
Lagu: Pernahkah
Artis: Amir Jahari / Lydbie
Komposer / Lirik: Amir Jahari
Produser: Amir Jahari / Karim Ahmad
Satu inisiatif dalam mengangkat terus kelangsungan irama Joget diusahakan Luncai Emas dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menerusi projek album berjudul “Joget: Made In Malaysia”.
Album ini menggabungkan kepakaran penggiat seni professional, pensyarah dan pelajar muzik dan seni dari empat institusi pengajian tinggi awam iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) bersama artis-artis baru pelapis masa hadapan seperti Luca Sickta, Kmy Kmo dan Putri Khareeza.
Single perdana di album ini menampilkan kolaborasi Amir Jahari bersama Lydbie berjudul “Pernahkah” karya cipta sepenuhnya Amir sendiri. Dilatari ilham Folk dalam ramuan Joget ilham Amir terhasil cukup catchy dan tidak sukar dinikmati sebetulnya.
Ada rasa dan jiwa Amir yang sangat kuat dalam lagu ini jika anda pengikut muzik Amir dan saya kira itulah kelebihan dalam produksi keseluruhan lagu ini. Liriknya menjadi senjata utama untuk kita mendengar berkali-kali menggali isi ceritanya.
Bait “Pernahkah kau merasa kebas // Namun mampu tersenyum // Seperti orang biasa”. Saya semakin menyenangi lagu ini dengan bait “Sakit yang tidak terlihat // Sembunyi di sebalik jasad // Bukannya kerna kurangnya iman // Bukan kerana tiada tuhan.”
Lagu ini bagi saya sebuah naskhah yang seronok didengar di sela seli Pop, Hip-Hop dan Balada yang semakin banyak di pasaran, “Pernahkah” lagu yang sama penting untuk kita sama raikan keberadaanya dalam pasaran muzik tempatan.
7.2/10
ARTIKEL BERKAITAN