
2026 Sepertinya menjadi tahun yang baik buat muzik Pop Tradisional tempatan kembali berdendang dan diraikan. Kitaran muzik beralih lagi dengan permulaan baru untuk jaluran muzik ini mendapat tempat semula pada pendengaran pengikut muzik tempatan.
Melewati perkembangannya setahun dua kebelakangan, tidak boleh dinafikan “Cak Cak Cekuk” persembahan Wani Kayrie membuka ruang pada ilham lagu rakyat dalam melodi tradisional diraikan seluasnya. Lagu ciptaan Iqie Hugh bersama Karim Karam dan Shane Kennedy ini mencipta momen yang sangat baik sepanjang tahun lalu dan sehingga hari ini ia memberi impak karier yang berterusan buat Wani Kayrie.
Haziq Rosebi pula menciptakan sesuatu yang lebih fun dengan penghasilan “Nurlela” dan master of the modern lagu rakyat, Faizal Tahir mencipta satu momentum baru untuk lagu-lagu ini diperdengarkan yang dirangkum lewat album “Orang Kampung” bersama Glowrush.
Produksi muzik Iqie Hugh memberi satu sentuhan moden pada ilham lagu-lagu rakyat dan Hafiz Hamidun serta Wan Salleh berpaksi pada akar muzik tradisional itu sendiri. Seorang lagi bakat baru dalam penciptaan baru yang harus diberi perhatian ialah Affan Mazlan yang menciptakan hits “Nurlela”. Tahun ini sekali lagi bersama Haziq dia mencpitakan “Palu” dan “Kepak Kepuk” oleh Afieq Shazwan.
Impak yang dibawa Dayang Nurfaizah menerusi projek “Belagu” harus diberi kredit kerana mengembalikan semlua hayat lagu-lagu klasik melayu dan asli ke tahap yang lebih tinggi standard penghasilannya. Tahun lagu “Gema Bumantara” menjadi album tradisional yang paling diraikan.
Biduanita Siti Nurhaliza mengemudi ilham Pop Tradisional dengan cara baru tanpa meminggirkan kedalaman pada keaslian di setiap lagu yang dihasilkan. “Hati Yang Rindu”, “”Rencong”, “Kembang Bunga” menjadi focus track album ini. Single “Kesuma” begitu diraikan tahun ini dan “Pesanan Buat Diri” sudah diangkat sebagai lagu terbaik.
Kelangsungan pada sebuah riwayat baru ini juga banyak dibantu dengan penghasilan lagu-lagu raya. “Ketipak Ketipung Raya” dan “Jodoh Lebaran” sangat membantu dalam memberikan kemeriahan yang dirindu dalam penciptaan lagu-lagu joget dan zapin khususnya.♧