Bakat R&B yang suga saxophonist, Rafi Sudirman dalam rangka kerjayanya dalam bidang muzik siap meyakinkan pendengar dengan rangkaian lagu-lagu bersifat sentimental yang menyentuh. Lagu-lagu seperti “Goodnight” dan “That Somebody” sudah membawa namanya ke tahap yang membanggakan.
Jaluran muzik Pop yang bergerak dalam arus Soul R&B sudah dibuktikan seutuhnya menerusi ep “Endlessly” yang cukup kuat bergerak sebagai satu pembuktian akan keseriusan Rafi untuk bergerak sebagai penyanyi juga pemuzik di Indonesia.
Tidak mahu menidakkan kepentingan dalam menghasilkan lagu-lagu berbahasa Indonesia, setelah lebih tiga tahun berada di radar popular, Rafi Sudirman pertama kali menghasilkan lagu berjudul “Pengagum” dalam persembahan Balada yang cukup membuai rasa.
“Pengagum” pertama kali mendengarkannya pantas mengingatkan saya pada naskhah-naskhah yang pernah dirakam Glenn Fredly. Rafi memiliki arah muzik serupa dengan apa yang pernah dihasilkan Glenn dalam lagu-lagunya.
Melodi sebegini saya kira sudah banyak dihasilkan dan mungkin keistimewaannya adalah pada kemasan muziknya. Tohpati yang mengemudi trak ini saya kira benar-benar menjaga kraf muzik Rafi agar tidak terlalu bergerak jauh dengan apa yang pernah dia hasilkan sebelum ini.
Namun daripada segi impaknya, lagu ini tidak begitu memberi keterujaan saat pertama kali mendengarnya. Mungkin seperti saya kata tadi atas faktor melodi dengan formula yang biasa kita dengar tidak memberi apa-apa yang lebih untuk lagu ini memenagi hati saat mendengarkannya.
Lagu: Sabar Artis: Nora / Putri Dahlia Komposer / Lirik: Mas Dewangga / Jova Devito / Navigator Produser: Mas Dewangga
No doubt Nora sehingga hari ini masih satu di antara vokalis wanita terbaik yang kita. “Menyemai Cinta Bersamamu”, “Di Persimpangan Dilema”, “Desa Tercinta” dan banyak lagi rangkaian hits malar segarnya masih didengari sehingga hari ini sebagai bukti dia satu daripada Pop legend yang masih dirindui.
Fasa kecewa dengan industri muzik yang tidak lagi meraikan lagu-lagu penyanyi lama membuatkan Nora sepi daripada radar Pop hari ini sekalipun dia cukup aktif di pentas persembahan korporat ketiadaannya di kaca televisyen dalam membuat persembahan pentas buat dia sedikit menjauh. Berbanding kelibat Liza Hanim yang lebih kerap di televisyen.
Sayang sebetulnya sebab Nora masih mampu menyanyi dengan sangat baik dan kerinduan itu menebal sebtulnya untuk melihat dia di pentas besar. Terakhir kali percaturan “Ada Dalam Tiada” sebagai single juga kurang mendapat sambutan biarpun saya kira lagu itu sudah cukup ramuannya mencuri perhatian pendengar.
Terkini dalam rencana mengubat rindu penggemarnya Nora akhirnya merilis sebuah single terbaru. Diberi judul “Sabar” yang turut menampilkan Putri Dahlia, anak gadisnya dalam sebuah persembahan muzik Pop dengan infusi muzik timur tengah. Dipcipta duo dininamik Mas Dewangga dan Jova Devito bersama Navigator.
Persembahan muzik kali ini saya kira satu penghijrahan jauh Pop Nora yang arahnya lebih matang daripada banyak sudut kehidupan sebetulnya. Seperti apa yang kita lihat pada posting di Instagram miliknya saya kira dialih sebaiknya di lagu terbarunya ini – tentang hidup, tentang sabar.
Melodinya sederhana tanpa terlalu rumit. Transisi muziknya bergerak linear saya kira ia terhasil kerana Nora mahu lagu ini benar-benar diberi penekanan pada penulisan liriknya. Straight to the point dengan pesan yang jelas. Sebetulnya lagu ini tanpa Putri pun sudah sedap namun saya ia mungkin bergerak sebagai satu strategi mencuri perhatian peminat Putri.
Saya senang mendengarkan vokal Nora yang masih sedap, jelas sebutannya, terang penceritaannya. Masih berbisa dan mengikat seperti dulu. Semoga beriring single ini kita boleh jangkakan lebih lagi lagu-lagi daripadanya selepas ini. Melodi lembut dalam “Naluri”, “Hanya Satu”, “Pinta” dan “Jentayu” yang cukup membuai rasa, dialun sempurna dengan persembahan sepenuh jiwanya.
Pasaran muzik era 80-an cukup berwarna dengan pelbagai jaluran muzik yang menembus pasaran muzik semasa dengan mengenggelamkan ilham Balada Melayu dengan pengaruh Hindustan yang cukup popular di era Uji Rashid juga DJ Dave.
Kemunculan Sheila Majid dan Kumpulan Search memberi impak luar biasa. Sehingga hari ini dua nama ini sudah bergelar legenda yang sentiasa dinantikan naskhah-naskhah terbaru mereka dan lagu-lagu lama yang sentiasa diraikan dengan gemilang.
Muzik Kita membawa pembaca minggu ini kembali ke tahun 1985 bersama saluran YouTube “Getaran Nostalgia” mengembalikan memori hits terbaik sepanjang tahun tersebut.
KEJORA (SEARCH / M. NASIR / S AMIN SHAHAB)
“Kejoran” menjadi lagu yang membawa nama Search dalam radar popular muzik semasa di era 80-an sebelum menjadi lebih booming dengan hits lain seperti “Isabella” dan “Fantasia Bulan Madu”. Terhasil dalam komposisi tersnediri M. Nasir, lagu ini mencipta fenomena lagu-lagu Rock tempatan. Sebuah lagu lagu yang cukup popular di album ini adalah “Isi Atau Kulit”.
SINARAN (SHEILA MAJID / AZLAN ABU HASSAN / JOHAN NAWAWI)
Mungkin tidak salah jika dilabel sebagai lagu paling popular di tahun 1985. Sheila Majid hadir dalam pesona penyanyi Pop yang cukup urban dengan infusi muzik City Pop meets Jazz yang minimal. Album diberi judul “Emosi” sehingga hari ini mempunyai impak luar biasa tidak hanya di Malaysia malah seisi nusantara. “Sinaran” is the 80’s Pop anthem!
JEJAKA IDAMAN (RAJA EMA / FAUZI MARZUKI)
Bubble Gum Pop era 80-an didominasi Raja Ema dengan rangkaian lagu popularnya. “Jejaka Idaman” antara yang akan sentiasa diingati pabilan kita berbicara tentang karier muzik Raja Ema. Lagu ini terhasil cukup catchy dan merasuk terutama di bahagian korusnya. Persembahan vokal sederhana Raja Ema cocok dalam struktur lagu begini. Simple and sweet.
LAYANG-LAYANG TERPUTUS TALINYA (ALLEYCATS / M. NASIR)
Dominasi muzik Alleycats di penghujung 70-an berterusan di era 80-an. Terlalu banyak hits dihasilkan dan satu daripadanya yang dedarkan pada tahun 1985 berjudul “Layang-Layang Terputus Talinya” menjadi pertaruhan terbaik mereka untuk terus relevan dalam psaran muzik tempatan. Lagu ini menjadi satu daripada lagu yang cukup penting sepanjang karier mereka ciptaan bersama M. Nasir.
DUIT (KEMBARA)
Ilham Folk dan Rock daripada kugiran Kembara memberi kelebiha untuk mereka diingati dengan cara ckup tersendiri. Selain penghasilan melodi yang kuat kelebihan mereka adala pada lirik yang mengendong ilham sosial kemanusiaan. “Duit” bergerak sebagai salah satu lagu yang hadir sebagai pesan sosial dalam melodi yang terhasil catchy dan segar.
TERASING (SUDIRMAN / MANAN NGAH / HABSAH HASSAN)
Diradrkan lebih awal di tahun 1984, lagu ini terus malar segar di tahun 1985. Sudirman sememangnya juara dalam melantunkan irama kesyahduan yang begitu menyentuh. “Terasing” menjadi salah satu lagu yang akan sentiasa diingati dan didengari. Melodi gelisah dalam perasaan paling galau akan menyentu sesiapa saja yang mendengarnya.
Nama biduanita Pop Ramlah Ram mula mencuri perhatian ketika dia mengungguli program Bintang RTM yang menjadi pembuka pada jalan panjangnya sebagai penyanyi sehingga hari ini. Berbekal bakat, semangat juga sokongan individu yang tepat album perdana “Sabarlah Sayang” (1986) menyusul sebagai penanda aras sama ada dia akan survive atau tidak sebagai penyanyi baru ketika itu.
Menyingkap kembali kejayaan Ramlah Ram sebagai sebuah figura Pop yang begitu diingati, album keduanya “Kau Kunci Cintaku” menjadi sebuah album yang cukup penting sepanjang kariernya dengan barisan hits malar segar. Mendengarkan kembali album ini mengundang nostalgia dan menggambit memori.
8 Ogos 1988 menjadi tarikh album ini diedarkan dan tahun ini Ramlah Ram bersama peminatnya meraikan ulang tahun ke-35 hits-hits seperti “Apa Khabarmu Di sana”, “Diam-Diam Jatuh Cinta” dan pastinya Balada malar segar “Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu”.
Album ini datang dengan pengaruh muzik Melayu di era 70-an dan 80-an dengan infusi Dangdut juga Hindi. Hal ini saya kira jelas dalam lagu seperti “Penantian Yang Tak Berakhir”. Elemen nostalgia muzik dua era tersebut jelas dalam penghasilan lagu ini. Vokal Ramlah begitu cocok dengan lenggok yang melengkapi melodi yang dihasilkan.
Biarpun ketika itu muzik tempatan sudah mula berevolusi dengan sound yang lebih moden dengan kelahiran Sheila Majid juga kumpulan Freedom yang lebih forward dengan pengaruh muzik luar yang lebih segar. Namun nama Ramlah Ram tidak tercicir daripada mendapat tempat juga air play di radio. Namanya dilihat sebagai pelapis bakat-bakat ciptaan Ahmad Nawab.
“Pedihnya Kerana Cinta” menjadi sebuah lagi lagu di album ini yang memiliki lenggok Melayu Asli yang diadun dengan Balada tipikal Ahmad Nawab. Lagu-lagu begini saya kira sudah terlalu banyak di pasaran muzik ketika itu dan ya mungkin ia juga bergerak sebagai filler sahaja melengkapi album ini.
Selain “Kau Kunci Cintaku” yang menjadi Balada utama di album ini saya tertarik dengan komposisi muzik di lagu “Rindu Semalam” (Talha Tukiman / Ismail Ahmad Nawab) yang kedengaran lebih lembut dengan iringan piano di sepanjang lagu yang memberi pengalaman berbeza mendengarkan penyampaian vokal Ramlah Ram.
“Rindu Itu Menyeksakan” (Ahmad Nawab / Juwie) sebuah lagi hits di album ini dalam adunan melodi penuh rintihan rasa berbalut bait lirik yang sepertimana judulnya – menyeksakan. Sebuah kebiasaan dalam penulisan lirik-lirik Juwie, lagu ini begitu juga penghasilannya. “Rindunya di hatiku // Menikam kalbu // Menyeksa Kalbu.”
Album ini benar-benar hidup saya kira dengan fast number “Apa Khabar Kau Di sana” (Ahmad Nawab) yang penuh dengan elemen nostalgia dengan penyampaian vokal Ramlah yang cukup santai bersahaja dalam penceritaannya. Lagu ini saya letakkan antara lagu yang paling fun pernah dihasilkan Ramlah Ram sepanjang kariernya.
Bergerak daripada kelangsungan lagu itu, “Diam-Diam Jatuh Cinta” (Talha Tukimin / Ismali Ahmad Nawab) menjadi sebuah lagi nadi menghidupkan album ini sebagai sisi fun menikmati muzik Ramlah Ram. Cheeky pada liriknya memberikan nyawa berbeza berbanding lagu lain yang terisi di album ini. “Dulu malu tapi mahu // Kini baru ku tahu // Diam-diam jatuh cinta // Bersama akhirnya.”
Pengisian album ini dalam 10 lagu yang terisi benar-benar mengisi kehendak paten bermuzik Ahmad Nawab dan Ramlah Ram sebagai duo penyanyi – produser yang menyatu baik jiwa kedua-duanya dalam mentafsir persembahan muzik mereka. Hal ini jelas dalam lagu seperti “Membilang Butir Harapan”, “Insafilah” dan “Rindu Semalam.”
Saya tertarik pada persembahan lagu “Hanyalah Padamu Ku Cinta” (Ahmad Nawab) yang datang dengan groove berbeza. Ramlah biar dalam persembahan vokalnya itu mmasih mampu berbalut rapi dengan melodi begini tanpa kedengaran canggung. Mungkin ini satu-satunya lagu di album ini yang datang dengan ilham 80’s groove di bahagian verse lagu ini terutamanya.
“Kau Kunci Cintaku (Dalam Hatimu)” menjadi lagu kemenangan dan juga lagu cari makan buat Ramlah Ram buat dia bertahan lebih 3 dekad lamanya di persada muzik tempatan. Tidak hanya popular di carta radio, lagu ini diangkat sebagai pemenang lagu terbaik di Juara Lagu 1988 menewaskan saingan hebat lainnya seperti “Cukuplah Sekali” (Jay Jay), “Suratan Takdir” (Gersang) dan “Rayuanku” (Rohana Jalil).
Lagu ini sempurna buat Ramlah Ram saya kira, untuk range besar yang dia miliki, single ini benar-benar solid bergerak sebagai sebuah naskhah yang membentuk siapa Ramlah Ram itu sendiri selepas itu. Dan sehingga hari ini akan kejayaan “Kau Kunci Cintaku” meletakkan nama Ramlah Ram sebagai satu daripada penyanyi Balada terbaik yang kita ada sepanjang zaman.
Album ini sudah berusia 35 Tahun dan rangkaian lagu-lagu di album ini masih juga didendang juga diperdengarkan tidak hanya di kalangan penggemar Ramlah Ram sahaja namun sebahagiannya masih lagi mendapat air play di radio dan memenuhi senarai lagu yang dibikin penggemar muzik 80-an di pelantar muzik digital.
Tiga tahun usia bermuzik Dolla saya kira mereka telah memberi pengalaman menikmati muzik tempatan secara total – audio dan visual dengan I berbeza. Tunjang utama pada teguhnya branding Dolla adalah pasukan pemasaran juga penjenamaan yang sangat hebat.
Dolla bukan kerja satu atau dua orang. Untuk membentuk Dolla itu sendiri it takes a-lot. Tidak hanya pada pemilihan lagu sahaja tetapi lebih kepada imej dan cara memasarkan mereka. Hal ini saya kira telah dilaksanakan batalion pengurusan dan pemasaran Dolla dengan sangat berjaya.
Apa yang mereka hasilkan adalah sebuah disiplin kerja yang solid dan bukan mudah. People might say Dolla just another K-Pop group wannabe, tapi bagi saya Dolla itu mampu menjadi aset eksport muzik yang sangat baik dan meyakinkan. Muzik hari ini bukan hanya soal suara sedap tetapi seperti yang saya sebut tadi menyeluruh – pengalaman menikmati sebuah persembahan muzik. Muzik yang segar, visual yang memberi impak. Kunci pada kejayaan menjual muzik hari ini. This is not 80’s / 90’s di mana kita hanya mahu meraikan yang menyanyikan nada tinggi sahaja.
Terus bagi meneruskan kelangsungan bermuzik, Dolla meneroka ilham muzik Latin dengan infusi Reggaetón dengan sangat baik. Lagu ini mengikat pendengaran dengan tenaga dalam kemasan muziknya yang seiring dengan attitude Dolla sebagai pemuzik. Arus muziknya deras mengisi ruang dengar yang menggerakkan kita sebagai pendengar dalam rentak yang disusun.
Korusnya dan bridge lagu ini saya kira panahan utama untuk kita enjoy dengan lagu ini. Kelajuan dalam tempo dan muziknya yang beiring bunyian efek sax melatari lagu ini benar-benar menghidupkan “Damelo” sebagai naskhah yang cukup menarik untuk dinikmati. It sounded so current seiring dengan apa yang banyak di pasaran global.
Dolla menerusi single ini bergerak sebagai kesinambungan yang sangat baik setelah “Bad” dan “Look At This” yang datang dengan sebuah persembahan muzik yang cukup bertenaga, bersifat cukup muda jiwanya dan berjaya sebagai satu gerakan yang meninggikan standard Pop tempatan ke tahap yang baik.
Malique Ibrahim saya kira nama yang sentiasa mahu dan dinantikan kemunculannya. Maka biar selama mana harus penggemarnya menantikan naskhah terbaru, pasti beriring sabar dan menanti. “Sedih Hati” pertaruhan terbarunya dalam persembahan sample lagu Mona Fendy menjadi sebuah lagi bual bicara penggemar muziknya.
Melepasi fasa untuk bergelar a living legend, Malique sudah menghasilkan banyak hits malar segar setelah bergerak solo. Semakin dalam dan berisi setiap patah kata yang ditulis bergerak sebagai sebuah sakti dalam persembahan penuh kritikan sosial. Malique bergerak sebagai wakil suara jiwa-jiwa yang terpinggir, tertindas dan juga tak didengar.
Muzik Kita melewati kembali katalog muzik Getaran Nostalgia EMI – mendengarkan kembali lagu-lagu yang pernah dihasilkan seniman ini dalam lapan lagu yang kami pilih sebagai naskhah terbaik yang pernah dihasilkan sepanjang bermuzik. Enjoy!
SENYUM ( BERSAMA NAJWA MAHIADDIN)
“Senyum” saya letakkan antara komposisi muzik terbaik dan paling segar ciptaan Malique sejak bergerak solo. Penghasilan melodinya cukup catchy dan membangkit rasa bahagia dalam penulisan liriknya. “Senyum // Tak perlu kata apa-apa” – itu bait yang cukup ikonik dan akan sentiasa diingati selamanya. Menambah hebat lagu in tentu saja persembahan vokal Najwa benar-benar memberikan suntikan soulful yang cemerlang di lagu ini.
CUBA LAGI (BERSAMA LAH AHMAD)
“Dah cuba berkali-kali // Masih tak menjadi-jadi // Tapi ku tak patah hati // Tiap kali gagal lagi // Cuba lagi”– menjadi bait motivational terbaik dalam mana-mana lagu Pop yang pernah terhasil di pasaran muzik semasa. Malique penyusun kata-kata yang bijak dalam mentafsir jiwa-jiwa kecil yang hilang, kabur dan tak berarah. Refleksi hidup dalam kisah cuba dan gagal itu dipersembah dengan cukup bersahaja lewat lagu ini. Siapa saja yang tidak boleh relate dengan cerita begini?
BAWAKU PERGI (ZIZAN & KAKA)
Sebuah lagi persembahan Pop malar segar yang sentiasa segar didengar. Malique saya kira a master of makin a great Pop dengan infusi Hip-Hop yang dimanipulasi dengan cara paling mudah mengikat pendegar. Sama seperti “Senyum” lagu ini satu daripada yang paling funandcatchy pernah dihasilkan Malique. “Buku merah janga lupa bawa // Moga-moga belum tamat tempoh // Kali ini kita pergi lebih lama // Lebih jauh.”
PEJAMKAN MATA (BERSAMA DAYANG NURFAIZAH)
“Pejamkan Mata” bergerak sebagai kelangsungan bermuzik Malique setelah sebuah lagu kolaborasi bersama Black menerusi “Teman Pengganti”. Lagu ini kesinambungan idea serupa dengan cerita yang menyentuh. Menambah bijaknya Malique untuk mengikat pendengar semasa, Dayang disunting sebagai penyanyi undangan yang menambah satu lagi hits malar segar buat kedua-dua mereka.
MANTERA BERADU (BERSAMA M.NASIR)
Pabila dua legenda betermu – menghasilkan sebuah melodi yang kompleks tetapi cukup membunga rasa teruja pendengar untuk menikmatinya. “Mantera Beradu” itu tajuknya sendiri sudah cukup kompleks bagi saya tetapi itulah Malique dan M.Nasir – pertembungan dua genarasi bermuzik ini menjadikan ia sebuah penyatuan sempurna antara Hip-Hop dan muzik Nusantara bergerak seimbang mengisi keperluan pasaran muzik semasa.
TEMAN PENGGANTI (BERSAMABLACK)
Lagu ini benar-benar memiliki momennya yang cukup tersendiri. “Teman Pengganti” sebuah manipulasi muzik Rock leleh dalam dunia Hip-Hop yang dihasilkan dengan begitu komersil sekali. Sudah sepuluh tahun lagu ini beredar di pasaran muzik semasa, masih diingati dan didengari. Kisah sedih yang dihasilkan dalam ilham muzik Ahmad Nawab meets Sentimental Rock Black menghasilkan sebuah naskhah yang cukup ikonik.
BUKAN MUDAH (NUKILAN)
Sebuah persembahan muzik mellow dalam penulisan lirik yang juga bersifat simpati namun masih puitis. “Tubuh yang mengah lesu // berkais dan melombong // Pulang menapak laju dalam langkah yang melonjong.” Vokal Adeep menghidupkan lagu ini dengan sangat baik. Setiap bait lirik yang di bahgiannya dipersembahkan dengan cukup memaknakan. Antara yang terhasil cukup puitis dan berisi “Pecah jari-jemari tekan tubi pensil kayu // Resah harianku telan ubi berkipas bayu”
CERITA KEDAI KOPI (BERSAMA SALAM & DJ FUZZ)
Entahkan sebuah satira kritikan atau kutukan, lagu ini diisi dengan bait keras “Ada satu hero Melayu // Namanya rahsia // Dulu lepak tepi parit kampung // Sekarang lepak media massa.” berlarutan dengan cerita “Dinner show menyanyi seorang pun tak faham // Tapi datin muda tengok geram dan sangkut” – Malique berani dalam kisahnya yang mungkin sebuah realiti yang tidak diceritakan ketika itu tetapi diperhati dan dijadikan naskhah muzik “Cerita Kedai Kopi” – such a fun text to read.
Amir Masdi antara bakat baru yang sentiasa memberi keterujaan untuk saya mendengarkan naskhah muziknya. Biar sejak awal usai fasa Akademi Fantasia sehingga hari ini Amir dalam perlahan perjalanan bermuziknya masih konsisten untuk bekerja.
Itu saya kira kunci untuk berjaya, tanpa perlu keluar dengan hal-hal remeh untuk dikenali tetapi keberadaannya kita sedar, perakui bakat dan kebolehannya. Dan dalam perjalanan sepanjang lebih lima tahun meniti perjalanan sebagai penyanyi Amir sudah menghasilkan beberapa rangkaian lagu yang cukup solid seperti “Kau Sakiti” , “Sengaja” dan kolaborasi cemerlang “Debu” bersama Dayang.
Dan pabila dia mengumumkan album sulungnya bakal diedarkan semestinya ia memberi keterujaan. Amir selayaknya sudah siap untuk memiliki sebuah album.Pesonanya sebagai soloist itu sudah terbukti dan masanya saya kira sudah tiba untuk label memberikan dia sebuah album yang solid – refleksi siapa Amir dalam muzik.
Maka dengan itu beberapa minggu lalu hadirlah sebuah album yang menjadi penanda aras kelangsungan bermuziknya. 12 lagu terisi dengan beberapa rangkaian lagu yang siap dirilis sebelum ini dalam sebuah persembahan yang okey saya kira, setidaknya mampu membahagiakan penggemarnya.
Dibuka dengan dua lagu yang belum dirilis – “Pemilik Cinta” (Sharon Paul / Amir Masdi) dan “Berhenti Mencinta” (Edry) yang membuat saya terdiam sekejap. Kedua-duanya tidak mencapai standard yang saya bayangkan daripada Amir. Setelah “Debu” dan “Sengaja” yang saya kira sangat hebat penghasilannya, kedua-dua lagu baru yang membuka album ini sounded old fashion bagi saya.
Saya masih okey dengan penghasilan melodi yang ideanya mudah dan berulang tetapi saya kira biar simple bagaimana sekalipun sesebuah lagu itu ia tetap boleh diberi semangat berbeza dalam kemasan muziknya. Seperti mendengar Pop Rock era 2000 di mana FT mula mencuri perhatian atau paling dekat dengan ilham muzik di album-album Elyana begitulah perasaan saya mendengarkan kedua-dua lagu ini. Tapi vokal Amir sangat baik.
Hati kecil saya berbisik, ermm macam ni je ke? Tapi kecewa yang sedikit terdetik itu ditebus sangat baik dalam lagu “Aura Kejora” (Iqie Hugh / Amir Masdi) yang saya kira benar-benar membenarkan jiwa Amir untuk bergerak lebih bebas dan radikal. Lagu begini saya kira cukup solid untuk kita benar-benar puas menikmati pentafsiran muzik Amir Masdi. Korusnya sangat baik dengan kemasan muzik yang lebih current dan segar.
Amir menjadi lebih mellow di lagu “Menyesal” (Pawn Hasril / Karim Karam / Otromen / Amir Masdi) yang sekali lagi agak underwhelmed bagi saya. Melodinya bukanlah ilham baru seperti lagu-lagu yang pernah kita dengar sebelum ini dan dilupakan dan diulang guna formulanya semula. Bukan tak sedap cuma kurang revolusinya. Amir itu saya kira penyanyi yang jiwanya besar dan bebas, lagu begini tidaklah begitu benar-benar mengujinya.
“Memori Bersamamu” (Amir Masdi) sebuah lagu yang saya kira terhasil okey. Feel Amir benar-benar baik dalam lagu ini dengan penceritaan yang dirasai secukupnya. Efek hujan melatari lagu ini dibalik petikan piano menambah emosi kala mendengarkannya. “I Wont Go” (Dennis Lau) buat saya semakin keliru dengan arah album ini.
Album ini ditutup dengan “Empayar” yang sekali lagi sounded very 2000’s FT songs. Lagu-lagu bersifat semangat, bangkit dan motivasi begini saya tidak pasti kalau saya masih mahukan lagu begini di tahun 2023 but yeah lagu begini dihasilkan untuk album ini.
As much as saya sangat teruja dengan penghasilan album ini, sebagai penggemar Amir saya demand sesuatu yang lebih besar dan current sifatnya. “Aura Kejora” dan “Sengaja” itu sepatutnya menjadi arah album ini. Saya juga tidak pasti apa perlunya lagu “Puas”, “Kau Sakiti” dan “Asmara” untuk dimuatkan di album ini – ia lebih kepada konsep kompilasi sahaja bagi saya.
Namun saya happy for Amir Masdi – akhirnya dia memiliki sebuah album yang pastinya mampu membahagiakan penggemarnya. Saya boleh beri markah penuh untuk “Aura Kejora” but as an album, ia average bagi saya yang memiliki visi besar dalam menikmati album Amir Masdi. And for the record saya meletakkan “Sengaja”, “Debu” dan “Aura Kejora” sebagai lagu paling powerful pernah dirakam Amir sehingga hari ini.
Lagu: Jiwa Yang Bersedih Artis: Ghea Indrawari Komposer / Lirik: Ghea Indrawari Produser: Sevri Hadis
Sebegitu banyak rilis yang bagus dari negeri seberang membuatkan saya terlepas pandang beberapa lagu yang bagus yang siap dipasarkan. Satu daripanya adalah single terbaru Ghea Indrawari yang berjudul “Hati Yang Bersedih”.
Cukup popular sebelum ini dengan single “Rasa Cinta Ini” dan “Kamu Anggap Apa” – Ghea menjalani kembara bermuziknya yang cukup competitive sebenarnya untuk sama bersaing dan melawan arus deras populariti teman seperjuangann seperti Lyodra, Mahalini juga Tiara Andini antaranya.
Namun kehadirannya masih dirasai dan diraikan. “Jiwa Yang Bersedih” meneruskan kelangsungan bermuzik Ghea dalam persembahan cukup menyentuh perasaan. Lari seketika daripada ilham cerita cinta, Ghea memasuki jiwa resah tentang pengharapan dalam kehidupan.
Kehebatan lagu ini digerakkan dengan penulisan liriknya yang cukup cemerlang. Seawal dibuka dengan “Ke marilah // Singgah dulu sebentar // Perjalananmu jauh // Tak ada tempat berteduh.” sudah membuatkan saya terikat dengan lagu ini. Such a beautiful line. Dan lagu ini sepenuhnya terisi dengan bait-bait yang cukup indah sifat penulisannya.
Dan hal kehebatan luar biasa lirik lagu ini diteruskan di bahagian korus yang membuat saya cukup sayu terutama di bait “Begitu dingin duniayang kau huni.” sebelum ini menjadi lebih mendalam “Tidak kah letih kakimu berlari // Ada hal yang tak mereka mengerti // Beri waktu tuk bersandar sebentar.” dan ditutup sempurna dengan “Selama ini kau hebat // Hanya kau tak didengar.”
Hal-hal lirik yang sehebat ini biasa kita dengar dalam penghasilan lagu-lagu Tulus atau Yura dan Ghea membuktikan dia juga seorang penulis yang baik dalam menyuntik semangat dalam lagu yang tidak terikat pada ilham galau sahaja.
Melodi dan liriknya menyatu sangat untuk bergerak sebagai sebuah naskhah yang akan terkait dengan ramai orang hari ini. Tentang ruang, peluang dan kesempatan dalam kehidupan yang semakin pantas mengecilkan jiwa-jiwa yang besar.
Meraikan perjalanan 25 tahun sebagai sebuah pentas yang sudah menampilkan nama-nama besar dalam bidang muzik tempatan juga antarabangsa, Dewan Filharmonik PETRONAS bakal mementaskan sebuah lagi pengalaman menikmati muzik secara langsung bersama MPO Jazz Band.
Apa yang lebih menarik dalam persembahan yang bakal dipentaskan pada 9 September nanti adalah ia bakal menjadi sebuah persembahan tribute untuk ikon muzik R&B / Jazz antarabangsa, Stevie Wonder dalam rendisi segar lagu-lagu seperti Don’t You Worry ‘Bout A Thing, Send One Your Love, I Wish, Rocket Love, Part Time Lover dan lainnya.
Bakal menampilkan dua nama yang tumbuh semakin mekar dalam industri muzik tempatan, Aisha Retno dan Syafiq Abdillah yang akan turut berkongsi pentas dalam meraikan muzik Jazz juga sebagai penghargaan buat Stevie Wonder.
Konsert ini bakal dipimpin oleh pengarah muzik Marques Young yang juga pemain trombon MPO. Memiliki pendidikan Bachelor’s Degree of Music dari The Juilliard School, New York juga pernah membuat persembahan bersama the American Brass Quintet, Buffalo dan New York Philharmonic.
TIKET:
Premium: RM309 // A Reserve: RM269 // B Reserve: RM229 // C Reserve: RM189 // Meet & Greet: RM349 // Suite: RM189/RM229 Tempahan Telefon: 03-23317007 Tempahan Email: boxoffice@dfp.com.my
Lagu: Pujaanku Artis: Masdo / Aisyah Aziz Komposer / Lirik: Ali Sariah / Heidi Moru Produser: Masdo
Masdo melangkah bersahaja dalam menyusun langkah bermuzik mereka. Pengaruh dicipta tidak hanya di Malaysia malah melebar ke Singapura juga Indonesia. Saya kira saat ini Masdo sudah boleh kita anggap sebagai aset muzik tempatan yang memberi warna berbeza dalam perkembangan muzik.
Ilham muzik A-Go-Go, Pop Yeh-Yeh yang dibesarkan di era Balada dan Hip-Hop meletakkan Masdo di legasi tersendiri tanpa perlu bersaing kuat dengan penyanyi papan atas lain yang ada. Cukup aktif dalam penghasilan lagu-lagu baru, Masdo setelah terakhir kali merilis “Inilah Jalan-Nya” karya cipta bersama Noh Salleh meneruskan langkah dengan single terbaru “Pujaanku”.
Mengundang Aisyah Aziz untuk sama berdansa dalam penghasilan melodi ini menambah manis penghasilan keseluruhan lagu. Satu langkah bijak saya kira untuk tidak membuatkan pesona bermuzik mereka mendatar.
Aisyah Aziz memberi keterujaan berbeza untuk menikmati muzik Masdo kerana jika mahu dinilai daripada segi melodinya ia terlalu predictable untuk Masdo namun ia menjadi lebih interesting dengan kolaborasi ini. It’s a sweet love song yang sangat mudah didengari, dihayati dan diulang dengar.