
Album: Syyhh…
Artis: Syafinaz
Produser: Ahmad Izham Omar / Jenny Chin / Mac Chew / Aubrey Suwito / Helen Yap
Penghasilan album rakaman semula mungkin bukan pelaburan yang baik bagi kebanyakan label rakaman. Selain faktor perlesenan lagu yang rumit ia juga tidak memberi ruang yang banyak untuk sesebuah album yang diterbitkan itu mendapat capaian pendengar yang lebih meluas dan komersial. Namun usaha menghasilkan semula lagu-lagu terdahulu dalam sebuah rendisi baru mampu memberi pengalaman berbeza bagi pendengar generasi berganti.
Sheila Majid bersama Roslan Aziz pernah menghasilkan sebuah album yang cukup mega hasilnya menerusi “Legenda” yang mengangkat kembali naskhah-naskhah P.Ramlee ke tahap yang lebih tinggi standard muziknya. Mendengarkan kembali rendisi Sheila menerusi album tersebut memberi satu pengalaman berbeza dan cukup mewah dengan ketelitian produksi muziknya.
Setelah “Legenda” belum ada yang mahu dan mampu meninggikan standard lagu-lagu terdahulu pada kualiti yang membanggakan sehinggalah Syafinaz bersama label EMI menghasilkan sebuah album rakaman semula lagu-lagu Datuk Ahamad Nawab menerusi “Syyhh..” yang diedarkan pada tahun 2003.
Dengan dikemudi produser-produser hebat lulusan Berklee College of Music seperti Ahmad Izham Omar, Aubrey Suwito, Helen Yap, Jenny Chin dan Mac Chew “Syyhh…” menjadi sebuah album yang memberi infusi cukup moden dan segar bagi naskhah-naskhah malar segar Ahmad Nawab.
Garapan muzik R&B menjadi arah baru muzik Ahmad Nawab di lagu ini. Hal ini sangat jelas bagaimana Izham Omar mengadun serba berbeza lagu berjudul “Rindumu Rinduku” persembahan asal Broery yang berbentuk Balada menjadi R&B Pop yang cukup segar sekali.
“Rindumu Rindu” terhasil cukup solid sekali mengikut citarasa muzik Syafinaz sebagai pemuzik dengan sound yang lebih current bersama elemen Hip-Hop daripada kumpulan M.O.B yang menjadikan ia lari berbeza dengan naskhah asal lagu ini.
Sebuah lagu naskhah yang bergerak atas landasan muzik serupa adalah “Kemesraan” yang susun kembali kemasan muziknya oleh Aubrey Suwito yang hadir dengan groove berbeza, meninggalkan feel asal lantas menerbit sebuah rasa baru naskhah asal persembahan Uji Rashid ini.
Album ini nyata bergerak sebagai sebuah pengalaman yang cukup menarik menikmati karya-karya Ahmad Nawab dengan cara baru, feel baru dengan rasa yang sama tanpa terlalu bergantung pada melodi asal yang dicipta dan diterbitkan.
Syafinaz menerusi album ini berjaya menyuntik kegegaran yang sangan diperlukan pasaran muzik tempatan ketika diedarkan. R&B, Soul dan sedikit Hip-Hop yang diadun dalam muzik setiap lagu yang terhasil menjadi begitu baik sekali penghasilannya. One of the best remake album.