
Lapangan muzik indie tempatan tidak pernah haus dengan bakat baru yang datang dengan ideologi bermuzik mereka. Menidakkan kehadiran bakat-bakat ini dalam pasaran mainstream adalah tidak adil kerana usaha yang mereka lakukan dalam meninggikan standard muzik tempatan itu lebih dasyat berbanding apa yang dilakukan label besar dalam pemasaran muzik yang sekadar mengulang formula Pop serupa.
Beberapa nama baru yang menarik minat saya tahun ini adalah Countrywolves dan trio Synth Pop Joyberry yang tahun ini sahaja sudah menghadirkan 3 single – “Disko Kilat”, “Prospektor” dan yang baru beredar “Selamanya”. Ketiga-tiganya dihasilkan dalam satu persembahan muzik alternatif Synth-Pop dengan pengaruh Daft Punk , The Strokes dan ada juga sound yang persisnya The Chmeichal Brothers.
“Disko Kilat” mencuri pendengaran saya dengan groove mereka yang cukup promising. Intro lagu ini sahaja sudah buat saya layan, menggoyang kepala dan seiring ia berjalan, lagu ini menjadi semakin baik dan baik. Derum deram adrenalin roh lagu ini hadir dengan attitude dan stail yang cukup tinggi standarnya. Elemen Synth-Pop di lagu ini tidak dihasilkan sekadar tegal menjual ilham muzik yang semakin booming di pasaran global tetapi terhasil dengan produksi muzik yang kemas dan berkelas.
Kualiti rakaman di lagu ini buat hati saya berbisik mereka bukan pemuzik yang sekadar mahu bermuzik kerana suka mencuba tetapi faham akan keperluan menghasilkan naskhah yang solid dan memberi impak buat pendengar. Setiap perincian bunyi dalam lagu ini dapat didengar dengan sangat puas sekali.
“PROSPEKTOR” Buat saya lebih layan dengan groove dan attitude bermuzik mereka yang luar biasa. Citarasa muzik tiga anak muda ini saya kira tinggi dan saya pasti juga mereka banyak mendengar untuk menghasilkan sound dengan taste yang sebegini hebat. Lagu ini punya pengaruh “Get Lucky” dan kalau anda jenis enjoy Daft Punk dan Chemichal Brother lagu ini sangat senang merasuk.
Sebuah lagi lagu yang beredar tahun ini adalah “Selamanya” yang lebih santai, laid back sebelum berjalan keras di tengahnya. Feel lagu ini sangat baik disatukan dengan penulisan liriknya yang simple tetapi berisi. Bait “Dengan cinta semua mudah” kedengaran mudah tetapi terisi dengan kebenaran. Dan menjadi lebih baik dalam bait “Ku percaya, kita mampu genggam satu dunia dengan cinta.”
Setakat tiga buah lagu yang sudah diedarkan tahun ini saya kira Joyberry ada potensi sangat besar untuk berkembang sebagai sebuah band yang mampu meninggikan standard muzik tempatan. Cuma saya tidak pasti jika pelaburan idea, kreativiti dan masa mereka ini beriring dengan pengurusan yang cekap dan besar pengaruhnya untuk membawa mereka keluar dari kepompong indie bagi menawan pasaran muzik yang lebih besar.
Joyberry ada attitude, style dan ability bermuzik dengan sangat menarik untuk kita explore lebih lagi apa yang mereka mampu lakukan. Cuma pemasarannya harus sangat dibantu untuk mereka didengari dan dinikmati dalam skala yang lebih luas. Hal ini bukan masalah kalau mereka benar-benar disokong penuh media arus perdana, radio dan platform digital streaming dengan lebih meluas.
ARTIKEL BERKAITAN
Mengulik Jiwa Resah Saiful Rizal Menerusi Single “Aku Takkan Mampu”