
Generasi baru Hip-Hop tempatan bergerak cukup laju dengan pemasaran muzik digital yang banyak membantu mereka untuk mengembangkan kreativiti bermuzik tanpa sekatan dengan idea, pemikiran dan persembahan yang rata-ratanya datang dengan pengaruh pemuzik luar yang ditafsirkan dengan cara tersendiri.
Tuju salah satunya yang tajam dan peka dalam penulisan lirik dalam lagu-lagu persembahannya tidak kira secara solo, kolaborasi mahupun di saat bersama K-Clique. Banyak sebetulnya perkataan bahasa Malaysia yang dia eksplorasi untuk bergerak sebagai bahan fikir dalam kritikan sosial penulisan liriknya.
Maka dengan kelebihan yang dia miliki itu jugalah saya kira Black Hat Cat Records sebuah syarikat rakaman muzik Urban di bawah Warner Music Malaysia bersedia menghasilkan album perdana buat Tuju yang menutup kalender muzik tempatan 2021.
Mengambil judul “Untuk Kamu 18/19” album ini berisi 7 lagu keseluruhannya yang rata-ratanya dikomposisi sendiri Tuju bersama batalion muziknya seperti Mingaling yang turut bergerak sebagai produser album ini dan rakan-rakan K-Clique juga Altimet.
“Matahari” (Tuju / AJ) membuka album ini sebagai introduksi yang jelas arah muzik Tuju yang sudah sebati dengan pendengaran kita sebetulnya. Dinamik Tuju itu sebetulnya dalam penulisan liriknya. Penceritaan bersifat cukup personal refleksi diri dalam persembahan muzik terhasil cukup kemas. Hal ini diteruskan dalam dua single yang lebih awal beredar “Jiwa Pusing” dan “Khayalan” yang kedua-duanya dihasilkan bersama Mingaling.
Tuju meninggalkan kita dengan persoalan pencarian hidup yang membekas. Bait seperti “Mengejar sempurna takkan cukup” yang diteruskan dengan “Dalam ketenangan muncul ketegangan” bergerak dengan penceritaan Tuju yang cukup jelas pengucapan dan emosinya yang menyatu dengan sangat baik.
Album ini terisi beberapa lagu baru seperti “Tenaga” yang saya sifatkan antara lagu terbaik di album ini. Durasi lebih lima minit di lagu ini memberi satu pengalaman menikmati muzik Hip-Hop dengan penuh dinamik sekali dan membuat saya berfikir panjang falsafah penulisannya. “Bentang kamus, falsafah putus, Tu Ku punya liga? Nampak wa punya clique ja.” Adrenalin muziknya merasuk dengan turun naik beat yang menghentak pendengaran.
Attitude penyampaian Tuju menjadi kelebihan untuk kita sebagai pendengar menikmati album ini dari awal hingga ke akhirnya. Hal ini terbukti dalam lagu lainnya seperti “Embun” dan “Ambang” yang menutup album ini dengan meninggalkan sebuah kekaguman menikmati pemikiran dalam penghasilan muzik pelapis muda muzik tempatan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
10 Album Terbaik 80-an Ini Boleh Anda Nikmati di Saluran “Getaran Nostalgia”