
“Tinggi-tinggi kelapa bali, Walaupun tinggi kental berdiri” dan laungan “Yeah Yeah” sudah sebati untuk kita mengingat figura Rock tempatan, Bandi Amuk. “Dalam Semak” menjadi pertaruhan perdana kugiran ini dengan rangkaian lagu yang disadur semula.
Rakaman semula lagu-lagu Cromok menerusi saduran inggeris ke bahasa Melayu seperti “Seakan Menguji”, “Amuk”, “Hantu Yang Takut” dan “Alasan” merupakan single daripada album Cromok berjudul “Forever in Time” bergerak sebagai satu percubaan pasaran muzik Amuk ketika itu.
Bersama penerbit eksekutif EMI ketika itu, Mohd Arzmy (yang juga ahli kumpulan Cromok), merealisasikan Amuk sebagai band Rock dengan citarasa muzik lokal yang kuat semangat rock Melayunya ketika itu.
Menerusi album kedua mereka berjudul “Tak Relevan” yang diedarkan pada tahun 1999, Amuk mencuri perhatian pendengar muzik tempatan dengan pesona single “Matahari” ciptaan Bong bersama lirik Azam Dungun.
Mellow melodi “Matahari” dengan susunan muzik yang cukup membuai diteruskan dengan single “Jernih” dengan sentuhan emas Ramli M.S yang menyusun lagu ini dalam sebuah pengalaman menikmati string session buat sebuah sentimental rock yang melekakan.
Keras Metal dan Rock Amuk dalam lagu-lagu mereka disulam dengan bait lirik cukup kritis dalam lagu-lagu seperti “Akar dan Bumi”, “Algojo” antaranya. Muzik mereka biar keras namun masih kental jiwa Melayunya dalam persembahan Pop yang mesra radio dan pendengar.
“Dikir Timur” menjadi antara contoh lagu popular mereka yang cukup popular biar sehingga ke hari ini. Pasaran muzik Amuk di fasa 1998 – 2002 menjadi antara sejarah penting muzik Rock tempatan yang ketika itu seiring dengan populariti XPDC, Def-Gab-C dan Spider ketika itu yang menjadi penerus kelangsungan Rock era 80-an Wings dan Search terutamanya.
Amuk biar tidaklah terlalu berevolusi dengan bunyi yang berbeza dengan apa yang ada di pasaran indie ketika itu, mereka masih bergerak sendiri tanpa terlalu dibayangi mana-mana ilham kugiran lain sebenarnya.
Dan apa yang lebih menarik untuk ditekankan di sini kepelbagaian muzik Rock yang ada ketika itu diraikan dengan cukup pelbagai tanpa prejudis. Pendengar cukup terbuka menerima apa jua jenis jaluran muzik biar selepas itu muzik tempatan harus bersaing dengan gelombang muzik Indonesia yang datang mendominasi.
Amuk terakhir kali muncul dengan album penuh pada tahun 2002 dengan album berjudul “Hakikat” yang menampilkan hits seperti “Hakikat” dan “Firasat” – dua single mellow yang menutup perjalan muzik mereka bersama EMI.
*Dengarkan kesemua rangkaian lagu-lagu Amuk hanya di saluran YouTube Getaran Nostalgia.
ARTIKEL BERKAITAN
Mengulang Dengar “Opera Radhi-O Friendly” Sebagai Alternatif Pop Tempatan Paling Berpengaruh