
Pengaruh muzik Pop Alleycats di penghujung 70-an meledak dengan keunikan mereka sebagai sebuah kugiran multi bangsa yang didepani seorang sosok vokalis bukan Melayu yang mampu menyanyikan lagu-lagu berbahasa Malaysia dengan baik sekali.
David Arumugam mempesona dengan kelancarab bahasanya dan feel menyampaikan lagu-lagu Pop dengan pengaruh Disko ketika itu dengan cukup cemerlang sekali. “Terima Kasih” menjadi judul album perdana mereka yang sehingga hari ini menjadi trademark David di setiap persembahan.
Single “Jika Kau Bercinta Lagi” yang dihasilkan oleh M. Nasir menjadi pertaruhan terbaik yang sehingga hari ini menjadi lagu malar segar yang masih didengari oleh pendengar berganti genearasi. Melodinya cukup kuat mengikat dengan sekali pendengaran dengan bait lirik yang mudah diingati.
Album ini bergerak sebagai sebuah album Pop yang hala tujunya ketika diedarkan sudah berarah pada muzik Disko dan Pop berbanding apa yang banyak di pasaran ketika itu adalah muzik saduran Hindi. Alleycats menerusi label muzik mereka melawan arus pasaran muzik semasa dengan lagu-lagu yang lebih moden sifatnya.
Maka terhasillah lagu seperti “Aku Terperangkap”, “Kembalilah Padaku” yang bergerak sebagai naskhah saduran bagi mengisi album ini. Dalam penulisan lirik berbahasa Malaysia lagu-lagu begini menjadi ikutan beberapa penyanyi lain di era tersebut.
Saya tertarik dengan rakaman instrumentasi di lagu berjudul “Jun” yang hadir dalam pesona Ballad dan Soul yang minimal namun cukup melayang sifatnya. Petikan piano di lagu ini menjadi killer utama yang mengikat pendengaran saya pada keseluruhan lagu yang terhasil baik. Music bridge seperti menikmati lagu-lagu di lounge hotel – chill dan relaxing.
Album ini memiliki sebuah lagi lagu ciptaan M. Nasir yang cukup malar segar iaitu “Senandong Semalam”. Alleycats bergerak berbeza di lagu ini yang menutup album ini dalam feel yang lebih berat terisi lirik yang bersulam mesej kemanusiaan.
Elemen nostalgianya cukup kuat sebaik lagu dibuka dengan lirik “Berirama senandong semalam // Ku terkenang peristiwa silam.” Kesyahduan dan perasaan yang dialirkan dalam persembahan muzik yang cukup baik. Saya sangat enjoy dengan rakaman live string di lagu ini yang kedengaran cukup raw.
Album ini bergerak sebagai sebuah pengenalan yang cukup baik bagi Alleycats ketika itu untuk dikenali dengan lebih meluas. Persembahan keseluruhan album ini sangat baik – pemilihan lagu-lagu dan feel nostalgia itu sendiri bergitu kuat mengikat pendengar.
ARTIKEL BERKAITAN