#RetrospektifMuzik,

Melayani Jiwa Sentimental FLYBAITS Dalam Lagu Terbaik Yang Pernah Mereka Rakamkan

“Kasih Berubah” menjadi antara hits sepanjang zaman kugiran Pop ini yang sudah menjadi naskhah malar segar.

Kumpulan Flybaits menjadi antara barisan grup Pop yang mengisi lapangan muzik tempatan di era 80-an dengan rangkaian lagu-lagu hits malar segar mereka. Persembahan melodi yang mengikat jiwa-jiwa yang bersedih dalam pautan lirik-lirik cinta tak kesampaian cukup relatable dengan pendengar Melayu khususnya.

Biar harus sangat bersaing dengan kugiran Pop lainnya seperti Carefree, Alleycats dan Headwind – Flybaits berjaya mengisi carta muzik lagu-lagu popular sepanjang mereka bermuzik. Sempat menzahirkan sebanyak empat buah album iaitu Mempersembahkan… (1980), Pusingan Ke-2 (1982), Flybaits 3 (1983) dan Gurisan Hati (1984).

Lagu-lagu popular mereka masih didendang, dinyanyikan bersama biar berdekad lamanya sejak awal diedarkan. Muzik Kita minggu ini membawakan kembali kenangan sepanjang zaman meraikan muzik legenda Pop Flybaits menerusi saluran YouTube “Getaran Nostalgia.”

KENANGAN LALU (M. NASIR)

Lagu yang memberi populariti buat Flybaits kekal sebagai kugiran Pop yang diingati sehingga hari ini. “Kenangan Lalu” seperti mana judulnya dihasilkan dalam persembahan melodi yang menggamit kenangan dan menyentuh perasaan pendengar. “Puas sudah kau melukakan // Tiada pernah kau meyakinkan // Hati ini yang selalu // Mengharapkan kasihmu.” akan sentiasa menjadi bait syahdu yang ikonik diingati sehingga hari ini. Killer utama lagu ini tentu saja pada korusnya yang terhasil cukup menawan.

MENGAPA PERPISAHAN YANG KAU MINTA (OMAR MOHAMAD)

Dipetik daripada album terakhir mereka yang diedarkan pada tahun 1984, lagu ini sekali lagi memberi kelebihan buat Flybaits bersinar setelah struggle di album kedua dan ketiga dalam memberikan hits buat mereka. Lagu ini terhasil dalam ilham serupa yang banyak dirakamkan Alleycats namun masih tersendiri kerana karakter vokal Freedo yang membentuk lagu ini dengan garapannya yang tersendiri. Cukup menyentuh dan membuai.

KASIH BERUBAH (FLYBAITS)

Sebuah lagu yang terhasil dengan nilai malar segar yang cukup tinggi. Kraf lagu ini bergerak berbeza dengan apa yang ada di pasaran muzik 80-an yang ketika itu didominasi Alleycats. Flybaits memberikan suntikan muzik yang lebih moden dengan penggunaan instrumen seperti sax session di keseluruhan lagu yang berbalut sempurna string melatari lagu ini. “Kasih Berubah” merupakan lagu terbaik yang pernah dirakamkan kugiran ini.

KESAN (M. NASIR)

Kesyahduan “Kenangan Lalu” ciptaan M. Nasir diteruskan dengan komposisi muzik di lagu “Kesan” yang juga merupakan kesinambungan hits mereka. Lagu ini bercerita tentang kekecewaan dan harapan. Bahagian paling syahdu saya kira jelas di bahagian verse nya “Tinggalkan kisah yang sudah-sudah // Terima kasih duhai cahayaku.” Kemasan string di lagu ini benar-benar hidup dalam memberi lebih kesyahduan.

KASIH YANG TERSISA (M. NASIR / EUNOS ASAH)

Lagu ini saya letakkan antara komposisi muzik Balada yang unik ciptaan M. Nasir – sedikit eksperimental dalam semangat susunan muziknya. Kemasan lagu ini tidak lagi bergantung pada string session sahaja tetapi M. Nasir bermain dengan instrumentasi lain memberi impak berbeza menikmati lagu ciptaannya. Cuma saya agak bosan dengan persembahan vokal di lagu ini – flat dan tidak beremosi.

ANDAI KATA SERAI BERBUNGA (FLYBAITS / S. AMIN SHAHAB)

Kelebihan lagu ini adalah pada penulisan liriknya yang cukup unik dan puitis hasil nukilan S. Amin Shahab. “Andai kata serai berbunga // Di manakah letak tangkainya // Harumkah ia / Seharum mawar // Putihkah ia // Seputih Melur?” – Saya membaca teks lirik ini sambil berfikir, tersenyum sebegitu observant sekali S. Amin Shahab sebagai seorang penulis. Kepekaan begini yang ada pada seorang penulis saya sangat kagumi. Membaluti sempurna melodi yang ditulis dengan cukup lebut membuai.

RINDU DI MALAM HARI (FLYBAITS)

Lagu ini memiliki elemen lagu-lagu puisi daripada segi feel, penyampaian serta susunan muziknya. Kemasn string yang mengiringi lagu ini terhasil klise seperti apa yang banyak si era 80-an. Seperti yang biasa kita dengar dalam lagu-lagu ciptaan M. Nasir, Othman Taib antaranya. Apa yang menarik tentang lagu ini adalah liriknya dan persembahan vokal yang cukup matang serta solid dalam sebuah penceritaan yang begitu baik.


ARTIKEL BERKAITAN

Terkini,

Kelangsungan Bermuzik Alif Satar & The Locos Bakal Dipentaskan di Dewan Filharmonik PETRONAS

Hampir 2 dekad bergerak sebagai penyanyi, pengacara juga pelakon, Alif Satar di tahun 2018 mengambil langkah besar dalam memberi nafas baru kemabra bermuziknya dengan menubuhkan sebuah kugirag R&B Pop – Alif Satar & The Locos. Berawal dengan sebuah single kolaborasi menerusi single solo “I Want You To Love Me” Alif menggerakkan ilham muzik tersebut bersama The Locos.

Dengan itu terhasil beberapa single yang menaikkan kembali nama Alif dalam bidang muzik menerusi “Anugerah Terindah” dan hits rakaman semula bersama Raihan “Sesungguhnya” yang meletakkan nama Alif Satar & The Locos dalam radar popular muzik semasa.

Meneruskan kembara bermuzik mereka, ASTL bakal hadir membuat persembahan di pentas Dewan Filharmonik PETRONAS bersama Malaysia Philharmonic Orchestra (MPO) pada 26 Ogos mendatang. Konsert yang diberi nama “Lochestra: Alif Satar & The Locos With MPO” bakal dipimpin oleh Encik Ahmad Muriz Che Rose bersama pemuzik MPO

Penonton bakal dihiburkan dengan rangkaian lagu popular solo Alif serta sepanjang bersama The Locos. Hits seperti Hey!, Cukup Indah, Toxic, Jangan Nakal, Lelaki Seperti Aku, Sesungguhnya Aku dan Akhiri Penantianku akan diberi sentuhan muzik yang lebih harmoni dengan iringan orkestra.

Konsert ini mengukuhkan versatiliti MPO yang melangkau pelbagai jaluran muzik yang tidak terikat pada ilham klasikal sahaja malah juga irama tradisional, Pop dan Jazz. Alif Satar & The Locos akan memasuki senarai kolaborasi terunggul MPO bersama beberpa artis tempatan sebelum ini seperti Tan Sri SM Salim, Dato’ Sheila Majid, Ella dan Dayang Nurfaizah antaranya.

Beberapa siri konsert ekstravaganza akan diteruskan oleh DFP sepanjang tahun ini dengan menampilkan beberapa nama lain seperti Khai Bahar dan Meet Uncle Hussein.


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

Perjalanan Bermuzik Yang Tak Nokhtahkan Rizky Febian Menerusi “Berona”

Album: Berona
Artis: Rizky Febian
Produser: Beraldy Dean / Kenny Gabriel / Klency Lembono

Perjalanan bermuzik Rizky Febian beriring restu jutaan pendengar yang tidak hanya terikat negeri asalnya malah keterbukaan penggemar muzik Malaysia turut membuka ruang untuk dia bersinar sebagai pemuzik nusantara yang cukup digilai lagu-lagunya.

Sudah siap menghasilkan rangkaian hits demi hits yang tidak hanya terikat ilham solo malah duet yang yang semuanya terhasil booming. Kematangan bermuzik Rizky jelas dalam setiap penghasilan lagu-lagunya yang bergerak dengan citarasa yang semakin baik dan produksi muzik yang jelas berkelas.

Album perdana “Jejak” yang beredar di tahun 2018 menjadi titik tolak perjalanan Rizky yang juga satu pertaruhan yang cukup berjaya dan berpengaruh. Lagu-lagu yang terisi menjadi teman penggemarnya biar sehingga hari telah lebih lima tahun beredar.

Meneruskan perjalanan juga buah ilham yang membunga di sudut kreatifnya, Rizky menghasilkan lagi sebuah album yang diberi judul “Berona”. Masih digerakkan dalam acuan bermuzik Rizky yang cukup dominan stail serta penampilannya.

Album ini dibuka dengan “Berona” single perdana album ini dalam alunan mid tempo Pop yang sederhana namun terhasil cukup menawan. Korusnya cukup catchy yang dibaluti feel Bossa di tengahnya yang minimal namun cukup berkesan dalam memberi warna dalam persembahan keseluruhan.

Keterujaan menikmati album ini bergerak semakin baik di lagu “Membisu” yang saya sifatkan begitu kuat sekali esen muzik Rizky yang biasa kita dengar tetapi tidak menjemukan. Penghasilan melodinya laju mengikat pendengaran tanpa perlu kita berasa ia kedengaran lama atau bosan. Fun Pop begini menjadi nadi untuk Rizky benar-benar hidup dalam muziknya.

Rizky menjadi lebih soulful di trak ketiga “Ghosting“. Saya cukup terpesona dengan styling dalam nyanyian Rizky seawal dibuka pada bait “Sempat terbawa // Akan rayuanmu.” itu sudah cukup melengkapi kehendak melodi lagu yang ditulis – persembahan vokal serta muziknya menyatu cukup sempurna sekali. Rizky ada voice control yang sangat baik.

Dan hal voice control yang baik ini diteruskan lagi dengan lebih baik di lagu “Ego” yang menjadi lagu ulang dengar saya di album ini. Such a beautiful track. Ia merasuk seawal verse awal sehingga korus penghujungnya yang cukup sifat bergerak sebagai sebuah naskhah Pop yang cemerlang. Saya melayang lalu larut dalam alunan Rizky. Bahagian korus lagu ini sakti utama untuk menjerat pendengar melekat ke hujung lagu.

Bait liriknya ditulis cukup menarik dalam sebuah cerita patah juga kekecewaan. “Coba kau jadi diriku // Rasakan apa yang kursa.” sebelum bahagian bridge nya menjerit kecewa “Ku dihadapanmu // Ku rendahkan diri // Ku relakan hati // Mesku kau tega.” Such a beautiful song.

“Hilang” meneruskan momentum yang baik di lagu “Ego”. Kolaborasi bersama Teddy Adhitya lewat lagu ini benar-benar membuatkan Rizky bergerak lebih bebas dan jauh dalam ilham muziknya. Terhasil dalam sebuah persembahan cukup soulful, lagu ini menggerakkan zarah-zarah halus sebuah jiwa bermuzik yang cukup deep dan cukup berkesan memberi impak buat pendengar puas dengan penghasilan keseluruhannya. Dan liriknya? Amazing. “Namun lelah // ku berenang // Di kolam emosi.”

Album ini bergerak menarik dengan penghasilan beberapa lagu yang mengambil pengaruh muzik City Pop yang jelas dalam lagu-lagu seperti “Romansa” dan “Selaras Kata” juga feel lo-fi dalam lagu “Tetap Merindu” yang melengkapkan “Berona” sebagai sebuah album yang berjalan sebagai sebuah pelayaran pemikiran, idea serta citarasa bermuzik Rizky Febian yang semakin matang pastinya.

8.6/10


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

Pengaruh 2000’s R&B GAC Diteruskan Lagi Lewat Single “REALLY REALLY WANT”

Lagu: REALLY REALLY WANT
Artis: GAC
Komposer / Lirik: Gamaliel / Cantika Abigail / Audrey Tapiheru / Kenny Gabriel
Produser: Kenny Gabriel

GAC bergeak sebagai grup R&B Indonesia yang konsisten dalam penghasilan lagu yang dibentuk dalam acuan muzik mereka yang tersendiri. Biar sejak era “Bahagia” sehingga “Sailor” juga yang terakhir menghadirkan single “Baru” – esen muzik mereka sangat kuat dalam setiap single.

Seawal intro sahaja kita boleh sudah menebak itu jaluran dan arah bermuzik mereka. Hal-hal ini sebetulnya saya kira datang daripada pengaruh muzik R&B mereka yang banyak didedahkan daripada pasaran muzik global lewat 90-an sehingga memasuki era 2000.

Hal ini sekali lagi jelas dalam single terbaru mereka “REALLY REALLY WANT YOU” ciptaan bersama Cantika, Abigail dan Gamaliel bersama produser muzik Kenny Gabriel. Momentum lagu ini bergerak laju dalam acuan muzik GAC yang biasa kita dengar. Killer lagu ini tentu saja pada kombinasi suara tiga bersaudara ini yang menjadikan lagu ini powerful.

Cuma daripada segi melodi saya masih belum menemukan sesuatu yang baru. GAC seperti stuck di idea serupa tanpa infusi baru. Lagu ini terhasi seperti kebanyakan lagu mereka yang lainnya sebelum ini dalam formula serupa. Namun harus saya akui produksi lagu ini sangat kemas dan berkualiti tinggi.

Hanya ideanya sahaja saya kira GAC harus bergerak lebih ke depan setara dengan apa yang ada di pasaran muzik global hari ini. Ilham Indie R&B yang banyak hari ini jika disatukan dengan entiti muzik mereka saya kira mampu menghasilkan sound yang lebih fresh dan current tanpa perlu stuck dengan ilham serupa.

6.8/10


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

Menuju Album Terbaru Teddy Adhitya Hadirkan Single “Seperti Setiap Hari”

Lagu: Seperti Setiap Hari
Artis: Teddy Adhitya
Komposer / Lirik: Teddy Adhitya
Produser: Teddy Adhitya

Terakhir tampil dengan album pada tahun 2019 menerusi penghasilan “Question Mark?” sebelum merilis EP tahun lalu “Ocean” – Teddy Adhitya dibaluti perasaan kelam dalam lagu-lagunya. Single seperti “Langit Favoriteku” dan “Stay The Same”. Satu fasa yang saya kira cukup gelap menikmati muzik Teddy.

Dan melepasi fasa itu, Teddy yang bakal menzahirkan album penuh berbahasa Indonesia tahun ini, bergerak dengan lebih bahagia dengan pemasaran single perdana album yang akan diberi judul “Semua Semua”.

“Seperti Setiap Hari” bergerak lebih groove dan bahagia – baik penghasilan melodinya sehingga juga penulisan liriknya. “Kau pasti lebih baik denganku // Semua mimpimu juga mimpiku // Kan ku jaga baik hatimu.” mengisi bahagian korusnya yang cukup catchy dan berjaya membuat saya turut menyanyi bersama.

Single ini saya kira memberi bayangan seperti apa album baru Teddy akan terhasil yang pastinya jauh berbeza dengan apa yang kita nikmati di EP “Ocean”. Single ini penghasilan yang cukup baik produksi keseluruhannya. Simple namun sampai tanpa terlalu kompleks dan yang pastinya cukup menyenangkan.

8.2/10


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

Selama Mana “Waktu” Berlalu, Penantian Menikmati Single Terbaru Ziana Zain Akhirnya Berhujung

Lagu: Waktu
Artis: Hasif Upin / Ziana Zain
Komposer / Lirik: Firdaus Rahmat / Iqie Hugh / John Jeeves
Produser: Iqie Hugh

Untuk seorang penyanyi yang tidak memiliki lagu baru selama lebin 10 tahun lamanya dan kekal diingati, didengari juga terus didendang lagu-lagunya biar dari sekecil bilik karaoke sehingga sebesar mana pentas pertandingan nyanyian yang ada di Malaysia, Ziana Zain itu legenda.

Bukan apa, saya kira jika penyanyi lain pasti sudah dilupakan, namun begitulah kuatnya sakti seorang Ziana Zain – sentiasa disebut namanya dan sentiasa dinantikan kemunculannya. “Waktu” menjadi pertaruhan terbaru yang menggandingkan Ziana bersama bakat pelapis, Hasif Upin.

Seawal lagu ini dibuka dengan kemasan string sudah membunga dan menarik senyuman ke telinga. Komposisi Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves sudah banyak memenuhi pasaran muzik tempatan akhiran ini dan kali ini mereka bertiga menerajui sebuah lagi penghasilan lagu yang cukup grand sifatnya.

Melodinya mengikat biar harus mendengar sekali sahaja. Terutama di bahagian korusnya to be honest saya sifatkan the best chorus dalam mana-mana Balada Melayu yang terhasil tahun ini. Susunan string Ronald Viandra dan Sena Samino Isvara benar-benar memberi nyawa untuk melodi lagu ini bergerak lebih dinamik.

Penulisan lirik “Waktu” terhasil cemerlang, bait-baitnya terisi singkat namun jelas dan terus. Penceritaan Ziana dan Hasif dalam nyanyian mereka sederhana namun cukup memaknakan isi cerita. Hal ini cukup jelas di bahagian korusnya “Ragut separuh nyawa // Rapuh hasrat yang menjauh” sebelum disambut “Larut dalam lautan // Paut atas arus cinta // Makin tenggelam dalam kehampaan … Waktu.” Saya tidak pasti siapa yang menulis bahagian ini but it’s perfect.

Saya senang mendengarkan kolaborasi ini – seimbang, baik melodi, persembahan vokalnya setara tanpa kedengaran berlawan-lawan antara satu sama lain. It’s a great Ballad. Penghasilannya melengkapi antara satu sama lain. Tidak bingit, tidak juga meleweh dan yang paling penting tidak berlebihan. AJL? Yes.

9.8/10


ARTIKEL BERKAITAN

#PerspektifMuzik, #RetrospektifMuzik,

22 Tahun Yang Lalu Innuendo Meninggalkan Kita Dengan Satu Pengalaman Terbaik Menikmati Muzik R&B Tempatan

Jika ada yang bertanya pada saya satu album yang tak mampu saya menolak untu mendengarkannya tanpa skip – “BrandNuendo” (2001) adalah jawapannya. Pengalaman menikmati sebuah persembahan R&B tempatan yang cukup mewah dan terhasil dalam citarasa bermuzik yang cukup tinggi.

Innuendo mencuri perhatian pendengar dengan sebuah remake soulful “Belaian Jiwa” yang dihasilkan dalam satu acuan muzik yang berbebeza dengan apa yang terhasil di versi asalnya. Pengaruh R&B yang dibentuk keseluruhan debut Innuendo yang turut menampilkan hits “Selamanya” (Azlan Abu Hassan) menjadikan ia sebagai sebuah naskhah penting perkembangan muzik R&B tempatan.

Innuendo menjadi lebih bebas di album kedua mereka (yang juga album terakhir) “BrandNuendo” yang beredar 22 tahun lalu di tahun 2001. Membekas pengalaman berharga buat pendengar dengan impak muzik yang saya kira saya tidak dapat daripada mana-mana produksi album tempatan.

Ilham disko di single perdana album tersebut menerusi lagu “Only Dancin” hadir sebagai sebuah siren bahawa album ini bergerak berbeza dengan apa yang mereka hidangkan di album perdana. Penuh groove, menggerakkan bahu yang mendengar single ini berjaya meneruskan kelangsungan bermuzik Innuendo ketika itu.

Mendengarkan keseluruhan album ini ibarat sebuah pelayaran menikmati muzik tempatan di tahap berbeza. “Bodysong” cukup kuat pengaruh 2000’s R&B dengan infusi rap daripada M.O.B membentuk lagu ini naskhah R&B paling solid yang pernah dihasilkan Innuendo. Efek vokal dengan harmoni suara mereka menambah rencah terbaik di lagu ini.

“Trois” saya sifatkan sebagai the sex song. Mendengarkan liriknya ada possibility it’s about 3sum. dibuka dengan sebuah tanda tanya – “Who would’ve thought one day // As the dreamy night // I’ll hear her laughed cried out someone’s name // Who’s not mine // It’s not a man.”

Sebelum ia menjadi lebih wild di bait “Nothing satisfy giving to desire // Stayin’ inside all the night long till the morning light.” sebelum korusnya menjadi lebih wild When we we’re alone // Just she, her and me // Swing along and on and on … Trois.”

“Love is all around // We are heaven bounded.”

Correct me if i’m wrong but this is definitely the only local song yang cukup forward menulis tentang sex, wild night and desire. Inlay tanpa lirik baik CD mahupun kaset membuatkan saya keliru tetapi tinggi sifat ingin tahu tentang apa isi ceritanya. Dan ketika diedarkan (masih belasan tahun) saya sendiri tidak menyedari tentang semua. It is such a fun song to play.

Innuendo bergerak lebih sensual (musically) dengan Jazz tune di lagu “1,2 The Movies” yang saya letakkan sebagai salah satu lagu terbaik di album ini. Apa yang lebih istimewa adalah penampilan vokal Adibah Noor membaluti lagu ini dalam harmoni Innuendo yang bergerak sebagai vokal utama.

“Live Feel” bergerak sebagai anthem Innuendo yang lagu asalnya dimuatkan di album perdana mereka sebelum pendengar dilarut jauh melayang lewat lagu ciptaan Azlan Abu Hassan berjudul “Gemawan”. Apa yang boleh dikatakan lagi selain saya puas mendengarkan soulful Ballad begini yang nyata sememangnya menjadi kekuatan Innuendo sebagai grup vokal.

Lagu ini saya kira meneruskan kelangsungan “Selamanya” biarpun tanpa lagu suara Sam (yang memutuskan untuk keluar daripada Innuendo sebelum album ini dibikin), Innuendo masih belum hilang bisanya. Remy, Taj dan Pot masih kuat untuk bergerak sebagai grup vokal harmoni yang cukup cemerlang.

Hal ini dibuktikan terus di lagu “Nanti” yang juga menjadi single utama album ini. Kemunculan V.E dan Ruffedge di lagu ini membantu memberi mood yang lebih harmoni dan mengikat. Korusnya terhasil cukup baik dan jika siapa saja tidak ingat akan betapa ikoniknya ilham hitam putih muzik video lagu ini.

Mellow Innuendo semakin dirasai di penghujung album ini. Lagu “Only You” dan “Forever” dibikin khusus untuk penggemar Ballad di album perdana mereka khususnya. Mendengarkan vokal Remy saja sudah buat saya melayang. Such a great vocalist he is – soul yang ada dalam jiwanya diterjemah baik dalam lagu “Forever”.

Album ini ditutup dengan Jazz di lagu “Ratu Hati” dan lullaby di lagu “Tidur Sayang” yang kedua-duanya didominasi vokal Pot sebagai vokal utama. Bergerak sebagai penutup yang cukup baik album yang datang dengan transisi dan momentum muzik yang disusun dengan sangat baik.

“BrandNuendo” memberi saya satu pengalaman terbaik menikmati album tempatan. Dari satu ke satu lagu ia bergerak sempurna mengisi pendengaran, jiwa dan imaginasi. Hal ini tidak hanya bergerak ppada momentum muzik dan vokal Innuendo sahaja tetapi ia terisi lengkap dengan penulisan lirik yang beragam.

Tanpa hanya terikat pada ilham lagu-lagu cinta atau patah hati, “BrandNuendo” satu nokhtah panjang yang ditinggalkan oleh Innuendo dalam memberi impak serta juga bergerak sebagai sebuah persoalan kepada keterbukaan kita sebagai pendengar. Dan jika anda masih memiliki CD album ini, hidden track “69” cukup sinikal mengkritik pasaran muzik tempatan ketika itu yang dipenuhi dengan balada jiwang.


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

Melepas Rindu Lewat Kemerduan NJWA di Single “Alunan Lara”

Lagu: Alunan Lara
Artis: NJWA
Komposer / Lirik: NJWA 

Terlalu lama dan terlalu rindu sebetulnya untuk melihat NJWA menzahirkan sebuah naskhah muzik terbaru. Entah kali terakhir mungkin lagu-lagunya bersama Monoloque barangkali yang mungkin agak niche pasaran muziknya. Berat yang sehingga meminggirkan nilai komersil itu kadang-kadang tidak sihat juga untuk perkembangan karier.

Jadi kebetulan beberapa hari sebelum single “Alunan Lara” pertaruhan terbaru yang ditulis mengisi runut bunyi filem “Rahsia” diedarkan, saya kembali ke album “Innocent Soul” menikmati puas alunan vokalnya di lagu seperti “Go Head”, “Jealousy” dan “How Long Must I Wait”.

Dan kebetulan juga setelah beberapa lama hilang dari radar media sosial, NJWA berkongsi perkhabaran baru dalam satu reel posting yang memberi bayangan single baru akan menyusul dengan hashtag #rahsia2023 – ya, ia membuat saya teruja.

Untuk menikmati betapa sedapnya suara NJWA itu saya tidak berkira masa untuk menunggu, artis sepertinya is a gem, tak selalu ada dan pabila menjelma pasti kerana ada sesuatu yang mahu dikongsikan. Dan jika mendiam saya tahu saya sentiasa akan kembali ke lagu-lagu terdahulu. Mengulang dengar dan melupakan sekejap how shitty songs on chart today.

Maka setelah sekian lama, dua minggu lalu dia menzahirkan “Alunan Lara” yang bergerak kelam, dalam dan merasuk. Lagu sepenuhnya ciptaan NJWA ini dibuka dengan petikan piano yang cukup haunting sebelum vokalnya menyatu dengan muzik yang disusun.

Saya tidak pasti berapa banyak lagu berbahasa Malaysia yang ditulis NJWA selain “Impian Terindah” tetapi berdasarkan dua lagu ini, NJWA bukan hanya handal menulis dalam bahasa Inggeris tetapi dia juga penulis dan pencerita yang baik dalam bahasa Malaysia.

Pemilihan kata-kata yang mengisi bait lirik “Alunan Lara” terhasil sempurna tanpa terasa canggung dengan hal-hal yang tidak perlu. Disusun kemas sebagai sebuah teks cerita tanpa big phrase yang terlalu mencuba. Saya menyenangi penulisannya terutama di bahagian “Mungkinkah terurai // Inti dan kata // Terpendam cerita // Sebuah rasa.”

Lagu ini saya kira selain bergerak mengikut jalan cerita serta mood filem “Rahsia” yang bakal ditayangkan, ia juga menjadi penawar kerinduan penggemar NJWA yang sentiasa menanti sabar akan karya-karya terbarunya. Semoga jika NJWA membaca artikel ini saya masih mengharapkan lebih lagu daripadanya tahun ini.

8.9/10


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

Menelusuri Jiwa Mellow Lunadira Menerusi “Overthinking”

Lagu: Overthinking
Artis: Lunadira
Komposer / Lirik: Lunadira
Produser: Reddi Rocket

Pasaran muzik Urban Pop tempatan sentiasa diisi dengan keterujaan bermuzik yang cukup ke depan dengan sound yang lebih current dan bersifat global. Pasaran muzik begini semakin luas sebenarnya dan membenarkan sangat banyak nama-nama baru yang tampil berani juga yakin dengan naskhah mereka.

Hal ini sudah dibuktikan Lunadira sejak dia mula bermuzik dengan “Forever’s Not Our Thing” sehinggalah kolaborasi bersama Midnight Fusic menerusi “Vertigo” juga Reddi Rocket di EP “Tangerine”. Nama Lunadira antara yang secara peribadi sentiasa saya nantikan kemunculan single terbarunya.

Setelah awal tahun ini awal dalam sebuah projek bersama COLOR Show menerusi single “GO SLOW” – Lunadira tampil dengan single kedua tahun ini menerusi lagu ciptaan sepenuhnya sendiri berjudul “Overthinking”.

Dalam feel berbeza berbanding apa yang pernah dihasilkan sebelum ini, Lunadira hadir lebih mellow dalam bait-bait lirik yang lebih sentimental. Melodi terhasil cukup mengikat pendengaran, seawal dibuka dengan “I’ve been overthinking again // Let the past go.” Dia berjaya membuat saya senang dengan lagu ini.

Bahagian korus lagu ini menjadi lebih baik bergerak sebagai killer utama lagu ini. “What’s wrong with a little bit of time? // I’m not ready to commit or die // Ego gets a little bigger // I’m scared, I’m just getting older.” Sedap dan membuai rasa. Vokal Lunadira membaluti sempurna melodi ditulis dengan kemasan muzik yang sederhana membenarkan emosinya benar-benar dirasai. A repeat mode.

9/10


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

Momentum Bermuzik Firdaus Rahmat Menderu Laju Dengan “Merah”

Lagu: Merah
Artis: Firdaus Rahmat
Komposer / Lirik: Firdaus Rahmat / Iqie Hugh / Omar K
Produser: Omar K / Firdaus Rahmat

Jika anda pembaca setia MK, nama Firdaus Rahmat bukanlah asing di portal ini. Sejak awal mengisi pasaran muzik tempatan dengan “Aku Rayu” yang beredar di tahun 2019 sehingga hits “Sentiasa” yang telah kami letakkan sebagai 10 Lagu Terbaik 2021 – Potensi yang ada padanya itu sesuatu yang pastinya akan berkembang seiring masa.

Tidak hanya terikat dengan penciptaan lagu nyanyiannya sendiri, Firdaus cukup besar dalam lapangan muzik Pop hari ini. Rangkaian lagu ciptaan kolaborasi bersama Iqie Hugh, Omar K dan Mas Dewangga antaranya menjadikan dia bakat sebagai one to watch!

Usai fasa Big Stage yang meluaskan lagi landskap bermuziknya, Firdaus Rahmat bersama WP Entertainment meneruskan momentum dengan lebih laju deruan adrenalinnya. “Merah” menjadi pertaruhan bergerak sebagai penanda aras kematangan muzik Firdaus dan pada masa yang sama menguji keterbukaan pendengar dengan ilham terbarunya ini.

Bergerak dalam asas Pop yang lebih keras nadanya berbanding “Sentiasa” dan “Waras” – lagu ini terhasil dalam satu nafas berbeza menikmati muzik Firdaus yang mungkin juga kelangsungan kejayaan single “Test Drive” sebelum ini.

Attitude bermuzik Firdaus berbeza kali ini, jiwanya lebih bebas. Mungkin ini bergerak atas kehendak pengisian runut bunyi, ia terhasil dalam persembahan yang ada amarahnya, keras dan lepas. Liriknya membawa cerita tentang kecelaruan juga konflik diri yang saya kira bergerak juga sebagai sebuah kritikan sosial.

Personally muziknya tidak mengikat saya dengan sekali pendengaran, mungkin kerana terbiasa dengan romantisme Firdaus di single-single sebelumnya. Namun saya lebih mudah enjoy menikmati lagu ini sambil mendalami isi cerita dalam penulisan liriknya. Kepuasannya saya capai setelah mendengarkannya buat kali kedua juga ketiga.

Ia nyata lari dengan apa yang biasa kita dengar di single “Aku Rayu” dan “Sentiasa” yang lebih sentimental dengan styling nyanyian yang sounded “malas” but it works on him – melengkapi kehendak lagu, lirik dan feel. Hal ini juga membuatkan Firdaus tersendiri juga current. Paling jelas anda boleh dengarkan teliti di lagu “Aku Rayu” dan “Waras”.

Semoga usai “Merah” dapat sekali lagi kita menikmati kemerduan dan “kemalasan” yang bersahaja daripada Firdaus dalam persembahan Pop yang lebih sederhana membuai selepas ini.

Potensi Firdaus sangat besar dan pasti jalannya juga masih panjang untuk bernadi sebagai pelapis muzik tempatan yang boleh dibanggakan satu hari nanti.

7.8/10


ARTIKEL BERKAITAN