
Album: Exist (1991)
Artis: Exist
Produser: Rahim Othman
“Tuhan yang Esa, Ampuni dosa ibu, Tempatkan mereka di antara kekasih-Mu” menjadi bait korus paling kuat untuk kita diingati dalam sejarah muzik Pop tempatan. Tidak kiralah anda hardcore Hip-Hop, Punk atau apa pun pengaruh cult yang ada, “Untukmu Ibu” (Rahim Othman) daripada Exist yang beredar pada tahun 1991 itu pasti akan melekat.
Bermulanya kembara bermuzik kumpulan Exist di Johor Bharu pabila produser yang juga pengurus artis di syarikat rakaman tempatan Jojo Records iaitu Johan Aziz menyatukan Ajai, Mamat, Musa dan Shah lantas memberntuk Exist sebagai sebuah fenomena baru Pop / Rock tempatan di awal era 90-an.
Meneruskan legasi kugiran Pop sebelumnya seperti Mega antaranya yang cukup booming dengan ilham muzik serupa. Balada yang dimasukkan eleme Rock Melayu di dalamnya. Dengan antara lagu wajib mengangkat isu-isu semasa yang dekat dengan latar masa remaja ketika itu.
Maka terlahirlah lagu seperti “Hidupan Fantasi” dan “Kuman H.I.V” yang ketika di era 90-an sangat dekat dengan penularan isu-isu berkaitan kebebasab remaja dan h.i.v . Namun sebetulnya lagu-lagu ini hanyalah bergerak sebagai filler sebagai syarat melengkapkan sebuah album penuh.
“Kerana Cinta” menjadi sebuah lagu yang mungkin kurang popular tetapi cukup menarik perhatian saya. Kraf muziknya cukup kental pengaruh 80-an dan 90-an dengan balutan Pop dan Rock yang menyatu sebagai sebuah lagu yang cukup fun untuk dinikmati especially solo gitar Along yang menjerit di tengah lagu. Boom!
Exist ternyata lebih dikenali dengan lagu-lagu Jiwang mereka. “Rahsia Pohon Cemara” (LY) ketika diedarkan cukup mendapat perhatian luar biasa dalam memperkenalkan nama Exist di radar Pop muzik tempatan ketika itu.
Rintihan dan rayuan dalam lagu yang cukup sinonim dengan citarasa muzik pendengar tempatan menjadi pertaruhan yang cukup baik dalam membentuk Exist itu wujud dalam pasaran muzik tempatan berdekad lamanya.
Dan sehingga hari ini “Rahsia Pohon Cemara” dan “Untukmu Ibu” itu sudah menjadi sebuah naskhah malar segar yang sudah didengar generasi berganti. Dan perjalanan awal kumpulan ini untuk terus sustain dalam lapangan muzik tempatan saya kira berjalan cukup baik dengan penghasilan debut ini.
Selain dua hits tersebut, ada sebuah lagi lagu hits yang saya kira cukup ikonik. Lagu berjudul “Langkah Seiringan” (Harun Ahmad) sebuah lagu rock jiwang yang menjadi percaturan yang cukup berjaya popular sehingga hari ini.
Proses menyiapkan album yang dilakukan lebih 7 bulan atas faktor jadual persekolahan masing-masing ini telah dirakam sepenuhnya di Lion Studio, Singapura. Dan dengan penjualan album sebanyak 250,000 unit ketika itu memberi satu siren bahawa kugiran Pop ini akan mendominasi pasaran untuk jangka masa yang panjang.
Nama Exist bertukar menjadi Exists ketika mereka mengedar “Jangan Gentar” pada tahun 1997 ketika itu bersama vokalis baru, Ezad yang dicungkil daripada pertandingan nyanyian. Kesemua lagu-lagu di album perdana Exist kini boleh didengar secara rasmi di saluran YouTube “Getaran Nostalgia”.
ARTIKEL BERKAITAN