
Dayang sering bercerita tentang projek “Belagu” yang merupakan mimpi yang nyata buatnya. Daripada hanya berbekal ilham sebuah album yang dirakam secara langsung bersambung pula tanpa dirancang, sebuah album lengkap iringan full string orchestra Budapest Scoring menjelma.
Yang bahagia dengan projek tersebut bukan hanya dia atau pengikutnya tetapi saya kira semua penggemar muzik tempatan turut berbangga. “Belagu” saya kira satu era tertinggi dalam hierarki kembara bermuzik Dayang yang sudah melepasi usia dua dekad. Satu pencapaian yang cukup tersendiri dan tak tertandingi.
11 Mac lalu, satu lagi pencapaian yang saya kira sangat boleh dibanggakan Dayang juga pasukan pengursannya pabila mencipta sejarah tersendiri setelah lebih 20 Tahun bermuzik, dia buat pertama kalinya belagu bersama Malaysia Philharmonic Orchestra (MPO) yang dikongsikan dengan seluruh penggemarnya.

16 lagu didendangkan, dalam kemasan muzik Aubrey Suwito dan iringan orchestra MPO yang dikepalai Ahmad Muriz Che Rose memberikan pengalaman menikmati muzik Melayu Klasik dengan cukup mewah dan tinggi sekali darjatnya.
“Tudung Periuk” membuka persembahan dengan lenggok merdu Dayang yang dijaga santun dan adabnya. Mendengar dengan teliti nyanyian Dayang lewat dua album “Belagu” saya kira Dayang benar-benar membawa dirinya keluar daripada corak tipikal stail “Dayang Nurfaizah” yang tidak langsung kita dengar patah lenggok R&B nya tetapi dijaga penuh kesantunan dalam layangan muzik klasik Melayu itu sendiri tanpa mengubah tetapi meninggikan lagi kesedapan dan kemerduan lagu-lagu lama ini.
Hal ini benar-benar kami semua yang berada di Dewan Filharmonik Orkestra rasai malam konsert tersebut. “Dikirim Jangan Dipesan Jangan”, “Tak Seindah Wajah” dan “Menanti Di Ambang Syurga” yang membuat saya seakan terhenti nafas mahu menyerap segalan emosi dan perasaan yang disalurkan Dayang. Seperti salah satu lagunya “Dari Hati ke Hati” begitulah saya sifatkan “Konsert Belagu” – satu persembahan dari hati yang mengalun sampai ke hati yang mendengar.

Dayang malam tersebut seperti biasa bersahaja dalam bicaranya seperti apa yang biasa kita lihat, begitulah Dayang dan sebetulnya kali ini dia kelihatan benar-benar selesa begurau dan mengusik penonton yang malam tersebut cukup responsive sekali. “Tari Tualang Tiga” didendang di slot pertama konsert mengundang riuh di DFP, mereka sama menari, bersorak dan menyanyi bagai sebuah pesta meraikan muzik Klasik Melayu dengan begitu nostalgik sekali.
Tiga set konsert yang berlangsung lebih 2 jam bagai tak terasa lamanya, melewati satu per satu lagu yang dinyanyikan penuh (tanpa medley) berjiwa mengundang bangga saya melihat Dayang – Dayang yang mula saya kenal sejak “Hakikat Cinta” dan membuat saya jatuh suka kerana “Kembalilah Sayang” hari ini menjadi Dayang Nurfaizah yang cukup dewasa dalam kembara bermuziknya.
Saban tahun semakin baik, tanpa mahu menoleh kebelakang dia terus “muda” dalam persembahan muziknya yang sentiasa seiring pasaran muzik semasa tanpa perlu berkompromi dengan kualiti yang biasa-biasa.

“Belagu” sebuah era yang akan sentiasa dikenang dan konsert malam tersebut akan sentiasa diingati semua yang hadir sebagai sebuah pengalaman menikmati muzik Klasik Melayu di tahap yang paling baik pernah dipersembahkan. Saya kira jika legenda-legenda muzik seperti P.Ramlee, Saloma, Ahmad Jais dan S.M Salim masih barnadi, pasti berbunga bangga jiwa mereka melihat setinggi itu lagu-lagu mereka digubah dan dipersembahkan.
Kredit harus juga diberikan pada semua pasukan pengurusan Dayang, Sharina terutamanya yang menjadi tulang belakang, juga Aubrey yang menyusun kembali kesemua lagu menjadi semakin hebat sehingga imej dan styling grandeur Abidin Khairul yang berbalut mewah busana Rizalman oleh Faizul. Tanpa juga melupakan tatarias Khir Khalid dan dandanan Yusof Ruzaimi yang melengkapkan overall look “Belagu”. Tahniah dan teruslah saling melengkapi.
Senarai Lagu
- Overture
- Tudung Periuk
- Tak Seindah Wajah
- Malam Ku Bermimpi
- Gurindam Jiwa
- Tari Tualang Tiga
- Dikirim Jangna Dipesan Jangan
- Kenang Daku Dalam Doamu
- Intermission
- Nak Dara Rindu
- Menanti Di Ambang Syurga
- Ketipang Payung
- Mengapa Dirindu
- Sejak Ku Bertemu Padamu
- Dari Hati ke Hati
- Rindu Menyapa
- Encore – Jauh Di mata & Umpan Jinak di Air Tenang
Semua gambar daripada Facebook Dayang Nurfaizah.
ARTIKEL BERKAITAN