
Genap 25 tahun dia berjuang sebagai seorang pemuzik yang cukup dihormati senusantara, Glenn Fredly mengucap selamat tinggal di tanggal 8 April 2020 buat semua penggemarnya.
Glenn Fredly Deviano Latuihamallo atau Glenn Fredly berawal mejejakkan kaki dalam bidang muzik seperti kebanyakan penyanyi yang lahir di zamannya menerusi pertandingan-pertandingan nyanyian sebelum cukup diyakinkan untuk bergelar penyanyi rakaman.
Antara yang memberi tuah buatnya adalah pertandingan “Cipta Pesona Bintang RCTI” pada tahun 1992. Sebelum memulakan karier muzik di bidang solo, Glenn lebih awal menjadi anak band ketika bersama kugiran Rock bernama “Funk Section”.
Album self-titled perdananya yang beredar di tahun 1998 dengan pesona sebagai seorang bintang R&B, Glenn memikat kita semua dengan groove yang dimilikinya menerusi single seperti “Kau”, “Cukup Sudah” dan “Mobil Mama”.
Dan ketika di era tersebut, masih saya ingat untuk kita yang berada di Malaysia menikmati muzik seberang hanya berbekal satu platform sahaja iaitu – “Carta Baik Banget” (CBB) kendalian KC Ismail yang memperkenalkan saya pada Glenn dan bakat muzik seberang lainnya.

Menerusi CBB saban minggu saya menikmati “Kau” dan “Mobil Mama” yang menjadi all time favorite ketika itu sebelum dia muncul dengan “Kasih Putih” ciptaan Yovie Widianto di album kedua yang juga saya dengarkan menerusi program CBB.
Berbekal single “Kasih Putih” jejak langkah Glenn di Malaysia semakin dirasai dan disenangi di sini. Pasaran muziknya mula meluas dan semakin meluas ketika album keduanya menjengah pasaran tempatan dengan Kolaborasi istimewa bersama Amy Mastura berjudul “Dengarkanlah” karya cipta Helen Yap.
Glenn Fredly ketika itu berbekal 2 album yang cukup solid pengaruh Pop R&B nya meletakkan namanya sebaris bakat seberang lain yang cukup popular di sini ketika itu seperti Sheila On 7, Krisdayanti dan Dewa 19.
“Selamat Pagi Dunia” pertaruhan ketiga Glen tampil lebih membanggakan. Saya kira ini album terbaiknya atau mungkin yang paling memberi pengaruh besar sepanjang karier muziknya. Hits “Januari” cukup booming ketika itu selain beberapa Balada lain seperti “Sedih Tak Berhujung” dan “Akhir Cerita Cinta” yang menjadi lagu-lagu malar segarnya.
Setelah itu, satu per satu momen penting dicipta sepanjang dia bermuzik
Glenn Fredly akan sentiasa kita kenang sebagai pelapis muzik Indonesia yang disegani, disenangi dan disayangi semua. Apa yang pasti melodi kenangan yang ditinggalkannya akan sentiasa menemani setiap satu daripada kita yang terkesan dengan pemergiannya.
Saya pasti juga penghormatan buatnya sebagai pemuzik yang berjasa tidak akan berhenti sekali pun hari ini dia tidak lagi di sisi untuk menghibur dan membahagiakan kita semua dengan alunan sepenuh jiwanya.
Januari, Akhir Cerita Cinta, Terserah, Sekali Ini Saja, Kalah, Kasih Putih, Malaikat Juga Tahu sehingga ke Adu Rayu dan album terakhir dan album termanisnya “Romansa Ke Masa Depan” akan sentiasa kita dengar, kita nyanyi bersama dan kita semat sebagai lagu favorit sepanjang masa.
Dan hal pemergiannya ini pasti saja takkan “Selesai” kerana setiap kaset dan CD yang saya miliki sudah disimpan rapi agar pabila rindu menyapa akan saya keluarkan satu per satu melewati setiap inlay albumnya melewati foto-fotonya, membaca setiap bait lirik sehingga teks ucapan juga kredit pemuzik sambil terus terbuai dengan irama merdunya.
Terima kasih kerana sudah hadir 25 Tahun dalam hidup kami semua bagi membentuk satu budaya dan pemikiran yang hebat sebagai sebuah apresiasi muzik.
ARTIKEL BERKAITAN
Menerawang Perasaan Dalam Rendisi Pop Terkini Glenn Fredly Menerusi “Romansa Ke Masa Depan”