
Lagu: Selamat Jalan Kekasihku
Artis: Andien
Komposer / Lirik: Elfa Scearia
Produser: Ifa Fachir / Dimas Wibisana
Pesona bermuzik Andien bergerak dengan caranya yang cukup tersendiri. Tanpa terlalu berkira-kira untuk mengikut kehendak pasaran muzik semasa, lagu-lagunya yang beredar bergerak dengan acuan seperti mana yang dia mahukan.
Setelah merilis “Tiba Tiba Tabi” dan “Anakku Sayang” yang ditulis penuh bahagia meraikan kehidupannya sebagai seorang ibu kepada dua anak, Andien mengembalikan nostalgianya bersama Almarhum Elfa Scearia yang pernah menerbitkan album perdananya “Bisikan Hati”.
Lagu berjudul “Selamat Jalan Kekasihku” yang memberi kenangan manis buat Andien atas kemenangannya di Shanghai Music Competition dicipta khusus Elfa buatnya di pentas akhir pertandingan tersebut. Belum pernah dirakam dalam versi studio, Andien meraikan 21 tahun karier muziknya dengan single ini.
Dikemas muziknya oleh Ifa Fachir, lagu ini terhasil kembali dengan cukup indah susunan muziknya yang mewah dan beremosi. Bait lirik yang terisi dibawakan Andien dengan penuh kesederhanaan.
Cukup sesuai dengan apa yang terjadi dengan cerita sekitar dunia hari ini, tentang pemergian yang tak direlai – “Selamat Jalan Kekasihku” menjadi naskhah yang tepat mentafsirkan perasaan ramai yang kehilangan insan tersayang kerana pandemik Covid-19.
“Seandainya ku tahu kau akan pergi jauh, tak akan kulepaskan genggam jemarimu” Dilantun Andien dalam kesayuan yang cukup membuai perasaan sebelum dia menutup korus dengan bait “Walau pedih, selamat jalan kekasihku…”
Istimewanya rilis ini tidak hanya beredar audionya sahaja, Andien menzahirkan ilham cereka pendek yang boleh ditonton di saluran YouTube miliknya yang distutradarai soloist handalan, Tompi.
7.8/10
ARTIKEL BERKAITAN
Yura Yunita Menuai Semangat Positif Menerusi “Mulai Langkahmu”