
Lagu: Rumah
Persembahan: NAKI
Komposer / Lirik: Naki Zainal / Darien Sebastian
Produser: Darien Sebastian
Dalam banyak-banyak soloist lelaki baru yang ada di Malaysia, NAKI antara yang paling saya senangi karya-karyanya. Album perdana “Teruntuk Jantung” yang beredar pada tahun 2024 antara yang paling berinovasi sound Pop yang dihasilkan. Dan sejujurnya biar sudah dua tahun beredar album tersebut masih saya letakkan antara album terbaik daripada bakat baru yang kita ada.
Tanpa mahu bergerak perlahan, NAKI laju berkarya dengan penampilan lagu-lagu terbaru. “Tatapan Nona” yang beredar tahun lalu meninggikan standard muziknya ke tahap yang sangat baik. Dan tahun ini dengan single duet bersama Fiza Thomas menerusi “Lain Semesta” terus meluaskan radar kreatifnya.
Terkini, NAKI mengemudi terus persenabahan solonya dengan single terbaru berjudul “Rumah”. Tanpa diragukan lagu ini sekali lagi datang dengan satu visi Pop yang sebegitu kemas dan tersendiri sebagai identiti NAKI sebagai pemuzik.
Apa yang saya membuatkan saya mudah terjerat dalam melewati muzik NAKI adalah kerana dua hal selain melodi iaitu instrumentasi dan kemasan muziknya. Saya kadang tertanya apa rujukan NAKI sebenarnya sebab sound yang dia hasilkan bersama Darien Sebastian begitu distingtif dan jarang saya dengarkan dalam radar Pop tempatan.
Hal ini sangat jelas dalam lagu seperti “Tatapan Nona” antara yang menjadi all time favorite saya daripada NAKI sehingga hari ini. Exquisite dan datang dengan craftmanship yang begitu baik dan hal ini diterapkan terus lewat “Rumah”.
Penulisan lirik di lagu ini membuatkan saya semakin kagum dengan bakat penulisan NAKI. Bait “Apakah rumah itu terbakar? // Karna bersuara soal hatiku // Lebih baik berdiam sahaja // Di pulau yang ku namai rumah dahulu.” Sangat puitis, kemas dan berseni susunan kata-katanya.
Dan saya semakin menyenangi hal-hal penulisan NAKI lewat bait “Apa kau fikir ku tak merasa?
Retak yang tertumbuh di tiap jeda // Bukan tak ingin aku bersuara // Namun ku takut karamkan segala-galanya.” Melayani “Rumah” berkali-kali buat saya bangga kita memiliki satu sound Pop yang begitu berevolusi dan baik sekali.
Jika mahu senaraikan bakat-bakat baru yang cukup mengujakan muziknya, harus saya letakkan NAKI sebagai bakat yang paling terkedepan. Saya hanya berharap hayat kerjayanya panjang dan semoga di Anugerah Industri Muzik akan datang nama NAKI setidaknya ada di senarai akhir Artis Baru Terbaik.
9.5/10
ARTIKEL BERKAITAN