#RetrospektifMuzik, Highlight, Terkini,

Ferhad – Sebuah Legasi R&B Yang Tertinggal

NamaFerhad menjengah pasaran muzik tempatan dengan begitu promosing sekali. Single rakaman semula “Kasih Berubah” oleh Flybaits yang dikemaskan susunan muziknya oleh Azlan Abu Hassan ketika itu begitu mencuri perhatian pendengar muzik tempatan yang dahagakan kelunakan suara vokalis lelaki yang datang dengan jiwa yang berbeza.

“Tubed” (2000) hadir sebagai sebuah album rakaman berbahasa Inggeris yang diproduksi Ahmad Izham Omar dan Greg Henderson menampilkan jaluran muzik R&B, Pop dan Soul. 12 trak yang meletakkan standard muzik tempatam ketika itu di tahap berbeza yang membanggakan.

“Soul In Me” menjadi original single yang terhasil cukup mewah dan penuh attitude. Siapa saja yang mampu menolak betapa sensualnya single ini dalam pentafsiran cinta yang paling romantis. Melodi yang dicipta sendiri oleh Ferhad ini saya pasti tidak siapa yang mampu menjangka ia produk tempatan jika tidak tahu siapa penyanyinya.

Attitude bermuzik Ferhad sebetulnya lebih dirasai ketika dia membuat persembahan pentas secara langsung. Masih ingat persembahan di pentas Anugerah Industri Muzik sekitar 2001? Dia menyampaikan medley “Kasih Berubah” dan “Higher Deeper” dengan cukup dasyat sekali. Pesonanya di pentas begitu terserlah kerana kemampuan untuk bergerak sebagai penyanyi itu tidak hanya di studio tetapi utuh di persembahan langsung.

Sebelum sempat merakam album studio keduanya, Ferhad menghadirkan kita semua dengan sebuah album rakaman secara langsung persembahan di Planet Hollywood menerusi naskhah “Soul Alive” yang rata-ratanya dipersembahkan lagu daripada album perdananya “Tubed”.

Menerusi album ini saya pasti pendengar yang tidak hadir ke pentas Planet Hollywood itu dapat membayangkan energi Ferhad dalam persembahannya. Menerusi album ini juga buat pertama kalinya dia dicalonkan bagi kategori Vokal Lelaki Terbaik menjadi pesaing terdekat M.Nasir, Saleem dan Yasin ketika itu. Menerusi album serupa dia turut dicalonkan di pesta Anugerah Planet Muzik bagi kategori Artis Lelaki Terbaik.

“Katakan Saja” beredar di tahun 2003 menjadi album penting dalam membentuk citarasa bermuzik saya ketika membesar. Adunan Pop dalam feel R&B, Soul dan Dance di album ini berada di tahap paling baik dalam mana-mana album R&B seangkatan dengannya. Saya boleh katakan ia menyamai kehebatan album solo kedua Anuar Zain – Keabadian Cinta.

Lagu-lagu di album ini yang rata-ratanya dikomposisi baik oleh Audi Mok, Ahmad Izham Omar dan Ferhad sendiri terhasil dalam sebuah pengalaman menikmati muzi Pop tempatan dengan citarasa muzik yang sangat berbeza, sangat hebat dan membanggakan sekali.

Biar sehingga hari ini saya harus memilih senaraikan album R&B terbaik yang pernah dihasilkan di Malaysia, pasti tidak sesekali saya melupakan album ini. “Pernah” menjadi hits yang meneruskan kelangsungan bermuzik Ferhad. Another “lagu cari makan” yang berjaya mencipta fenomenanya yang tersendiri.

Pelayaran bermuzik di album ini sangat solid – Rangkaian lagu seperti “Mana Harus”, “Katakan Saja” dan “Cinta” disiapkan melengkap attitude berlagu Ferhad. Corak persembahan vokalnya santai tetapi datang dengan identiti yang cukup tersendiri. Killer di album ini tentu saja saya letakkan pada lagu ciptaan Audi Mok “Untuk Selamanya”.

This is one of the best Soulful Ballad yang pernah dihasilkan di era 2000. Lagu ini terhasil dalam feel Balada dan R&B yang banyak dihasilkan soloist luar seperti Babyface, Kenny Latimore juga Brian McKnight. Such a beautiful composition daripada Audi Mok. Lagu ini antara gems di album ini yang saya akan dengan biar selama mana hayatnya.

Sebuah lagi all time favorite saya di album ini adalah “What More” kolaborasi Ferhad bersama Kyla – penyanyi asal Filipina yang dihasilkan dalam rasa sebenar muzik R&B yang terlalu hebat penghasilannya. Paduan suara Kyla dan Ferhad juga sangat serasi dalam membentuk feel cukup moden dan urban di lagu ini.

Ferhad saya kira sudah berkongsi pengalaman bermuzik yang cukup hebat menyenangkan buat kita semua sebagai pendengar puas dengan setiap isi bunyi dan suara yang telah dipersembahkan dalam 3 album bersama Positive Tone dahulu. Tersendirinya Ferhad sebagai penyanyi itu hal yang tidak boleh kita nafikan.

Biar sehingga hari ini, mendengarkan rangakain lagu-lagunya jarang membuat untuk saya gagal untuk menghabiskannya. Keterujaan mendengarnya masih akan terus ada. “Bersama” sebuah lagi lagu Soulful Ballad yang cukup indah sekali kemasan muzik R&B nya.

Kesemua lagu-lagu di album-album Ferhad boleh anda nikmati di saluran YouTube “Getaran Nostalgia”.


ARTIKEL BERKAITAN

Mendengar Kembali Groove Junio Hustle Dalam Debut “Rap Graduate” Yang Beredar Lebih Sedekad Lalu

 

Highlight, Review, Terkini,

Terpana Dalam Kelembutan Suara Melisa Hart Lewat Single “Tak Lagi Rindu”

Lagu: Tak Lagi Rindu
Artis: Melisa Hart
Komposer / Lirik: Aldy Fachrobby /Indah Anastasya / Tintin

Memuncak nama di sini ketika dia menyampaikan Di Persimpangan Dilema di pentas Indonesian Idol awal tahun ini dengan rendisi yang cukup tersendiri. Sederhana namun cukup merdu sekali intepretasi muzik dan vokalnya ketika itu.

Setelah itu nama Melisa Hart mencuri perhatian saya, saban minggu dengan bersahaja dia mementaskan persembahannya dengan penuh terkawal mengalun penuh emosi dibaluti konsistensi berpentas yang cukup meyakinkan ramai penonton yang sentiasa menantikannya.

Hadir dengan single perdana bersama HITS Record (Andmesh), Melisa menyerlahkan segala kebolehan bermuziknya dalam melantun Balada cinta menerusi lagu berjudul “Tak Lagi Sama”. Ditulis oleh Aldy Fachrobby, Indah Anastasya dan  Tintin.

Kental dalam feel Indo Pop yang terhasil membentuk vokal merdunya, “Tak Lagi Sama” benar-benar menjual feel lembut dan merdu Melisa dengan justifikasi yang cukup baik sekali.

Biar tidak hadir dengan ilham baru dalam penghasilan Balada, lagu ini saya pasti sudah mampu memuaskan hati penggemar Melisa yang sudah memang menantikan original song daripadanya.

Namun saya pasti masih banyak ruang yang boleh diperbaiki daripada penghasilan melodi yang lebih baik, berbeza dan menyerlahkan sisi lain yang ada pada Melisa.

Lagu ini sekadar okey bagi saya cuma ia tidak datang dengan elemen baru dan sesuatu yang ekstra untuk mendekatkan pendengar yang tidak pernah mendengar Melisa untuk terpikat dengannya.

6/10


ARTIKEL BERKAITAN

Menjengah Pasaran Komersial, Mark Natama Hadir Dalam Kemasan Muzik LaleIlmanNino Menrusi Single “Jago Cemburu”

 

#RetrospektifMuzik, Highlight,

Melayani Cerita Dalam Lagu Persembahan Primadona Noorkumalasari

Nama Noorkumalasari berawal sebagai peragawati yang ketika di era 70-an sebelum mencuri tumpuan di lensa perfileman sebagai aktres. Bakat seni yang mengalir dalam dirinya itu diteruskan dalam pelbagai cabang seni yang lain termasuk bidang nyanyian yang memberikannya puluhan hits daripada 9 album studio yang pernah dirakamnya.

Mengambil ilham muzik 70-an dan 80-an yang cukup dominan dalam 3 jaluran muzik utama iaitu Balada, Joget dan moderate Pop, maka berkediplah bintangnya sebagai penyanyi yang cukup diraikan sepanjang era tersebut malah sehingga hari ini.

Noor mungkin bukanlah penyanyi papan atas yang bakatnya dipuja kerana nyanyian tetapi lebih kepada bidang lakonan. Namun tidak adil untuk menidakkan pengaruhnya dalam membentuk spektrum muzik di eranya itu. Cukup popular dengan rangkaian lagu dalam filem lakonannya, Noor begitu menyerlah dengan imejnya yang cukup moden. Tidak kurang menjadikannya sebagai ikon fesyen di era 80-an.

Album perdana yang diterbitkan Akhbar Nawab bersama EMI pada tahun 1978 menjadi pertaruhan sulung yang membuka laluannya bergelar penyanyi untuk siap bergerak seiring dengan penyanyi handalan lainnya ketika itu seperti Shrifah Aini, Anita Sarawak, Uji Rashid juga Salamiah Hassan ketika itu yang sudah mencuri perhatian dengan rangkaian hits mereka.

“Kau Dalam Ingatanku” dirakam ketika dia berusia 22 menampilkan 10 lagu yang rata-ratanya dicipta Akhbar Nawab. Kental dalam jiwa Pop Melayu album ini sebetulnya hanya mengikut formula serupa yang ada di kebanyakan album yang beredar di pasaran muzik Malaysia ketika itu.

Lagu-lagu seperti “Ke Arah Kecantikan“, “Jika Mahu Kenal”, “Hari Mana Bulan Mana” dan “Pandang Memandang” begitu dominan bunyi Akhbar Nawab dalam rangkaian lagu sebelumnya yang pernah dia hasilkan. Lagu-lagu begini tidaklah begitu menyerlahkan kemampuan vokalnya dan tidak juga dalam penghasilan melodi yang baru tetapi masih acceptable untuk bakat baru ketika itu.

Album kedua Noor turut diproduksi Akhar Nawar yang masih mengendong ilham serupa. Hanya di album ketiga sahaja Noor saya kira lebih menyerlah bersama S.Atan menerusi album berjudul “Aku Dan Dunia Seni” (1980) yang menampilkan hits “Selamat Pagi Sayang” dan “Biarlah Ku Sendiri” yang penghasilan melodinya lebih solid dan bersifat evergreen. Kualiti vokal dan feel Noor di lagu “Biarlah Ku Sendiri” itu sendiri jauh lebih baik, ready dan matang.

Sebuah lagi melodi syahdu di album ketiganya itu berjudul “Malam & Rindu” antara personal favorite saya. Berjalan dalam tempo melodi Balada 80-an yang tipikal dibaluti nyanyian Noor yang lebih lembut dan tersusun berbanding apa yang pernah dirakam di dua album terawal.

Noorkumalasari setelah tiga album tidak langsung mahu memperlahankan langkahnya sebagai penyanyi malah saban tahun pasti terhasil sebuah album penuh untuk terus mengisi kalendar bermuziknya sebagai anak seni.

Album berjudul “Mata” yang diterbitkan pada tahun 1982 saya sifatkan antara album terbaik yang pernah dihasilkan Noor sepanjang karier muziknya. Nama produser hebat seperti Fauzi Marzuki memberi warna baru dalam pasaran muzik Noor yang lebih moden dan berwarna.

Popularitinya berterusan sehingga ke era pertengahan 80-an dengan rangkaian hits duet bersama Sudirman menerusi lagu “Bimbang Terluka Lagi” yang diterbitkan menerusi album berjudul “Wajah” yang juga dikelolai Fauzi Marzuki. Kemunculan nama baru ketika itu seperti Sheila Majid dan Ramlah Ram tidak langsung menggugat popularitinya sebagai penyanyi selain kekal utuh sebagai primadona perfileman tempatan.

“Inilah Noor” menjadi album rakaman studio terakhirnya sehingga hari ini. Noorkumalasari terus menjadi nama yang sentiasa akan kita ingat jika berbicara tentang pasaran muzik 80-an khususnya. Dari pentas peragaan ke lensa kamera terus ke studio rakaman bergelar penyanyi – Noorkumalasari sebutir bintang yang gemerlapnya akan terus memancar dengan rangkaian hits yang sudah bergelar malar segar.


ARTIKEL BERKAITAN

Melayani Perasaan Dalam 8 Balada Terindah Biduanita Sharifah Aini

 

 

Highlight, Review, Terkini,

Menjengah Pasaran Komersial, Mark Natama Hadir Dalam Kemasan Muzik LaleIlmanNino Menrusi Single “Jago Cemburu”

Lagu: Jago Cemburu
Artis: Mark Natama / LaleIlmanNino
Komposer / Lirik: LaleIlmanNino

Vokal Mark Natama cukup mempesona seawal dia  menghadiri uji bakat Indonesian Idol musim lalu dan sehingga ke pentas akhir acara itu, dia jarang mengecewakan penonton dengan persembahannya yang kadang hanya sederhana tetapi cukup membuai hanya kerana merdu, lembut dan gemersiknya alunan suaranya.

Sempat merilis dua single sebetulnya sebelum ke pentas Idol – “Yesterday” dan “Terkejar Waktu”, Mark Natama ke depan dengan garapan muzik R&B dan Soul. Meneruskan kelangsungan bermuziknya, dia tampil dengan sebuah single pasaran perdana berjudul “Jago Cemburu” yang saya sifatkan sabagai sebuah naskhah yang seimbang antara apa yang pasaran muzik hari ini sukakan dan seiring dengan citarasa muziknya.

“Jago Cemburu” terhasil dalam feel R&B yang kental dengan singnature melodi LaleIlmanNino. Lengkap denga groove, feel dan commercial value yang tinggi, lagu ini saya kira tidak sukar untuk menembus pendengaran pendengar semasa.

Produksi muziknya cukup kemas dengan kualiti rakaman yang tinggi standard nya membuatkan Pop LaleIlmanNino ini antara yang terbaik mereka hasilkan setelah penghasilan “Chrisye” (Diskoria / Eva Celia) dan “Satu” (Ruth Sahanaya) antara yang terbaik mereka hasilkan tahun ini.

Mark seperti biasa cemerlang di bahagian vokal yang menyempurnakan naskhah lagu ini dengan begitu baik. Saya menantikan lebih lagi single daripadanya selepas yang satu ini.


ARTIKEL BERKAITAN

Sebuah Tribute Muzik Diskoria, Isyana Sarasvati & Ardhito Pramono Buat Kugiran NAIF

#RetrospektifMuzik, Highlight, Terkini,

Berlepas Ke Negeri Abadi, Oddie Agam Meninggalkan Kita Dengan Melodi Silam Yang Penuh Memori

Memulakan karier bermuzik di pertengahan 80-an Imran Madjid atau lebih dikenali dengan komersial sebagai Oddie Agam menjadi nama legendaris muzik Indonesia sebaris Chrisye, Fariz RM dan Chandra Darusman. Sepanjang bermuzik Oddie Agam merakam empat album penuh – “Bellina” (1984), “Gadis Sentimentil” (1986), Oddie Agam (1990) and 50:50 (2012).

Lebih aktif sebagai komposer dan produser muzik buat nama-nama besar seperti Ruth Sahanaya, Sheila Majid, Vina Panduwinata, Harvey Malaiholo, Dewi Yull, Broery Marantika dan ramai lagi dengan rangkaian hits sepanjang zaman.

Antara hits malar segar yang masih didendang sehingga hari ini adalah “Antara Anyer * Jakarta”, “Surat Cinta”, “Hip-Hip Hura” dan lebih lagi. Semoga legasi muziknya akan diteruskan, diraikan dan terus dikenang sepanjang masa.

Berikut rangkaian lagu terbaik ciptaan Oddie Agam sepanjang dia bermuzik lebih 4 dekad lamanya.

JADI PRESIDEN – ODDIE AGAM & THE COLLABORATION (1998)

Jadi Presiden merupakan kolaborasi Oddie Agam bersama Sheila Majid, Warna, KLA Projek, Ahmad Albar dan Shania yang diedarkan lewat 90-an menerusi sebauh album kompilasi yang diberi judul serupa. Rakaman ini pertama kali saya dengarkan menerusi program Carta Baik Banget kelolaan KC Ismail dan sehingga hari ini masih lagi menjadi antara lagu wajib yang harus ada dalam senarai lagu yang kerap saya mainkan. Cukup kuat jiwa Indonesianya, tidak hanya pada penulisan lirik tetapi melodinya yang cukup solid sekali. Antara kolaborasi yang unik sekali.

MEMORI – RUTH SAHANAYA (1983)

“Memori” dirakam Ruth Sahanaya menerusi album “Seputih Kasih” yang juga merupakan album perdana legendaris Pop ini. Melodi lagu ini sangat kental feel 80’s Ballad yang menyatu sempurna dengan vokal merdu Ruth Sahanaya yang ketika itu siap bergelar bintang masa depan yang cemerlang. Dan dengan lagu ini juga membawa tuah buat Ruth Sahanaya untuk terus mengalunkan lagu ini sehingga hari ini yang sudah bergelar malar segar melodinya.

ANTARA ANYER & JAKARTA – SHEILA MAJID (1986)

The classic “Antara Anyer Dan Jakarta” membawa nama Sheila Majid jauh melayari kembara bermuzik ke Indonesia berdekad lamanya. Lagu ini saya kira sudah menjadi the Sheila anthem, naskhah wajib didendang dalam mana-mana persembahan pentasnya. Lagu ini terhasil cukup nostalgic sekali dan jika anda bukan penggemar muzik Sheila sekalipun pasti tidak mampu menolak naskhah hebat malar segar ini. Antara lagu lain ciptaan Oddie Agam buat Sheila adalah “Aku Cinta Padamu”, “Tua Sebelum Waktu”, “Begitulah Cinta”, “Jujur Saja” dan “Catat”.

ERTI KEHIDUPAN – CAMELIA (1998)

Rakaman asal Mus Muijono dirakam semula penyanyi asal Malaysia, Camelia dengan rendisi R&B yang cukup segar bersulam feel dan groove Camelia yang cukup memikat. Dan kerana lagu ini jugalah saya menjadi penggemar Camelia sehingga hari ini, di saat terlalu banyak penyanyi Balada muncul di pasaran muzik 90-an, dia hadir dengan pesona cukup berbeza. Rakaman semula “Erti Kehidupan” ini disusun kembali muziknya oleh Kenny Tay.

SURAT CINTA – VINA PANDUWINATA (1989)

Vina Panduwinata, Diva Pop seberang yang cukup dihormati sudah melewati kembara bermuzik berdekad lamanya. Dan dalam perjalanan panjang itu tersemat sebuah naskhah ciptaan Oddie Agam berjudul “Surat Cinta” yang masih didendang sehingga hari ini. Pop 80-an di lagu ini bergerak seiring pasaran muzik ketika diedarkan dan menjadi antara yang cukup klasik sehingga hari ini. Masakan tidak pergilah ke mana-mana senarai lagu yang dicipta di Spotify jika ada Vina pasti ada “Surat Cinta”. Lagu lain ciptaan Oddie buat Diva Vina adalah “Wow” dan “Bahasa Cinta”.

HIP-HIP HURA – CHRISYE (1985)

Hip-Hura merupakan naskhah penting kembara muzik Chrisye di era 80-an sehingga hari ini. Cukup groove, fun dan memorable sebagai sebuah lagu yang terus diingati sehingga hari ini. Lagu ini sendiri sudah dirakam beberapa kali penyanyi lain bagi meneruskan kelangsungan melodi hebat. Dengarkan rangkaian lagu-lagu terpilih lain ciptaan Oddie Agam di Spotify Muzik Kita.


ARTIKEL BERKAITAN

Alleycats – Sebuah Wajah Muzik Pop Kontemporari Malaysia

#RetrospektifMuzik, Highlight, Terkini,

Malam Nostalgia Bersama Rangkaian Hits Headwind 

Headwind merupakan kugiran Pop yang menyinggah pasaran muzik di lewat 70-an sebelum cukup booming di era 80-an dengan rangkaian album seperti Headwind 86, Headwind 3 dan album berjudul Bisikkanmu yang menmpilkan hits sepanjang zaman seperti “Suraya”, “Kita Serupa”, Hanya di Radio” dan “Pelangi” antaranya.

Bersama saluran YouTube “Getaran Nostalgia”, Muzik Kita bernostalgia dengan rangkaian lagu-lagu cukup hits daripada kugiran ini yang menampilkan Zainal Abidin sebagai vokalis utama sebelum memutuskan meninggalkan kugiran ini pada tahun 1989.

Pelangi dimuatkan dalam album “Headwind 86” saya sifatkan sebagai lagu terbaik yang mereka pernah rakamkan sepanjang bermuzik. Lagu ini bergerak dalam alunan Pop yang penuh nostalgia yang terhadir dengan pengaruh Indo Pop di era serupa. Pelangi antara yang kerap dibawakan Sheila Majid dalam persembahan pentasnya.

Suraya merupakan satu daripada beberapa hits yang dimuatkan dalam album berjudul “III” selain “Kita Serupa” dan “Memori Luka”. Terhasil dalam feel Balada romantis memuja gadis bernama Suraya, lagu ini juga pernah dirakamkan semula kumpulan Indigo pada tahun 1997.

Kesyahduan melodi lagu ini benar-benar meresap roh muzik 80-an yang cukup dominan begini. “Segalanya Mungkin” satu antara Balada Headwind yang saya kira memiliki melodi yang cukup kuat untuk pasaran muzik ketika itu. Kesyahduannya terhasil dalam penulisan lirik yang bersifat penyerahan.

Kita Serupa” terhasil dalam penulisan paling puitis seperti sebuah puisi yang dilagukan dengan cukup menyentuh. Bait pembukanya sahaja sudah besar saya kira “Kalau dapat kupetik bintang di awan biru, Kan kusematkan ke dalam dadamu.” sebelum korusnya bercerita dengan penuh humanisme “Nasib kita serupa bercinta dan kecewa.”

“Debu Liar” pertama kali saya dengar dalam versi solo Zainal Abidin di album solo perdananya. Versi asal bersama Headwind ini saya kira lebih kuat semngat 80’s Pop yang ada feel Rock dan Nusantara pada masa yang sama. Cukup mewah dan kemas sekali produksi muziknya. Definitely one of the best sepanjang kembara muzik Headwind.


ARTIKEL BERKAITAN

Ella Demi: Sebuah Rakaman Live & Kompilasi Terbaik Ella

Highlight, Review, Terkini,

Sebuah Tribute Muzik Diskoria, Isyana Sarasvati & Ardhito Pramono Buat Kugiran NAIF

Lagu: YTH: NAIF
Artis: Diskoria / Isyana Sarasvati / Ardhito Pramono / Kawa NAIF
Komposer / Lirik: Arief Fauzan / Ricky Surya Virgana

Diskoria benar-benar mahu mengembalikan keseronokan menikmati muzik Disko di era ini dengan cukup gemilang sekali. Melihat senarai rilis mereka sejak beberapa tahun kebelakangan, duo bermuzik ini sudah menghasilkan sesuatu yang cukup segar dalam melewati pasaran muzik Indonesia hari ini.

Terkini menerusi projek yang diberi nama “Studio Pop” , Diskoria berkolaborasi dengan nama besar bidang Pop di Indonesia hari ini dalam penghasilan material baru untuk pendengar yang sentiasa dahagakan sentuhan baru dalam menikmati muzik secara umumnya.

Meneruskan legasi kembaraan “Studio Pop” sebuah kolaborasi hebat bersama Ardhito Pramono dan Isyana Sarasvati dihasilkan dengan kemunculan khusus KawaNAIF (Kumpulan peminat tegar NAIF) melatari rakaman lagu yang saya sifatkan cukup fun and fresh ini.

Lirik yang ditulis sebagai sebuah tanda terima kasih buat kumpulan legendaris ini menyatukan feel Isyana dan Ardhito dengan chemistry vokal yang menyatu begitu baik. Melodi dicipta dengan signature Pop Diskoria yang sentiasa mampu membuat kita bergoyang bersama dalam alunan pesona melodi pestanya.

Lagu ini bergerak sebagai sebuah keraian muzik yang penuh warna dan beragam sekali. Kemasan muziknya diadun cukup elemen pestanya yang sangat dirasai hingga ke hujung lagu menampilkan suara ramai KawaNAIF yang cukup meriah sekali dengan kemasan string yang penuh sentimental dan nostalgik.

“Mereka bermain bersama sampai nanti tua di dalam satu band. Tahukah kamu nama bandnya?”

8/10


ARTIKEL BERKAITAN

Ke Lubuk Dalam Sebuah Rasa, Yura Yunita Membuka Rahsia Batin Di Album Ketiganya

Highlight, Review, Terkini,

Ke Lubuk Dalam Sebuah Rasa, Yura Yunita Membuka Rahsia Batin Di Album Ketiganya

Yura Yunita tidak pernah mengecewakan.

Untuk seorang artis konsisten dalam kembara muziknya itu satu hal magis yang tidak ramai mampu melayarinya. Ada yang cukup hebat di penampilan album perdana dan kedua namun hilang arah di album ketiga hanya kerana mahu mencuba hal baru yang bukan forte mungkin juga pengaruh trend muzik semasa.

Itu kerisauan saya saat Yura merilis “Hoolala” dan “Mulai Langkahmu” yang hadir dalam pesanan arah urba Pop yang bakal dia hadirkan. Dan terdetik juga jika Yura akankah stagnant dengan ilham muzik “Buka Hati”? yang ditafsirkan dalam dua single “Tenang” dan “Duhai Sayang” yang siap dirilis dalam masa setahun dua ini.

Namun itu hanya detik hati saya sebagai penggemar. Saya takut saya bakal tidak lagi menyenangi karya-karya Yura kerana saya terlalu sukakan Yura yang di album perdananya seperti “Kataji”, “Jester Suit” dan “Balada Sirkus” yang penuh groove, attitude dan spirit bermuzik yang tersendiri.

Saat dia mengumumkan kelahiran album terbarunya “Tutur Batin” beberapa minggu lalu, saya hanya membayangkan ini bakal menjadi kelangsungan “Merakit” sebuah pop ‘spiritual’ yang diisi dengan pengalaman, kesayuan dalam ruang rasa terdalam seorang pemuzik yang mampu berikan.

Dan ya bisik batin saya benar, mendengarkan album ini ternyata seorang Yura di usia lebih 5 tahun bermuzik dia mahu sekali pendengarnya untuk benar-benar masuk ke dalam roh muziknya. Lebih membuka hati dan melepas dengan batas yang memberi inspirasi dan rasa yang mungkin dirasai juga pendengarnya tetapi belum pernah ditafsirkan dalam naskhah penulisan lagu seperti ini.

Seawal lagu “Dunia Tipu-Tipu” membuka album ini, Yura sudah membuka rasa bahagianya hidup dalam dunia sementara ini. Lagu ini saya kira sebuah pentafsiran cintanya buat suaminya Donne Maula yang diisi dengan kata-kata bahagia “Selalu nyaman bersama, Janji takkan kemana-mana.” sebelum diteruskan dengan bait “Ku tertawa tanpa tapi.” Sebuah pembuka yang cukup manis dan bahagia sekali.

“Bandung” membuat saya lebih enjoy dengan groove Yura dan kali ini saya kira Yura mengembalikan vibe “Kataji” yang saya rindukan. Kombinasi muzik Etnik, Pop dan Jazz di lagu ini tercantum ini dalam attitude vokal Yura yang tidak langsung mengecewakan. Saya mengulang dengar lagu ini berkali-kali kerana hebatnya ilham lagu ini yang sebetulnya terhasil simple namun solid.

Bergerak ke ruang Pop Yura di album ini, hampir kesemuanya terhasil cukup catchy. Lagu seperti “Hobi – Ghosting”, “Hoolala”, “Mulai Langkahmu” tidak sukar untuk buat kita enjoy. Yura meniup semangat lara dalam lagu-lagu Balada dengan baik juga di lagu “Mau Ke Mana” yang bergerak sebagai Piano Ballad yang menawan dengan penulisan lirik yang cukup menyentuh.

Saya paling tertarik dengan lagu “Tutur Batin”. Seperti sebuah “note-to-self” lagu ini menjadi naskhah penting untuk kita sebagai pendengar tahu, biar apa pun yang terjadi di hidup ini – you already doing your best for whatever reason it is, you never wrong, never lose! 

Yura saya kira sudah menzahirkan sebuah naskhah yang cukup baik sepanjang karier bermuziknya. Lagu ini hebat di segala aspek. Baik penghasilan melodinya, lirik sehinggalah feel Yura yang terkawal dalam emosi yang cukup dalam. Terlalu indah.

Album ini ditutup dengan “Andai Saja” buat saya lebih larut dengan emosi Yura. Kemasan string di lagu ini baik sekali sebelum diisi dengan efek bunyian yang menyatu dengan feel Yura serta melodi dengan begitu kreatif sekali.

Mendengarkan “Tutur Batin” melepaskan keresahan awal saya yang risau jika saya bakal kecewa dengan penghasilan album ini. Namun nyatanya, Yura semakin membuat saya menyenangi  muziknya yang semakin matang dan semakin baik.

9/10


ARTIKEL BERKAITAN

Yura “Merakit” Titian Dewasa Dalam Seriosa Paling Merdu & Puitis

Highlight, Review, Terkini,

Melewati Malam Dingin Dalam Kolaborasi Syahdu Tajul & Afieq Syazwan Menerusi “Malam Semakin Dingin”

Lagu: Malam Semakin Dingin
Artis: Tajul / Afieq Syazwan
Komposer / Lirik: Aiman / Lukhman S

Bakat muda Tajul dan Afieq Syazwan bergerak sebagai barisan pelapis muzik Pop yang saya kira sudah cukup stabil dengan jumlah penggemarnya yang tidak jarang payah untuk mendapat jumlah tontonan dan juga strim yang tinggi setiap kali keluar dengan naskhah muzik yang baru.

Disatukan dalam sebuah lagu rakaman semula persembahan asal kumpulan Spin berjudul “Malam Semakin Dingin” – sekali lagi mereka berdua  membuktikan keutuha nama mereka ini cukup disenangi pendengar melodi ‘leman’ khususnya.

Saya senang dengan idea merakamkan semula lagu-lagu terdahulu yang kadang kurang atau tidak sempat mendapat perhatian tetapi punya potensi besar untuk dilagukan semula sebagai naskhah baru yang mampu mencuri perhatian pendengar. Hal ini sangat banyak dilakukan pemuzik seberang, Indonesia khususnya.

Dan kemunculan Tajul bersama Afieq menerusi rilis ini satu daripada usaha yang baik kerana sejujurnya saya tidak pernah mendengar pun lagu ini dalam versi Spin. Saya hanya mendengar versi kumpulan tersebut setelah mendengar versi dua penyanyi muda ini.

Terhasil dalam melodi lara Balada bunuh diri yang biasa kita dengar, kekuatan lagu ini sepenuhnya terletak pada kemampuan vokal Afieq dan Tajul. Saya semakin menyenangi karakter vokal Tajul yang semakin matang tetapi kekal sederhana tidak berlebihan.

Feel Afieq sangat membantu memberi warna dalam rakaman semula “Malam Semakin Dingin” ini. No doubt he has the voice yang sangat cocok dengan lagu begini. Sangat sedap nyanyian Afieq dan saya boleh pejam mata sajalah dengan melodi Aiman yang terhasil daripada ilham “Gelisah Mimpi” meets “Bicara Manis Menghiris Kalbu” yang biasa kita dengar ini.

Namun since melodinya dicipta di era serupa dan tidak banyak hal baru yang boleh diwarnakan. Namun saya harus memberi kredit dengan kualiti rakaman dan kemasan muziknya yang tidaklah terlalu lame, semangat Baladanya boleh dikatakan mewah dan hal ini sekali lagi saya kira sangat dibantu feel hebat Afieq.

Lagu begini akan bagi lebih keterujaan buat pendengar / penonton jika dipersembahkan secara live di pentas besar. People will definitely will sing a long. “Malam Semakin Dingin” saya sifatkan sebagai naskhah leman yang acceptable.

6.9/10


ARTIKEL BERKAITAN

Potensi Besar Firdaus Rahmat Dalam Bermuzik Diteruskan Dengan Single”Waras”

Highlight, Terkini,

#LifeIsLive TAPAUfest Kembali Berpesta Secara Maya 30 Oktober Ini

Bakal menyaksikan gabungan persembahan 3 negara – Malaysia, Indonesi dan Singapura, TAPAUfest kembali lagi tahun dengan cara berbeza. Bakal menjadi festival gabungan seni muzik, filem dan gaya hidup yang akan disiarkan secara maya selama 14 Jam tanpa henti pada 30 Oktober nanti.

Menampilkan Sharifah Amani dan Iedil Putra sebagai pengendali acara, persembahan menarik telah disusun untuk semua pengikut festival seni ini. Zee Avi, No Good, Plague of Happiness dan Gard Wuzgut bakal mewakili persembahan dari Malaysia.

Meneruskan keterujaan TAPAUfest kali ini secara langsung juga bakal dibawakan persembahan dari pemuzik hebat Indonesia seperti SORE, Fleur dan The Panturas selain tiga pemuzik Singapura – Forests, Subsonic Eye dan Force Vomit.

Selain persembahan muzik, TAPAUfest tahun ini akan turut menampilkan beberapa woksyop dan tayangan dokumentari “Indie Rock Kota Tua” karya Nik Syazwan. Berikut detail acara dan pembelian tiket yang boleh anda beli di laman web rasmi TAPAU.

  • Tarikh : 30 Oktober 2021 (Sabtu)
  • Masa : 10am – 12am (MY time)
  • Tiket: RM30 (basic combo) – RM150 (sempoi combo)
  • Tiket boleh dibeli di www.TAPAUfest.asia

ARTIKEL BERKAITAN

Merungkai Spirit & Kebebasan Bermuzik Finalis Anugerah Musik Indonesia (Bidang Pop)