
Album: Nonfiksi
Artis: Juicy Luicy
Produser: Juicy Luicy / SOIN / S/EEK / Ari Renaldi / Iwan Popo
Kembara bermuzik Juicy Luicy melejit dengan cemerlang sekali. Sejak “Terlalu Tinggi” dan “Tanpa Tergesa” mencuri perhatian pendengar, mereka tidak langsung memperlahankan langkah bermuzik. Hits demi hits dihasilkan sebagai bukti keseriusan bermuzik mereka.
“Sialan” kolaborasi bersama Adrian Khalif menjadi antara hits yang cukup berfungsi sekali mengukuhkan nama mereka di radar popular. Berbekal single lain seperti “Tampar” dan “Asing” muzik mereka semakin disenangi.
Dan dengan penerimaan yang cukup meluas itu, album kedua terhasil setelah yang pertama diedarkan di tahun 2020 dan beberapa EP yang mengisi melengkapkan portfolio muzik mereka. Album ini diisi 13 lagu keseluruhannya dengan beberapa lagu yang beredar awal.
“Lampu Kuning” menjadi focus track di album ini. Melodinya masih menjual ilham bermuzik JL yang biasa kita dengar dalam single-single sebelumnya. Kelebihan mereka dalam komposisi muzik saya kira terletak pada penghasilan melodi yang melekakan, tidak kompleks dan mellow nya tidak klise.
Hal ini jelas di bahagian korus lagu ini yang begitu memikat sekali. Persembahan panjang lagu ini dalam penceritaan menerusi penulisan liriknya dihasilkan dengan cukup memahami kehendak pendengar semasa.
Saya suka cara santai namun puitis yang ditulis “Barangkali hujan lebat susah sinyalmu lagi // Kubuat sepuluh kemungkinan // Tak sampaikah pesan? Lelah ketiduran? // Atau memang sengaja kau abaikan?” Keresahan yang cukup relatable saya kira dengan peran yang sedang jatuh cinta.
Perlambangan “Lampu Kuning” yang digunakan untuk menggerakkan cerita di lagu ini dimanipulasi sebaiknya bagi saya. “Mengapa ku tancap gas dan melaju // Padahal lampu kuning telah peringatkanku? // Bahaya di depanku // Hati-hati kecewa ‘kan menunggu.”
JL membuat saya semakin melayang dengan penulisan lirik mereka di bait ini – “Acuh sebelum jatuh // Tak jera dari dulu // Gelisah makananku.”
Hal-hal melodi yang catchy dan menjerat pendengaran ini saya dapat lagi di lagu “Bukan Orangnya” (Dennis Ligia / Iqbal Siregar) . Lagu ini bergerak atas landasan Pop yang cukup simple penghasilannya namun masih menyenangkan. Sentimental ballad di lagu “Cuma Sama Kamu” (Dennis Ligia / Iqbal Siregar / Gilang Kurniawan) buat saya agak bosan sedikit.
“Giliranku” (Dennis Ligia / Iqbal Siregar) lebih menarik dan ada momentum muzik yang lebih baik. JL menjerat saya dengan penulisan lirik mereka. Lagu ini biasa sahaja sebenarnya namun mendengarkannya sambil membaca teks lirik benar-benar buat saya enjoy. “Saat teman-teman tengah berkencan // Sungguh sepi malamku.” dan semakin menarik di bait “Tanpa tamu di malam Minggu // Sampai bosan // Aku lelah menunggu // Sampai kapan sampainya giliranku?“
Album ini bergerak dengan kapasiti bermuzik Juicy Luicy yang saya kira sudah semaksimalnya. Hal ini ada baik dan buruknya. Baik kerana ia mampu menjerat terus pendengar mereka dan buruknya? Saya tidak pasti jika idea ini harus diteruskan JL kerana jika tiada formula baru untuk langkah seterusnya, mereka akan jadi stagnant dan predictable.
6.7/10
ARTIKEL BERKAITAN