
Lagu: Nukilanmu
Artis: Arish Mikael
Komposer / Lirik: Arish Mikael / Muhammad Radzlan
Produser: Hidayat Nasir
Pasaran muzik tempatan bergerak semakin melaju dengan bebasnya untuk menghadirkan bakat-bakat baru mencuri perhatian pendengar tempatan dengan idea juga pemikiran. Ditafsir dalam penghasilan melodi, lirik dan kemasan muzik yang semakin mudah banyak rujukannya.
Arish Mikael seorang lagi bakat cukup muda yang datang sedikit berbeza dengan attitude bermuzik yang sedikit jauh daripada ilham Pop yang biasa kita dengar. Pengaruh muzik 80-an yang ada padanya ditafsir sebaiknya menerusi single “Nukilanmu” yang menjadi pertaruhan perdana.
Melodinya dibaluti kemasan muzik yang cukup baik membentuk satu feel berbeza. Seperti membawa kita pada ilham Balada nostalgia yang banyak di era 80-an. Mendengarkan “Nukilanmu” seperti mendengarkan persembahan Alleycats, Kembara juga Headwind.
Persembahan vokal Arish agak unik dan cukup berat feel nostalgianya. Persembahan keseluruhan lagu ini sangat banyak dibantu dengan kemasan muzik Hidayat Nasir dan Izzat Latiff yang memberikan infusi psikedelik yang minimal dan mengena dengan melodi yang terhasil. Kemasan string di lagu ini membentuk feel nostalgia di lagu ini.
Korusnya menarik dengan penulisan lirik yang sedap dibaca, sedap didengar. “Aku rindukan sejuta puisi // Nurbisa jiwa // Nurbisa lara // Sentuhan darimu.” Arish Mikael menerusi single ini memiliki potensi yang sangat baik berkembang di masa mendatang dengan konsistensi bermuzik. Perjalanannya masih panjang namun permulaan “Nukilanmu” ini sudah cukup sebagai fundamental dia bergerak dalam radarnya tersendiri.
7/10
ARTIKEL BERKAITAN