
Lagu: Sesal Tak Bermakna
Artis: Jaclyn Victor
Komposer / Lirik: Adrian Puan / Gerald Sellan
Produser: Gerald Sellan / Mux Ryxor
Saya senang melihat Jac kembali aktif bermuzik dengan penghasilan single demi single serta projek bermuzik lainnya yang membuktikan kemenangan yang diberi di All Star GV dulu tidaklah disia-siakan. Awal tahun ini dia hadir dengan single uptempo “Kejutkan Aku” yang dihasilkan mencukupi dengan ekspetasi pendengar.
Dan terbaru Jac kembali lagi dengan sebuah single yang kali ini mengendong ilham Balada (Seperti apa yang pendengar semasa mahukan) yang juga buat kali ketiganya dia bekerjasama dengan Adrian Puan yang menghasilkan dua single sebelum ini termasuk “Kembalilah”.
“Sesal Tak Bermakna” memiliki melodi standard Balada yang biasa kita dengar dengan struktur melodi yang tidak kompleks, korus yang menjual jiwa dan suara Jaclyn Victor sebagai pelantun. Mungkin hal-hal ini sudah banyak di pasaran muzik Balada khususnya namun kelainannya kita dapat pada persembahan vokal Jac.
Emosinya dijaga baik. Bahagian verse awalnya sehingga korus dijaga tertib temponya agar tidak terburu-buru. Hal ini membenarkan kita sebagai pendengar benar-benar larut dalam emosi Jac yang begitu membaluti sempurna bahagian pertama lagu ini. Kemasan piano yang melatari hampir keseluruhan lagu juga membantu lagu ini menjadi lebih menarik struktur muziknya.
Mendengarkan lagu ini seperti satu kesinambungan “Beribu Sesalan” yang pernah dirakam Jac dulu bersama Ning Baizura dan Shila Amzah. Korus dihujungnya yang diulang dengan lirik berbeza agak menjenuhkan dan terasa lama untuk saya dan ia dimatikan begitu sahaja di hujungnya.
Dan pabila difikirkan juga setelah dua tiga kali mengulang dengar, lagu ini sepertinya akan memberi impak berbeza jika liriknya ditulis dalam bahasa Inggeris. Jac mungkin boleh pertimbangkan hal ini.
“Sesal Tak Bermakna” dihasilkan saya kira benar-benar mahu mengikat pendengar muzik tempatan yang akan memberi komen-komen seperti AJL material, road to AJL dan yang sepertinya. Tapi jika itu sasarannya juga bukanlah masalah pun sebenarnya. Setidaknya Jac tahu dan faham apa yang pendengar semasa mahukan.
6.5/10
ARTIKEL BERKAITAN