebab lepas bila kita dengar balik hasil rakaman baru kita faham, oh.. ini yang dia nak rupanya.
MK: Sebagai senior dalam bidang ini, pandangan Kak Ramlah tentang perkembangan muzik hari ini?
RR: Kalau dulu kita menitikberatakan penghasilan melodi dan lirik yang besarkan sifatnya tapi hari ini lagu-lagu lebih santai dan ringan. Tapi bagi saya bagus juga banyak cabangnya sekarang orang lebih ada pilihan dan semua ni berubah kerana peredaran zaman.
ARTIKEL BERKAITAN
https://muzikkita.com/betariseni-noraniza-idris-dasawarsa-seni-penyanyi-saduran-ke-biduanita-irama-melayu-asli-paling-dihormati/