
Album yang paling dinanti kiranya tahun ini akhirnya sempat berdar 12 April lalu secara digital. Kolaborasi yang saya kira tidak pernah terlintas ideanya ini di fikiran menghasilkan satu kraf muzik yang cukup membanggakan.
Alif & SonaOne bukan nama asing pasaran muzik Urban / Hip-Hop tempatan. Pasca Sleeq membawa Alif berkarier dengan lebih bebas, kreatif dan berkelas. Lihat sahaja lagu-lagu karyanya buat Kaka – Bukan Hal Aku, Kembali, Terima Kasih dan Sibuk. Semuanya datang dengan ilham Pop Urban yang cukup memajukan lapangan muzik lokal secara umum.
Alif yang sering saya letakkan sebagai the new music shape-shifter (Baca artikel penuh di pautan hujung artikel) telah berjaya membentuk satu gelombang muzik yang tersendiri terutama sekali dalam memberi citarasa yang hebat dalam pasaran muzik lokal. Semua Sudah (Elizabeth Tan), Satu Peluang dan Donde (Andi Bernadee) sudah menciptakan benchmark baru muzik tempatan yang pada tahap yang membanggakan.
Single “Obvious” yang beredar Oktober tahun lalu menjadi langkah awal kolaborasi Alif dan SonaOne yang sudah diletakkan sebagai antara 10 terbaik 2018 (50 Lagu Terbaik 2018) dan dengan mudah sekali komposisi melodi dan kualiti produksi lagu tersebut diletakkan sebagai Lagu Terbaik 2018. Sempurna sebagai sebuah produksi muzik yang diperlukan pasaran tempatan untuk dilihat lebih ke depan dan berkelas.
Meneruskan kelangsungan “Obvious”, dynamic duo ini mengedarkan “Pun Boleh” sebuah lagi naskhah catchy yang cukup baik penghasilannya. Sempoi, selamba namun masih tampil dalam pengisian kualiti muzik yang bukan biasa-biasa.
DETAIL dibarisi 15 lagu kesemuanya yang mengambil ilham seratus peratus Hip-Hop dengan pengisian penuh cerita anak muda, cita-cita dan pemberontakan jiwa di dalamnya. “THE SOUP” definitely mendahului senarai lagu favorite saya dalam album ini. Saya masih mencari sample lagu Melayu Asli (jika benar ada) yang mana digunakan dalam trak cukup hebat ini.

ALIF & SONAONE DI MAJLIS PELANCARAN “DETAIL” GAMBAR: BUDIEY
“DISCO” Menarik perhatian dengan eksperimentasi muzik dan beat lo-fi yang maha hebat hasilnya. Entah berapa kali saya mengulang dengar lagu ini sebelum sedia menulis penuh artikel ini. Dan keterujaan ini diteruskan dengan lagu lainnya seperti “TAK MAHU” yang cukup kental signature muzik Alif.
“LOOK AROUND” menjadi single ketiga album ini datang dengan ilham muzik komersil yang mesra pendengar. Catchy dan easy-listening seperti “PUN BOLEH” namun saya kira “OBVIOUS” lebih baik penghasilannya.
Album ini saya kira cukup segala ramuan untuk kita labelkan sebagai naskhah album terbaik. Alif & SonaOne memberi satu rasa baru yang cukup sempurna dalam memberi warna pasaran muzik tempatan.
15 lagu dalam album ini tidak hanya dihasilkan untuk kedengaran current tetapi saya kira ia mampu menjadi naskhah malar segar seperti mana kita enjoy Too Phat (Plan B) di era awal 2000 atau KRU (Oh La! La!) di era 90-an. 2019 belum berakhir tapi saya kira tidak terlalu awal untuk saya letakkan “DETAIL” sebagai album terbaik tahun ini.
8.5/10
ARTIKEL BERKAITAN:
Pop Masa Depan – Cerita Tiga Bakat Ali Aiman, Kuizz Shah & Alif