
Lagu: Amaran
Artis: Siti Nordiana / Bunga
Komposer / Lirik: Mas Dewangga / Firdaus Rahmat / Bunga
Nama Siti Nordiana di pasaran muzik semasa sudah berada di tahap paling selesa buatnya saya kira. Usai kejayaan di Gegar Vaganza benar-benar diguna sebaiknya peluang yang ada untuk meraikan penggemarnya dengan rangkaian single demi single yang tiada hentinya saban tahun.
Pertaruhan Balada seperti “Terus Mencintai”, “Hatiku Milikmu” dan duet bersama Khai Bahar “Satukan Rasa” sudah menjadi brand new evergreen songs Nana setelah fasa GV pastinya. Dan setelah merilis single “Angkara” di tahun lalu serta duet bersama Nubhan menerusi “Sekali Lagi”, Nana tidak menghentikan langkahnya bermuzik malah terus menghasilkan lagu-lagu baru buat penggemarnya.
Saya kira itulah percaturan yang sepatutnya dilakukan penyanyi yang serius bermuzik untuk terus menghasilkan lagu baru tanpa putus. Terkini, Nana keluar daripada kepompong muzik Balada dengan merilis sebuah single fusion Pop berjudul “Amaran” bersama bakat muda Bunga.
Naskhah karya dua anak muda Firdaus Rahmat dan Mas Dewangga ini terhasil dalam kemasan muzik serba baru untuk persona muzik seorang Siti Nordiana. Kombinasi muzik tradisional yang diadun dalam kemasan muzik cukup moden menyuntik kesegaran dalam persembahan keseluruhan lagu ini.
Liriknya ditulis cukup baik, persembahan muziknya hadir dengan daya pemikat yang baik untuk kita kekal menikmati sehingga ke hujungnya. Rap Bunga memberi warna di lagu ini yang menyatu sempurna dengan suara Nana di sepanjang lagu.
7.8/10
ARTIKEL BERKAITAN
“Mainan” Emosi Naim Daniel Naim Semakin Dirasai Lewat Single Terbarunya