
Lagu: Pesan Terakhir
Artis: Mohsein Kush
Komposer / Lirik: Mohsein Kush / Justin Seow
Produser: Justin Seow / Mohsein Kush
Pasaran muzik digital membenarkan banyak bakat-bakat baru diperdengarkan dan diraikan dengan lebih luas skala pemasarannya. Mohsein Kush satu daripada yang mencuba nasib mencuri perhatian pendengar tempatan dengan naskhah muziknya. EP berjudul “LOVE” (2020) memperkenalkan saya pada bakat ini namun ketika itu sebetulnya perhatian saya tidaklah begitu teralih padanya.
Mungkin juga kerana ia beredar pada tahun tersebut Yonnyboii, Zynakal dan beberapa bakat lain sedang begitu diraikan meminggirkan sedikit nama Mohsein Kush dalam radar muzik semasa. Namun pabila mendengarkan kembali sekarang, saya kira EP tersebut sebetulnya not bad at all. Mohsein ada visi pada muziknya dam idea R&B Soul yang dipersembahkan bagus juga sebenarnya.
Mungkin faktor yang mungkin tidak jatuh pada tempatnya menjadikan EP tersebut seperti ditiadakan. Namun to move forward, Mohsein tidak pernah memperlahankan langkah bermuziknya. Beberapa single selepas EP itu tetap dikeluarkan sebagai kelangsungan dan juga bukti kesungguhannya untuk bermuzik.
Terkini berbekal single berbahasa Malaysia, Mohsein Kush terus dalam usaha mengukuhkan namanya dalam radar muzik semasa menzahirkan sebuah single berjudul “Pesan Terakhir”. Penghasilannya kali ini lebih istimewa, sati kolaborasi bersama Justin Seow (ex- MFMF.) sebagai produser muzik yang dipertanggunjawabkan dalam meninggikan standard Mohsein kali ini.
Melodi “Pesan Terakhir” berpaksi pada asas Balada dengan infusi R&B dan Soul pada stail keseluruhan – vokal dan kemasan muzik. Ia bergerak dalam dinamik muzik yang momentumnya beremosi dengan baik. Bahagian verse kedua dengan petikan gitar sebelum peralihan ke korusnya sangat menarik. Justin bermain dengan efek bunyian di tengah-tengah lagu menjadikan penghasilannya lebih menarik.
“Pesan Terakhir” jika dilihat daripada segi nilai komersilnya, ia mampu menjadi pertaruhan Mohsein untuk cater mass market. Cuma sekali lagi ia soal masa yang tepat sahaja. Potensi sudah ada dan saya pasti juga sedang diasah sebaiknya untuk sebuah hayat berkarier yang panjang.
Kerana jika berbekalkan dengan mendengarkan kembali komposisi melodi yang pernah dihasilkan sebelum ini seperti “Lovesh!t”, “Love Me” dan “All Night” – Mohsein membuktikan dia ada citarasa dalam muzik dan miliki rujukan muzik yang sangat baik. Semoga fokus Mohsein tidak hanya pada sebagai soloist tetapi juga bergerak sebagai komposer buat penyanyi lain. Saya dapat melihat potensinya dalam penghasilan lagu buat Aisha Retno juga Dayang Nurfaizah kerana R&B yang dihasilkan current dan cukup memikat.
7/10
ARTIKEL BERKAITAN