
Lagu: Gelap
Artis: Satwo
Komposer / Lirik: Satwo
Gerakan muzik indie tempatan bernyawa dengan adanya kesungguhan anak-anak muda ini yang terus mahu berkarya dengan cara tersendiri tanpa terikat dengan ilham Pop semasa. Setahun dua kebelakangan ini ada beberapa nama yang menarik perhatian saya secara peribadi iaitu Sang Rawi dan Countrywolves yang mengendong ilham Folk yang menyenangkan.
Kugiran Satwo antara yang awal menarik perhatian saya ketika mereka menyanyi ulang secara langsung lagu “Kenangan Lalu” nyanyian asal Flybaits dengan corak bermuzik mereka yang cukup tersendiri tanpa mengubah konteks asal lagu malar segar itu dengan terlalu bereksperimen dengan hal yang tidak perlu.
Meneruskan perjalanan bermuzik mereka, Satwo muncul dengan single “Gelap” karya ciptaan mereka sendiri yang hadir dalam ilham Indie Folk yang sekali dengar sudah membawa saya jauh membayangkan sebuah perjalanan panjang melewati road trip yang entahkan bila lagi akan ada kesempatan.
Lagu ini terhasil cukup santai dengan penulisan lirik yang sangat cemerlang menurut saya. Pemilihan kata-kata dalam liriknya sangat cantik dalam menzahirkan cerita “Gelap” itu sendiri.
Membawa isi cerita tentang kehidupan silam yang menghantui diri manusia dalam bayang-bayang gelap yang mengejar tanpa tahu apa realitinya. Hal-hal ini jelas dalam bait “Kumencari suara dalam terang dan gelap melalui rasa.” dan “Tipu daya rekayasa, Sendiri jadi sangsi.”
“Gelap” saya kira cemerlang sebagai sebuah naskhah Indie yang seimbang nilai seni muziknya dengan nilai komersil itu sendiri. Lagu ini bukan lagu yang sukar saya kira untuk pendengar Pop seperti saya untuk menyukainya.
Cuma saya masih kabur dengan ruang keadilan untuk lagu-lagu begini dipopularkan. Peluang untuk menjadi OST TV itu hal yang hampir mustahil kerana belum ada cerita yang sesuai di TV setakat ini untuk lagu sebegini. Kecualilah kita ada 3 atau 4 lagi siri seperti “Projek Anchor SPM” yang sesuai untuk dimuatkan lagu-lagu sebegini.
But after all namanya juga indie. Popular itu mungkin sepatutnya jauh daripada visi bermuzik itu sendiri. Penggemarnya juga adalah di kalangan mereka yang terpilih, yang mahukan kesungguhan dalan muzik itu diletakkan di atas segalanya. Dan hal ini yang saya dapat dalam melewati 5 minit 25 saat manifestasi “Gelap”.
6.7/10
ARTIKEL BERKAITAN