
Pioneer muzik di era 80-an merangka nuansa Pop dalam cara yang tersendiri merangkum pengaruh barat dalam citarasa muzik lokal dengan cukup cemerlang.
Akhiran ini saya banyak mendengar kembali album-album Pop khususnya yang diterbitkan di era 80-an. Daripada Pop Anita Sarawak, R&B Mazlan Hamzah sehinggalah Balada Ramlah Ram yang meruntun jiwa. Menarik sekali pola muzik Pop di era tersebut, tidak banyak bakat seperti hari ini tetapi semua yang ada memiliki kualiti yang cukup baik sekali.
Komposer seperti Fauzi Marzuki, Johan Nawawi, Adnan Abu Hassan, Jenny Chin, Mazlan Hamzah, Azman Abu Hassan dan Michel Veerapan antara nama yang dominan mencipta karya-karya Pop yang cukup cemerlang sehingga hari ini yang menghasilkan album-album hebat Sheila Majid, Azlina Aziz, Khadijah Ibrahim sehinggalah bakat-bakar rare seperti Fameiza dan Fairuz Hussein.
Saya juga kembali mendengarkan beberapa album-album Sudirman yang kebanyakannya diproduksi S.Atan yang jiwanya cukup kental nasionalisme dengan penulisan lirik yang banyak bercerita tentang kehidupan seharian sebagai manusia umumnya. Unik sekali meneliti karya-karya Sudirman terutama dalam album seperti Lagu Dari Kota.
Untuk entri kali ini saya ingin menyingkap kembali memori Pop 80-an dengan ulasan ringkas beberapa album yang saya kira cukup hebat sekali penghasilannya di era tersebut – baik daripada segi produksi, penciptaan melodi sehinggalah bakat luar biasa penyanyi-penyanyinya.

FAIRUZ HUSSEIN – KALI PERTAMA (1987)
Produser: Adnan Abu Hassan
Lagu Kali Pertama yang ditulis Adnan Abu menerusi album ini sahaja sudah mampu menawan sesiapa sahaja yang mendengarnya kali pertama ketika album ini diterbitkan. Dengan pola vokal yang besar dan feel dalam nyanyian yang baik terutama dalam trak seperti Ku Menyintaimu (Johan Nawawi) dan Lembayung Sepi (Azman Abu Hassan) membuatkan album ini antara yang terpenting sepanjang eranya sehingga hari ini.
SHEILA MAJID – EMOSI (1986)
Produser: Roslan Aziz
Sebagai peminat tegar Sheila saya boleh mendengar Emosi bila-bila masa. Album ini cukup sempurna serba serbi. Pemilihan lagu-lagu yang cukup moden dengan feel urban dan persembahan cemerlang Sheila. Saya meletakkan Emosi antara album penting Sheila dengan rangkaian lagu malar segar seperti Sinaran, Antara Anyer & Jakarta, Di Dalam Emosi Ini, Fikirkan Dulu dan Tua Sebelum Waktu.
MAZLAN HAMZAH – REFLEKSI (1987)
Produser: Boon
Selain hit Aku Cinta Padamu saya paling sukakan groove dalam lagu seperti Beri Setengah Saja (Odie Agam) actually lagu ini juga pernah dirakam oleh Utha Likumahuwa, saya tidak begitu pasti siapa yang asal menyanyikan lagu ini. Jika mengikut selidikan saya, versi Utha Likumahuwa dimuatkan dalam album kompilasi Odie Agam berjudul Beri ½ Saja yang diedarkan pada tahun 1988.
ANITA SARAWAK – ASMARA (1989)
Produser: Fauzi Marzuki
Album ini cukup solid sebagai sebuah naskhah Pop yang cemerlang. Ada balada, mid-tempo pop, ada joget. Saya suka simplicity yang ada dalam album ini. Lagu-lagunya bukan naskhah berat tetapi tidak juga terlalu ringan sehingga mudah dilupakan. Akhirnya Kini Pasti sehingga hari ini menjadi antara lagu yang masih diulang dnegar.

SALAMIAH HASSAN – MENGHITUNG HARI (1987)
Produser: Freddie Fernandez
Album ini antara album penting membawa nama Salamiah Hassan ke persada popular dengan rangkaian hits seperti Menghitung Hari, Aku Curiga dan all time favourite saya Cintamu Mengatasi Segalanya serta duet bersama Atilia berjudul Kadangkala. Album yang diterbitkan Freddie Fernandez dengan bantuan Aubrey Suwito ini menjadikan album ini antara yang cukup menyerlah sepanjang era 80-an.
AZMAN ABU HASSAN – AZMAN (1987)
Produser: Jenny Chin
Antara album yang saya harapkan dapat dipasarkan semula dalam bentuk CD. Pertama kali diedarkan dalam bentuk kaset pada tahun 1987 dan kemudia diterbitkan dalam bentuk LP. Ini merupakan satu-satunya album solo Azman setelah fasa Azman & Nina pada pertengahan 80-an. Antara lagu terbaik album ini Aku Hanya Pengganti, Perasaanku dan Antara Kita.
KHADIJAH IBRAHIM – KUPENDAM SEBUAH DUKA (1987)
Produser: Adnan Abu Hassan
Kuingin Lari antara muzik dengan signature Pop Adnan Abu Hassan yangmeneruskan lagu karya-karya hebatnya. Saya sukakan Adnan Abu Hassan yang begini (sebelum fasa Siti) yang lebih moden dan urban. Album ini antara album Khadijah yang cukup solid penghasilannya. Lagu ciptaan Fauzi Marzuki berjudul Terimalah Kenyataan antara all-time favourite saya.
M.NASIR – SOLO (1989)
Produser: M.Nasir
Mustika saya kira lagu paling romantis yang pernah dicipta sifu M.Nasir – lagu begini menurut saya timeless dan evergreen selain Ratnaku yang dicipta buat Roy. Album solo kedua M.Nasir selepas era gemilang Kembara membebaskan M.Nasir dengan segala eksperimentasi muzik yang lebih luas dan bebas buatnya. Selain Mustika saya paling sukakan pola penciptaan Falsafah Cinta dan Rajawali Terbang Tinggi yang begitu M.Nasir sekali sifatnya.
FREEDOM – MULANYA DI SINI (1987)
Produser: Goh Boon Hoe
Album ini sejujurnya album yang cukup fun sekali untuk dinikmati. Lagu-lagu seperti Persamaan, Si Minah Blues dan all time hits Mulanya Di Sini cukup seronok didengar. Album ini turut menyenaraikan balada yang bagus seperti Jauh Dirindu yang dipersembahkan dengan cukup cemerlang sekali.
