
Innuendo
Berbalik di pasaran muzik 90-an dan di era millennium 2000 dan ke atas telah terhasil beberapa album yang cukup tinggi kualitinya. Terhasil daripada pendekatan moden Postive Tone antaranya yang cukup berevolusi dalam muzik.
Muzik Kita melewati katalog muzik digital sama ada di Spotify, Apple Music, Deezer dan JOOX antara yang popular mencari gali album-album yang telah dipasarkan secara digital tanpa hebahan.
MK membawa anda untuk kita sama-sama semak rilis-rilis hebat ini yang seharusnya dijadikan rujukan muzik hari ini.

FERHAD – KATAKAN SAJA
Album terbaik Ferhad sepanjang bermuzik. “Katakan Saja” menzahirkan ilham Pop R&B yang cukup kemas penghasilannya. Disuntik elemen muzik Dance juga Country Ballad, album ini hadir sebagai sebuah naskhah yang cukup kemas dan berkualiti. Dari hits “Pernah” sehingga kolaborasi hebat bersama Zainal Abidin menerusi lagu “Sinar” dan the best ballad “Untuk Selamanya” semua lagu-lagu dalam album ini dibikin dengan cukup baik.
Dengarkan di: Spotify, Apple Music, JOOX, Deezer

INNUENDO – ENHANCED
Ini merupakan album remix debut yang menampilkan hits “Belaian Jiwa”. Saya lebih sukakan versi Enhanced ini kerana kemasan muziknya lebih groove dan santai seiring feel hebat Innuendo. Dengarkan “Selamanya – Acoustic Jam Mix” yang begitu membuai sekali!
Dengarkan di: Spotify, Apple Music, JOOX, Deezer

OST SILAT LEGENDA
Anda perlu mendengarkan album ini kerana lagu-lagu di dalamnya merupakan lagu-lagu yang terbaik pernah diciptakan adik beradik KRU. Kolaborasi mereka bersama Sheila Majid menerusi lagu “Setia Bersama” juga “Ceritera” (Zainal Abidin) dan Takkan Melayu Hilang di Dunia (Sharifah Aini).
Dengarkan di: Apple Music

BUTTERFINGERS – TRANSCENDENCE
Album paling ikonik kugiran rock tempatan yang kini layak bergelar legenda pasaran muzik yang bergerak secara indie. “Trancendence” hadir sebagai sebuah eksperimentasi rock lokal yang berhasil sekali. Lagu-lagu di dalamnya refleksi kepada evolusi muzik yang besar sifatnya.
Dengarkan di: Spotify, Apple Music, JOOX, Deezer

ELITE – CATWALK
Setelah Feminin, tidak salah meletakkan Elite sebagai girl pop band yang paling berpengaruh di era 90-an. Album yang beredar pada tahun 1996 ini tampil sebagai sebuah killer album dengan barisan hits seperti “G.I.G”, “Di Pintu Syurga” dan “Manisnya Senyumanmu” yang masih diingati dan didengar biar lebih 2 dekad diterbitkan.
Dengarkan di: Apple Music

TOO PHAT – PLAN B
Mungkin dalam banyak-banyak album Too Phat ini personal favorite saya. “You” sebuah kolaborasi genius duo ini bersama Sharifah Aini menjadi sebuah gerakan Hip-Hop meets Pop yang begitu menjadi sekali. Dan sample klasik Anak Ayam dijadikan rujukan dalam satu repertoire muzik yang cukup membanggakan. Benar kata orang “Plan B” selalunya lebih berhasil berbanding plan asal dan Too Phat membuktikannya menerusi album ini.
Dengarkan di: Spotify, Apple Music

OAG – SATELIT INK.
Album berbahasa Malaysia penuh daripada kugiran ini menampilkan sisi personal Radhi dan rakan-rakan dalam bermuzik. Single “NowWhy2” dan “Akustatik” mencipta momen tersendiri selain beberapa lagu hebat lain seperti “Stereomonoku”dan “Anjelik” yang cukup kental identiti muzik kugiran ini.
Dengarkan di: Spotify, Apple Music

M.NASIR – CANGGUNG MENDONAN
“Mentera Semerah Padi”, “Tanya Sama Itu Hud-Hud”, “Sentuhan Listrikmu”, “Bukalah Hatimu”, “Ada” antara hits malar segar M.Nasir sepanjang kariernya ada di album “Canggung Mendonan”. Baru sahaja diedarkan secara digital oleh pihak BMG Pacific – hampir kesemua album solo M.Nasir kini boleh didengarkan secara digital sekarang.
Dengarkan di: Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX