
Ezra Kong produser muzik prolifik yang faham pentingnya untuk berevolusi dalam bermuzik. Hal ini jelas dalam setiap penciptaan muziknya yang sentiasa datang dengan kesegaran dalam penciptaan, idea dan execution yang baik.
Tidak berlebihan jika saya sifatkan Ezra satu daripada figura penting muzik tempatan yang membawa arus rubah pasaran muzik Pop tempatan ke satu tahap penghasilan muzik yang tastefully produced. Sentiasa mendorong ke depan dan tidak putus dalam penghasilan karya-karya baru.
Tahun lalu menjadi satu lagi perjalanan baru Ezra dalam meluaskan landskap muziknya dengan pengenalan persona mimpi. yang menjadi projek solo terbarunya. Mengendong ilham Poetic Folk Pop yang banyak di pasaran muzik Indonesia khususnya dengan citara ‘Ezra’ yang tersendiri.
BILA SAMPAI WAKTU (Faizal Tahir / mimpi)
Kolaborasi Ezra bersama FT sentiasa menghasilkan sesuatu yang mengujakan. Melodi lagu ini sangat catchy dan melekat mudah dengan sekali pendengaran. Liriknya menjadi sakti untuk kita benar-benar terlarut dengan penghasilan keseluruhan.
LAUT KELABU (Syiqin Azln / Empty Page / mimpi)
Menjadi penciptaan melodi yang paling baik setakat ini, Laut Kelabu sebuah penyatuan melodi, emosi dan kisah yang disusun lengkap sebagai sebuah naskhah yang sedap diengar. Gabungan Syiqin Azlan bersama Empty Page memberi justifikasi yang sebaiknya untuk lagu ini bernadi sebagai naskhah yang beremosi.
MANUSIA BUNTU (Syiqin Azln / mimpi)
Kolaborasi bersama Syiqin Azln antara yang begitu menjadi penyatuannya. Keseimbangan yang ada pada penciptaan melodi dan kelembutan pada penyampaian Syiqin menjadikan kolaborasi ini antara yang cukup menarik untuk dihayati. Dengan penulisan lirik yang meluruh jiwa, “Manusia Buntu” lengkap sebagai naskhah Poetic Pop yang melekakan.
VIRUS (Danial Ismail / mimpi)
Danial memiliki vokal yang baik dalam persembahan lagu begini. Saya belum pernah mendengarkannya tetapi berdasarkan lagu ini, dia memiliki suara yang cukup komersial. “Virus” membaluti sebaiknya persembahan vokal Danial dengan penciptaan melodi yang sayu dan meyentuh. Jika kena pada tuah dan percaturan lagu ini mampu menjadi big break buatnya.
PUNYAMU (Nayli Azmi / mimpi)
Seorang lagi bakat baru yang berpimpinkan produksi muzik Ezra Kong. Melodinya biasa dalam lagu-lagu Dalia Farhana tetapi masih bergerak tersendiri. “Punyamu” disempurnakan dengan penulisan lirik yang sangat baik. Bait-baitnya disusun puitis dengan pemilihan kata-kata yang menyantum menjadi satu cerita yang dekat dengan pendengar. Nayli Azmi memberi justifikasi sebaiknya untuk lagu ini menyenangkan dilayani.
ARTIKEL BERKAITAN