
Lagu: Sad Blue Eyes
Artis: Suehaila
Komposer / Lirik: Tengku Suhaila
Sebulan dua ini saya banyak mendengar Sivia Azizah, bakat R&B seberang yang hadir cukup cemerlang dengan debut “Love Spells” yang hadir cukup soulful (Sila dengar jika belum) dan dalam melewati persembahan penuh jiwa Sivia saya berkata dalam hati kita ada NJWA dan siapa lagi ya?
Pendengaran saya teralih pada seorang lagi bakat Soulful R&B bernama Suehaila yang baru siap merilis single perdananya “Sad Blue Eyes” yang membuka indera penderangan saya dengan segala kelembutan yang dia miliki dalam persembahan serba cukup rasanya.
“Sad Blue Eyes” hasil ciptaan sepenuhnya Suehaila dengan mengambil ilham R&B dan Soul. Penghasilan melodinya terhasil cukup baik dalam ilham kebanyakan penyanyi Soul global hari ini. Mungkin tidak salah jika saya nyatakan pengaruh muziknya datang dari Snoh Aalegra, Umi dan H.E.R kerana ada pengaruhnya di lagu ini.
Saya sangat sukakan kraf vokal Suehaila di lagu ini, persembahannya sederhana tetapi cukup rasanya untuk buat kita melekat melayari perasaan dalam penyampaiannya. Suehaila saya kira boleh saja over do her singing kalau dia hanya mahu show off her vocal ability tetapi semuanya dijaga dan terjaga sebaiknya tanpa melebih-lebih.
Mendengar Suehaila sekali lagi mengingatkan saya pada Sivia. Dan buat saya berfikir lagi mengapa ya jika di Indonesia muzik begini diterima terbuka tetapi di sini terlalu sukar menembus pasaran mainstream? Lihatlah bagaimana penerimaan orang kita pada NJWA contohnya.
Dan setelah juga mengamati Sivia sekali lagi saya kira mungkin kerana jurang bahasa yang membuatkan pendengar kita terasa agak jauh dengan bakat muzik begini. Kesemua lagu di album Sivia mengambil judul bahasa Inggeris tetapi liriknya berbahasa Indonesia.
Selepas mendengar “Sad Blue Eyes” saya ada harapan besar pada bakat ini untuk relevan di pasaran mainstream kerana apa yang dipersembahkan adalah sesuatu yang meninggikan standard Pop tempatan dengan citarasa muzik yang sangat baik pastinya.
Semoga jalan Suehaila bakal panjang di pasaran muzik tempatan kerana kita perlu lebih banyak bakat begini di lapangan komersil dan semoga juga dia boleh hasilkan lebih lagu berbahasa Malaysia selepas ini.
7/10
ARTIKEL BERKAITAN
Sivia Menemukan The One Lewat Single “Are You My Valentine?”