
Awal kemunculan Camelia dalam suara manis melantun “Rindu Padanya” memikat pendengaran pendengar muzik Pop 90-an dengan kelainan dalam persembahan vokalnya.
Jelas dalam sebutan yang cukup tersendiri dalam mengalun irama Balada dengan pengaruh R&B dan Soul memberi tuah buatnya dikenali tidak hanya di pasaran mainstream malah di pentas Anugerah Industri Muzik yang memberikannya dua trofi – Artis Baru Terbaik dan Vokal Terbaik.
Itu sejarah yang akan sentiasa diingati pengikut Pop tempatan. Namanya sudah tercatat sebagai salah seorang vokalis yang tersendiri sebelum melebarkan sayap bermuziknya dengan rangkaian album yang saban tahun terhasil dengan cara berbeza.
“Memori” utuh sebagai album Pop R&B yang cukup solid diikuti “Mimpi” yang membawanya bereksplorasi dengan muzik Etnik Sarawak dalam persembahan Fusion Pop yang dibaluti pengaruh Jazz di dalamnya.
Namun siapa saja menyangka kembara bermuziknya berputar 360 darjah di album “Mysticam” yang juga merupakan nokhtah kepada kemunculannya di persada muzik tempatan.
“Mysticam” memberi dimensi berbeza muzik Camelia dengan pengaruh Hip-Hop, Dance dan EDM – album ini bergerak seiring pasaran muzik global yamg semakin memberi ruang untuk Hip-Hop mendominasi.
Dengan kerjasama produser muzik DJ Gabriel album ini turut menampilkan nama besar Hip-Hop tempatan seperti Joe Flizzow dan Arafah, “Mysticam” dihasilkan dengan melawan pasaran arus semasa.
“Seiring Sejalan” menjadi single perdana album ini yang megambil sample lagu klasik 70-an persembahan Sharifah Aini dan Broery Marantika dalam sebuah persembahan muzik yang diubah menyeluruh dengan citarasa baru yang memberi semangat baru melodi asal lagu ini.
Persembahan vokal Camelia juga nyata bergerak berbeza di album ini, namun masih kekal dengan kejelasan dalam persembahan leseluruhan. Lagu-lagu seperti “Kool” antara yang paling saya enjoy dengan persembahan vokal Camelia yang ada sensual dan purity.
“Puteri Santubong” sebuah lagi lagu yang mengambil sample lagu lama yang diberi kemasan muzik baru bersama penampilan Arafah. Sekali lagi Camelia bermain dengan stail dalam persembahan vokalnya yang dipersembahkan dalam lirik berbahasa Malaysia dan Etnik Sarawak.
Album ini saya kira ketika diedarkan agak berat untuk saya sendiri nikmati. Namun mendengarkannya setelah 16 tahun beredar buat saya semakin menikmatinya hari ini. Lagu seperti “Cong” yang datang dengan pengaruh raggae antaranya turut menampilkan sample lagu rakyat.
Transformasi Camelia di album ini saya kira kerana pengaruh sosial dan muziknya yang berubah, keberaniannya untuk menghasilkan album ini ketika dia di kemuncak orang sangat menyenanginya dengan Balada seperti “Kini Bebas”, Akhirnya” dan “Terlanjur Sayang” sesuatu yang harus dihormati.
“Mysticam” satu sisi berbeza yang dia mahu tampilkan sebagai orang pemuzik yang saya percaya tidak hanya mahu stagnant dengan satu jaluran muzik dan pada masa yang sama mahu melihat potensi dirinya sendiri.
Sebagai pendengar saya sendir dicabar untuk melihat sisi ini sebagai sebuah kemtangan, keinginan dan keupayaan Camelia untuk keluar daripada zon selesanya.
Dan apa yang sangat menarik dia meninggalkan kita terus tanpa menoleh atau memberi lebih Balada atau R&B nya dengan persembahan “Mysticam” sebagai buah tangan terakhirnya. Seperti mana judulnya, album ini sebuah mistik, hipnotik dan eksperimentasi Camelia yang akan sentiasa dikenang dan didengarkan.
ARTIKEL BERKAITAN
2 Dekad Deanna “FIX” Sebagai Sebuah Naskhah Sound of The Future Muzik Tempatan