Untuk menghasilkan sesuatu yang di luar zon komersil pasaran muzik tempatan bagi saya adalah sesuatu yang cukup berani seseorang pemuzik lokal mampu lakukan. Risikonya besar, jika ia berjaya hal ini mampu memberi pulangan pelaburan. Jika sebaliknya ia mungkin tidak merugikan daripada segi kepuasan berkarya namun investment dalam bentuk wang yang dikeluarkan mungkin menjadi satu pembaziran.
Beverly Matujal bukan nama besar pasaran muzik komersil mahupun indie. Namun setelah mendengar dan melihat kebolehan yang dimiliki, Beverly saya kira harus diangkat kerana keberaniannya memberi satu warna cukup berbeza pasaran muzik tempatan.
Keluar daripad zon selesanya yang sering tampil mellow menerusi beberapa single sebelum ini seperti “If I Fall in Love” dan “Escalate” – Beverly Matujal, bakat kelahiran Kota Kinabalu ini tampil dengan single up tempo berjudul “Goldmine”.
Lagu yang ditulis dan diproduksi sepenuhnya Beverly ini mengangkat isu materi dan nilai diri dalam merdu alunannya menerusi lagu berdurasi 3.42 minit ini.
“Goldmine” terlahir sebagai satu variasi yang cukup penting dalam pasaran muzik Malaysia. Melodinya dibikin dalam ramuan komersil dengan penelitian di bahagian produksi muzik yang baik. Formulanya sudah cukup untuk menjadi naskhah mesra pendengar.
Melewati kalender muziknya, Beverly banyak dipengaruhi legenda muzik folk dan country seperti Joni Mitchell, Carole King dan Dolly Parton dengan feel lebih current daripada bakat muda seperti Kacey Musgraves dan Gabrielle Aplin.
Keberanian Beverly membawa genre yang begitu jarang diambil peduli pasaran lokal ini saya kira harus diberi pujian. Setidaknya satu usaha daripada bakat muda sepertinya ini tidak membuatkan kita malu untuk diketengahkan ke peringkat lebih global. Hasil karyanya cukup tersendiri dan bersifat antarabangsa.
Bakat seperti Beverly dan beberapa rakan perjuangan lainnya, Amni Musfirah, Jamilah dan The Impatient Sisters memberi satu citarasa muzi yang lebih memikat. Semoga akan ada ruang untuk mereka diangkat ke peringkat lebih tinggi.
Kugiran indie folk tempatan The Impatient Sisters bukan nama baru dalam persembahan kraf muzik yang cukup tersendiri. Pasaran muzik mereka biar tidak besar di lapangan komersil masih cukup relevan dan punya potensi besar untuk dikembangkan di masa depan.
Sempat mengedarkan single bahasa tahun lalu menerusi “Hanyut” Theimpsis meneruskan feel folk dalam persembahan muzik mereka menerusi lagu terbaru “Hopeless” yang bakal beredar 26 April di semua gedung muzik digital.
Tampil lebih mellow kali ini dengan feel country dan folk yang cukup lembut, “Hopeless” saya ibaratkan bagai sebuah lullaby sepi yang sempurna mengisi jiwa-jiwa yang ditinggalkan.
Meneruskan melodi lembut yang menjadi signature muzik mereka seperti Far Away, Oh Kawan, Hanyut dan hit Hey There Young Sailor – Hopeless bakal menjadi seuah lagi lagu yang akan meneruskan kelangsungan muzik mereka.
The Impatient Sisters mula bermuzik sejak tahun 2011 dan sempat mengedarkan sebuah album penuh pada tahun 2014 dengan hits “Hey There Young Sailor” yang kini sudah distrim lebih 1.6 Juta kali di Spotify.
The Impatient Sisters yang terdiri daripada Soraya, Nazeera dan Irena saya kira meneruskan ilham Folk Pop tempatan dengan pendekatan cukup current dan tidak salah jika diletakkan tiga bersaudara ini antara bakat kugiran yang harus kita banggakan.
Ketika Warner Music Malaysia memperkenalkan gadis kilang bernama Amelina dengan lenggok Melayu mendendang “Rindu” – nuansa asli Indonesia di pasaran muzik lokal, membuka satu peluang besar bakat-bakat dangdut Malaysia untuk mencuri tumpuan serupa.
Lagu ciptaan Darwis itu mencipta kembali fenomena dangdut yang lebih awal dibawakan oleh nama senior seperti Zaleha Hamid, M. Daud Kilau dan Ramlah Ram antaranya. Legasi “Selamat Jalan Romeo” (1994) yang cukup hangat ketika diedarkan berkesinambungan dengan kejayaan Amelina menerusi debut yang menampilkan hits “Rindu” dan “Yang Indah Yang Hangat”.
Kegilaan terhadap Amelina berterusan dengan album solo keduanya berjudul “Asyik” (yang saya sifatkan sebagai album terbaik Amelina) dengan dua nama besar lapangan muzik dangdut Iwan dan Ruslan Mamat.
Beberapa single menerusi album ini cukup berhasil mendapat perhatian dan meniti bibir pengikut muzik lokal sehingga hari ini seperti “Asyik”, “Di Dadaku Ada Kamu”, “Ah, Rindu Lagi” dan “Anak Dara”. Amelina di saat ini sudah dilihat sebagai individu penting yang menggerakkan fenomena baru muzik dangdut Malaysia.
Dan dengan kejayaan Amelina, mengilhamkan nama Mas Idayu yang lebih awal di lapangan muzik tempatan tetapi belum mempunyai momen yang kuat untuk dikenang dalam kariernya. Warner Music melabur untuk kraf dangdut Mas Idayu menerusi hit “Cintaku 100%” dan “Robek Hatiku”.
Kejayaan Mas Idayu walaubagaimanapun tidak sedikit membenamkan populariti Amelina. Dua kraf muzik dangdut mereka jika didengar memiliki signature yang tersendiri.
Warner banyak bereksperimen dalam muzik Mas Idayu dengan elemen muzik tradisi jaipong dalam “Senggol-Senggolan Cubit-Cubitan” dan kemudian eksperimentasi dangdut Mas Idayu diteruskan dengan memasukkan elemen Bhangra menerusi lagu “Bolehlah Boleh”.
Setelah itu maka bersusun nama lainnya yang mencuba untuk menyemarakkan pasaran muzik ini dengan barisan nama lain seperti Sheeda, Ifa Raziah, Haiza, Shikin, Asha Malik, Tushee, Leina Hangat dan grup wanita bernama Eva antaranya.
Setiap mereka saya kira berjaya jugalah mencipta nama biar sekejap – dengan rangkaian hit Dag Dig Dug, Angkat Kaki, Bulan Cinta dan lainnya. Kejayaan Mas Idayu sebagai Pop singer turns Dangdut sensation memberikan ilham serupa buat Tushee, Leina Hangat, Asha Malik dan Intan Sarafina juga yang pernah muncul sebagai penyanyi dangdut menerusi album Dang Dang Dut II.
Masih ingat album kolaborasi “Dang Dang Dut” 1996? Tampil dengan hit sepanjang zaman “Yang Tersayang” duet malar segar Iwan dan Amelina yang turut menampilkan Sheeda. Album rakaman semula beberapa hits dangdut terdahulu ini diberi sentuhan muzik lebih segar dan fun dinikmati.
DANGDUT HARI INI
Percubaan Amelina membuat comeback sekitar 2015 menerusi “Cinta Harus Seksi” karya ciptaan Ajai dipandang sedikit sepi, ruang untuk Dangdut bersaing dengan lagu lainnya kelihatan semakin sukar.
Ifa Raziah juga pernah mencuba dengan “Terus Terang” yang punya elemen Hip-Hop dalam Rap Lawa Nie Geng pada tahun 2016 juga antara yang saya kira moden penghasilannya. Namun masih gagal dipasarkan secara meluas.
Baby Shima antara bakat muda yang senang membawa genre Dangdut dalam perjalanan kariernya sehingga hari ini dan berjaya memikat Nagaswara, syarikat rakaman seberang mengambilnya sebagai artis rakaman sebumbung dengan Dangdut Sensation – Siti Badriah (Lagi Syantik).
Tahun ini menyaksikan 3 lagu Dangdut daripada 3 solo wanita yang cukup establish nama mereka – Amelina tampil dengan “Janda Anak Enam”, Haiza tampil lebih Pop dengan “Young & Gentleman” dan merdu Shiha dalam “Pipiyama” sudah siap sebagai sebuah naskhah yang solid untuk dipopularkan.
Peluang untuk lagu-lagu ini popular dan dikembangkan ada jika beriring sokongan penuh semua. Usaha pertama adalah pihak televisyen, radio dan portal hiburan untuk memberi publisiti yang sepatutnya.
Tidak salah kiranya memberi ruang lagu-lagu ini mendapat air play di waktu prime sebagai tanda sokongan untuk period tertentu. Jika setelah itu masih tiada permintaan daripada pendengar untuk terus dimainkan maka pasaran hari ini untuk Dangdut nyata semakin kecil. Namun usaha untuk memulakan itu harus ada terutama bagi pihak yang mempunyai platform besar seperti radio dan televisyen.
Kolaborasi Aizat, Mel Ramlan dan Haiza menerusi “Young & Gentleman” datang approach cukup moden. Melodi yang catchy, lirik yang mudah dihafal dan killer chorus nya yang cukup baik. Amelina teus kekal authentic dengan jiwa Dangdut tebalnya. Shiha menerusi “Pipiyama” lebih menarik minat saya kerana komposisi melodi dan kelembutan dalam penyampaian Shiha.
Usaha lainnya harus dilakukan mungkin kolaborasi bersama bakat-bakat baru yang semakin besar namanya mampu membantu genre ini terus dinikmati dan dihargai. Semoga akan ada ruang berterusan untuk pejuang Dangdut di Malaysia menempatkan diri sebaris lagu popular papan atas lainnya.
Ekspresi dan eskperimentasi pemuzik Bandung yang menamakan diri mereka “Bendi Harmoni” dalam jalinan muzik Folk dengan pengaruh Jamaican music mengilhamkan satu kraf muzik tersendiri kugiran ini.
Projek kolaborasi Andriana (ThePaps), Sagit (ThePaps), Rusli (saratuspersen) & Dimas (Mrsonjaya) yang berawal pada tahun 2015, menghasilkan sebuah keasyikan yang membangun warna Bendi Harmoni menerusi album terbaru ini.
“Kugir Kobam” menjadi tajuk album perdana mereka setelah EP “Catatan Seekor Anjing” beredar pada tahun 2015. Album yang dihasilkan dalam bingar pemilihan presiden terbaru Indonesia ini merupakan satu analogi kuasa dan rakyat yang menceritakan keindahan Indonesia itu sendiri.
10 lagu melengkapkan album ini dengan nuansa Folk, Pop, Jamaican dan atas nama cinta yang dirangkum menjadi satu dalam melodi penuh harmoni dan bebas pengisiannya.
Berikut temu bual ringkas MK bersama Bendi Harmoni;
1. Pengaruh muzik Bendi Harmoni datang dari mana?
Musik Bendi banyak dipengaruhi oleh Cake, Jack Johnson, Elly Kasim, P Ramlee, Dan Iwan Fals.
2. Maksud di balik nama Bendi Harmoni?
Bendi artinya Kereta Kuda, sedangkan harmoni adalah keseimbangan dalam perbedaan (karena masing-masing personil berangkat dari karakter musik yang berbeda) jika disimpulkan bendiharmoni adalah suatu kendaraan laju cepat yang tetap seimbang menghidupi ruang musik.
3. Apa yang ingin ditawarkan kepada pendengar menerusi album perdana ini?
Kami menawarkan warna musik folk olds skoll dengan sentuhan musik jamaican modern ditambah syair sastrawi yang sedikit “liar”.
4. Ceritakan proses rakaman album ini dibuat. Ada cabaran tersendiri?
Album dibuat memakan waktu kurang lebih 4 bulan di escape studio Bandung, dengan dinamika dan keinginan para personil yang selalu merasa kurang puas. Tantangannya adalah mengendalikan semangat para personil agar tiba pada kata cukup, ditambah ya mengolah musik yang agak kurang umum ini agar dapat diterima oleh pendengar dan khalayak umum.
5. Perancangan di masa depan.
Rencana berikutnya adalah kami sedang mempersiapkan sebuak konser tunggal dalam rangka pesta rilis album ini, dan tentu saja kembali ke studio untuk memproduksi kembali musik berikutnya.
Eva Celia nama yang semakin memikat dan besar di pasaran muzik Indonesia hari ini. Debut “And So It Begins” yang beredar di tahun 2016 meletakkan satu standard muzik Indonesia di tahap yang lebih tinggi dan bercitarasa baik.
Nama Eva Celia memikat perhatian saya saat menonton beberapa rakaman video bersama bapanya, maestro muzik seberang Indra Lesmana dalam siri showcase berbeza. Antara yang paling menarik perhatian adalah rakaman video “Prahara Cinta” dan “Takkan Ada Cinta Yang Lain” di Red White Jazz, Kemang Jakarta sekitar 2014.
Gaya bersahaja bersama gitar dan merdu lembut suaranya mengalunkan Pop malar segar tersebut benar-benar menarik perhatian. Setelah itu, nama Eva Celia saya letakkan antara bakat baru yang cukup besar potensinya untuk bergerak sebagai penyanyi dan pemuzik yang matang.
Dan saat “And So It Begins” menjadi sebut-sebutan penggemar muzik Indonesia, Eva saya kira mampu berbangga dengan pencapaian album tersebut yang memberikan 3 nominasi Anugerah Musik Indonesia termasuk Album Soul/R&B/Urban Terbaik.
Terkini, setelah Januari lalu sempat merilis “A Long Way” Eva memberi satu kejutan manis dengan terlahirnya single berbahasa Indonesia pertamanya sepanjang berkarier sejak 2014. Lagu yang diberi judul “Kala Senja” itu mereupakan karya Eva bersama Hon Lesmana dan Matthew Sayersz yang menulis bait puitis lagu ini.
“Setelah mendapat inspirasi mood lagu ini, saya berpikir bahwa lagu ini akan lebih menyentuh jika dibawakan dalam bahasa Indonesia. Karena belum pernah menulis lagu dalam bahasa Indonesia, saya tahu hal ini akan menjadi tantangan besar,” Kata Eva Celia menerusi portal PopHariIni.
Mengepalai produksi lagu ini, Eva Celia masih senang mendapat sentuhan Demas Narawangsa sebagai produser yang turut memproduksi lagu “A Long Way” sebagai single keduanya tahun ini.
Alyah dalam lapangan muzik Balada tempatan sudah menjadi satu nama yang sentiasa dinantikan kemunculannya. Jalannya untuk mendapat tempat di pasaran massa cukup panjang sehingga tuah “Tak Mungkin Kerna Sayang” karya cipta Ajai membawa namanya cukup dikenali sehingga hari ini.
Magisnya dalam menampilkan hits malar segar nyata bukan lagi persoalan. Saya kira melodi dalam lagu-lagu seperti Kisah Hati, Sesal Separuh Nyawa, Kau Yang Terindah sehingga Jutaan Purnama sudah layak dilabel sebagai naskhah malar segar.
Pergilah ke mana-mana sahaja pusat karaoke atau pertandingan nyanyian, “Kisah Hati” bagai sudah menjadi lagu wajib untuk semua nyanyikannya. Dan bagi meneruskan kelangsungan balada indahnya, Alyah tidak hanya mahu berhenti pada kejayaan lagu-lagu tersebut.
Tampil dengan lagu berjudul “Meluruh” ciptaannya bersama Helen Yap dan lirik tulisan Slen, Alyah sudah siap sedia menawan lebih ramai lagi penggemar muzik Balada tempatan dengan lagu yang beredar hari ini 19 April 2019.
Sinonim dengan rangkaian lagu yang memartabatkan bunyi serta sastera Melayu klasik, monoloQue terus berkarya dalam single perdana mereka tahun ini “Langgar Lari – Dari Seberang” yang sudah beredar di semua gedung muzik digital 22 Mac lalu.
Setelah tampil single duet bersama “NJWA” menerusi single “Chinta” tahun lalu dengan ilham susunan muzik dengan penggunaan instrumen Gamelan yang turut tampil dengan ilham muzik video yang cukup tinggi nilai estetika visualnya. “Langgar Lari” meneruskan ilham memperkasakan bahasa Melayu klasik menerusi penulisan lirknya.
Lagu ini disimpan loQue sejak tahun 2006 adalah satu eksperimen tentang penggayaan Bahasa Malaysia dalam penulisan lirik selepas keajaiban album Selamat Tinggal Dunia (keluaran tahun 2005), album penuh Bahasa Malaysia oleh Butterfingers. yang menjadi batu loncatan loQue mengasah ketajaman kosa kata dan ayat Bahasa Malaysia.
“Bila dua atau tiga instrumen dimainkan bersama, gelombong-gelombang bunyi bertemu, tenaga menjadi satu, inilah keajaiban bunyi yang tercipta bila semua ada bersama dan tak mungkin boleh terjadi jika hanya dirakam instrumen satu-persatu.” Kongsi loQue yang baru-baru ini dinobatkan sebagai pemenang lagu tema terbaik dengan Atma Jiwa (Filem: Buskers) di Festival Filem Malaysia ke 30.
Berada di Jakarta, Indonesia untuk sesi rakaman, menyuntik inspirasi pada loQue dan teman di mana semangat nasionalisme dan memartabatkan budaya amat tinggi di kalangan muda mudi mereka. Ini dilihat bukan hanya daripada hasil seni yang dihasilkan tetapi juga bagaimana masyakat hargai karya-karya tempatan dan bangga dengan hasil anak bangsa. Alangkah bagus jika ini dapat diterjemahkan dalam penghargaan muda mudi pada muzik kita pasca Malaysia baru.
Dalam agenda lainnya, loQue kini sedang dalam proses menyiapkan projek “Makmal Kampung Batu” yang akan beroperasi sepenuhnya dalam bulan April 2019 dan uji kaji bunyi-bunyian album ketiga monoloQue akan mula tidak lama lagi.
Kumpulan Segi melancarkan single terbaru mereka yang berjudul “Survival” setelah dua single tahun lalu “Adinda” dan “Broken”. Lagu “Survival” bakal menjadi penanda aras utama kumpulan Segi dalam aspek penulisan dan susunan muzik yang ingin dikongsikan.
Masih kekal dalam genre rock, menerusi penghasilan “SURVIVAL” mereka mahu tampil dalam satu jalinan muzik yang lebih global dan terbuka seperti pop, RnB selain mahu mencuba irama tradisional dan sebagainya pada masa hadapan. Single terbaru kumpulan Segi ini telah dirakam bermula awal Januari sehingga akhir Februari 2019.
RENDY FALIQ – KATA HATI
Seorang lagi bakat baru yang mencuri perhatian dengan single “Kata Hati” yang menjadi OST drama TV “Lelaki Kiriman Tuhan. Lagu yang dicipta Rendy bersama Daniel Rayes mendapat sentuhan susunan muzik daripada Sharon Paul.
AWI RAFAEL – RAHSIAKU
Bagaikan sebuah surat cinta berlagu, ‘Rahasiaku’ merupakan manifestasi cinta Awi untuk suri hatinya, Atikah. “Rahasiaku” merupakan hasil nukilan Awi sendiri bersama Edi Hamid. Malah Awi turut bertindak sebagai penerbit rakaman lagu ini bersama penerbit terkenal Indonesia, Posan Tobing. Lagu yang melalui proses penerbitan di Kuala Lumpur dan Jakarta ini bakal dimuatkan dalam album baru Awi berjudul “Euphoria” yang bakal menyusul tidak lama lagi.
KUCAIMARS – JAWAB
Mula meraih populariti apabila video lagu-lagu saduran dendangannya yang dikongsi menerusi laman media sosial mendapat sambutan hangat netizen, kini Amirul Husyairi bin Nani atau lebih dikenali dengan nama pentasnya Kucaimars muncul dengan single debut berjudul “JAWAB”.
Lagu karya ciptaan Akim Ahmad dan Zarimi Zahari yang masing-masing menggunakan nama pena, Hang Nadim dan Laq. Video muzik rasmi “JAWAB” arahan Elfie Nazari dibintangi oleh Kucaimars sendiri dan menampilkan Sharifah Rose, model yang mengukir nama melalui laman media sosial.
AMIR HASSAN – GYKT
Selepas muncul dengan single pertama yang berjudul ‘Bicaramu’ pada tahun lalu, penyanyi muda yang semakin meningkat naik, Amir Hasan kini tampil dengan single keduanya yang berjudul ‘Gadis Yang Ku Tunggu’. “GYKT” dicipta oleh penyanyi dan komposer terkenal Aizat Amdan bersama Mel Ramlan.
Ketika “Helly Kelly” menjadi perhatian umum sekitar 2017, nama Zamaera saya kira sudah siap untuk menjadi sebutan sebagai pelapis muzik masa depan tempatan. Single “Z vs Z” yang beredar tahun lalu dengan ilham full string meets hip-hop dalam satu jalinan muzik penuh emosi dan cukup personal meletakkan Zamaera antara bakat baru yang paling menyerlah tahun lalu.
Dan segala keterujaan menikmati muzik Zamera berterusan dengan “Truth” yang diedar disember 2018 yang tampil penuh soulful sekali. And yes, dia bukan sahaja boleh rap dengan sempurna malah boleh menyanyi dengan sangat baik. Really love her voice.
EP empat lagu berjudul “Z” sudah lebih awal dilancarkan di hadapan media sebelum beredar di pasaran muzik digital. Dengan dua single yang sudah beredar tahun lalu, melengkapkan penuh EP ini adalah dua lagu lain “KMS” dan “Almost” yang kesemuanya diproduksi hebat ilham karya Zamaera bersama produser muziknya Floyd Thomas.
Hip-hop Zamaera beriring emosi yang begitu baik sekali. Mendengar string session Matt Jones Orchestra (Discog: Eric Bennet, PJ Morton)menerusi single “Almost” membuat saya melayang jauh menikmati feel muzik dan vokal yang menyatu bagai satu pelayaran perasaan yang cukup dalam.
“KMS” intepretasi muzik terkini klasik Killing Me Softly melengkapkan EP ini sebagai sebuah naskhah yang cukup mesra pendengar. Saya menghabiskan masa hampir seminggu ini dengan EP “Z” setiap pagi dan di setiap hari saat pendengaran saya begitu dahagakan evolusi dalam muzik tempatan seperti ini.
Zamaera bagi saya adalah masa depan muzik tempatan!
Di saat bakat lokal lain masih terlalu selesa dengan Pop juga Balada yang tidak berevolusi, Zamaera tampil menongkah arus dengan satu konsep serta persembahan muzik yang cukup membanggakan. Luar daripada kebiasaan penyanyi wanita tempatan akan lakukan.
EP ini satu bukti bahawa bakat-bakat tempatan sebetulnya sudah cukup sedia melawan arus pasaran muzik komersil tempatan dengan idea serta execution yang cukup bercitarasa tinggi. Produksi muzik “Z” seharusnya menjadi rujukan lebih ramai anak muda yang mahu bermuzik hari ini.
Pasaran muzik independen tempatan sentiasa tampil dengan anak-anak muda yang sentiasa mahu melakukan sesuatu yang luar daripada kebiasaan. Eksperimentasi muzik Salammusik, Margasatwa dan Ramayan antara yang cukup memikat sekali percaturan mereka.
Dan tentu saja dala legasi ini, nama “Pitahati” antara yang akan sering diberi perhatian. Berawal sekitar 2011 dengan pembikinan EP “Bintang Bru Kristal Salju” (2011) serta dua album penuh “Fonetik Anak Candal” (2013) dan “Selamat Datang ke Panggung Suara” (2016) sudah meletakkan kugiran ini antara yang tinggi estetika kerja mereka.
Ilham nusantara dalam eksperimental rock dalam puitis lirik yang cukup humanis menjadi signature muzik mereka sejak awal lagi. Mendengar tiga lagu terawal di album “Fonetik Anak Candal” pantas mengingatkan saya pada kraf muzik kumpulan Kembara.
Dan kekaguman serta obsesi saya terhadap muzik kugiran ini diteruskan dengan album maha dasyat “Selamat Datang ke Panggung Suara” sebuah pengalaman menikmati muzik yang bukan biasa-biasa.
Pitahati yang dianggotai Ilham, Yassin, Zahar, Masrin dan Hidayat mungkin bukan nama besar dalam pasaran muzik semasa namun untuk menolak karya-karya mereka bagi saya itu mustahil. Sekali pun lagu-lagu mereka bukan jagoan carta muzik tempatan namun perhatian masih perlu diberikan buat pemuzik serius seperti mereka.
Meneruskan kelangsungan katalog muzik mereka, Pitahati kembali dengan single berjudul “Naraka” yang merupakan runut bunyi drama bersiri terbaru “Jibril”
Lagu yang dihasilkan sendiri lima bersahabat ini meneruskan ilham folk dengan cara mereka tersendiri dalam penghasilan melodi yang cukup baik beriring produksi muzik yang tidak kalah pada kualiti yang biasa-biasa. Jujur lagu ini begitu kuat roh dan semangat “M.Nasir” dalam karya-karyanya di era 80-an.
“Naraka” kini siap untuk distrim dan ditonton muzik video rasminya. Dan kita sebagai pendengar harus juga siap untuk terus menyokong “Pitahati” bagi meletakkan standard muzik tempatan ke tahap yang lebih membanggakan.