
Album: Opera Radhi-O Friendly (2002)
Artis: O@G
Produser: O@G/ Paul Moss / Greg Henderson
Label: Positive Tones / Universal Music Malaysia
O@G memulakan karier bermuzik dengan hits Inggeris mereka seperti 60’s TV, Name of the Game dan Knocked Silly antaranya sebelum semakin digilai pasaran semasa dengan lebih meluas menerusi album “Opera Radhi-O Friendly”.
Album ini menjadi antara album penting ketika saya membesar sebagai remaja lepasan sekolah selain Sheila on 7, Exists, Dewa 19. Kaset album ini (dan Satelit Ink.) masih rapi dalam simpanan saya.
“Slumber” menjadi single penggerak Alternatif Pop berbahasa Malaysia ketika itu setelah munculnya Flop Poppy dengan “Cinta” dan dibangkitkan lagi dengan kolaborasi Radhi bersama Gerhana Ska Cinta menerusi album kedua mereka menerusi single “Senyuman Ragamu” yang cukup booming di awal era 2000.
Album ini bergerak dalam ilham Alternatif Pop O@G yang dilokalkan bunyinya agar lebih mesra dengan pendengar tempatan ketika itu. Formula mereka berjaya menarik minat lebih ramai pendengar tempatan (Melayu umumnya) untuk mendekati pasaran muzik indie di legasi komersil.
Lagu-lagu seperti “Stanza”, “Mutiara” dan all time favorite “Biru” saya kira meletakkan album ini sebagai killer album sepanjang kugiran ini bermuzik.
Penulisan lirik di lagu ini biar sebahagiannya mengambil bahasa harian tidak hadir canggung dan kedengaran pelik tetapi dibarisi selari dengan kehendak melodi lagu yang ditulis tanpa kedengaran pretentious.
Melodi mereka mudah ditangkap pendengaran, tidak menuntut masa yang lama untuk kita sebagai pendengar suka dan dekat dengan naskhah-naskhah mereka di album ini.
Mendengar kembali album ini setelah lebih 10 tahun beredar bagai tidak terasa masa beredar begitu pantas. Muzik di setiap lagu masih kedengaran segar dan produksi keseluruhan album masih mampu dibanggakan.
Formula Alternatif Pop O@G saya kira sudah banyak menjadi rujukan band band anak muda selepas generasi mereka dengan intepretasi muzik yang lebih current pastinya dan Opera Radhi-O Friendly sudah menjadi satu daripada rujukan yang cukup baik.
ARTIKEL BERKAITAN
Mengandalkan Masa Depan Yang Cerah Menerusi EP 5 Lagu “Kepala Batu” Oleh “Insomniacks”