Highlight, Review, Terkini,

Kaka Azraff Tampil Dengan Love Anthem Berjudul “Diamonds”

Tampil cemerlang sejak single “Bukan Hal Aku” yang beredar awal di tahun 2015, Kaka Azraff bergerak cukup tersendiri dengan konsep muzik Urban Pop yang didukung sejak awal bersama produser muda, Alif.

Tanpa perlu bergantung dengan kehendak pasaran semasa yang sentiasa mahukan penyanyi wanita yang melaung nada-nada tinggi dalam setiap lagu, Kaka saya kira cemerlang mencorak perjalanan karier bermuziknya dengan caranya sendiri.

Setelah, “Bukan Hal Aku”, “Terima Kasih”, “Kembali” dan kali terakhir “Sibuk” – Kaka tampil dalam dua single projek istimewa lainnya iaitu “Shout It Out” menerusi runut bunyi Gol & Gincu Vol.2 serta sebuah single duet bersama Maya Karin awal tahun ini berjudul “Getaway”.

Terkini setelah hampir setahun “Sibuk” menjadi siulan, Kaka tampil sekali lagi penuh cemerlang dengan sebuah lagi karya cipta Alif bersama lirik Bil Musa menerusi love anthem berjudul “Diamonds”.

Lagu ini lagu cinta saya untuk Adam.

Mendedikasikan single ini sebagai permulaan jalan bahagia kehidupan rumah tangganya, Kaka berkata “Lagu ini tentang luahan rasa seseorang isteri itu mensyukuri nikmat bahagia yang dikecapinya. Dicintai, dibelai dan diberi perhatian sepenuhnya oleh suami.”

“Saya bersyukur dikurniakan suami seperti Adam dan berharap agar kebahagiaan yang kami rasakan ini akan kekal selamanya walaupun sudah beranak pinak, bercucu cicit nanti.” Tambah Kaka lagi tentang ekspresi cintanya menerusi lagu ini.

Lagu yang beredar 6 September lalu ini sekali lagi mengekalkan signatur muzik Kaka dalam pasaran muzik Urban Pop yang diproduksi Alif dengan cukup kemas. “Diamonds” merupakan sebuah rilis terbitan dan edaran Warner Music Malaysia.

8/10


Review, Terkini,

NJWA Tampil MV Terkini “Take Love Back” 

Setelah tampil EP kelahiran semula Najwa Mahiadin sebagai “NJWA” tahun lalu dengan single “Ocean”, April lalu,  NJWA sempat melahirkan single berjudul “Take Love Back” April lalu, ciptaannya bersama Darren Ashley yang mengambil ilham Alternatif R&B.

Meneruskan kelangsungan populariti “Take Love Back” yang sudah distrim lebih 100k di Spotify, NJWA tampil muzik video rasmi lagu tersebut 9 September lalu di YouTube rasmi miliknya.

Muzik video yang diarahkan pengarah muda Nadirah Zakariya – yang juga mengarahkan muzik video Bila Entah (Aisyah Aziz) dan Sebentar (Dayang Nurfaizah) mengambil latar REX KL sebagai lokasi penggambaran.

“Take Love Back” sebuah naskhah melodious mengangkat kisah cinta perbezaan kaum, agama dan pegangan yang sering dilihat sebagi satu cabaran besar dalam menzahirkan cinta. Lagu ini hadir sebagai sebuah naskhah Pop yang membincangkan epidemik sosial di kalangan masyarakat hari ini.

Menzahir cerita menerusi muzik video ini, kemunculan istimewa Orked dan Jason yang cukup sinonim dengan kisah cinta interracial love menerusi “Sepet” dihadirkan sebagai metafora unik muzik video ini. Tonton sepenuhnya muzik video “Take Love Back”.


ARTIKEL BERKAITAN

Merentasi “Ocean” Dalam Versi 6 Pemuzik Berbeza Benua Bersama Mostacho Xprmnt & NJWA

#RetrospektifMuzik, Highlight, Terkini,

“Datang Seremban, Gitar Menunggu” – Mengenang Pemergian Aji Sebagai Gitaris Senior Yang Cukup Dihormati

Perginya gitaris terkemuka tempatan, Fauzi Samin atau lebih senang disapa Aji di kalangan rakan pemuzik, penyanyi dan pengikut muzik tempatan hari ini mengejutkan dalam sibuknya persiapan show bersama Papa Rock, Ramli Sarip yang sepatutnya berlangsung malam ini.

Nama Aji sering saya lihat di inlay album-albumnya Anuar Zain (Keabadian Cinta), Dayang Nurfaizah (Dayang Sayang Kamu), Sheila Majid (Boneka) dan tentu saja di hampir semua produksi muzik Roslan Aziz.

Arwah Aji saya kira cukup dekat dengan nama-nama pemuzik kelas satu tempatan selain Roslan Aziz dia juga sering sepentas bersama Mac Chew, Jenny Chin, Wan Gigi serta Pacai dan Fendi – menghasilkan debut Afdlin Shauki berjudul “Fuuyo!”

Namakan saja siapa penghibur berportfolio tinggi yang tidak pernah mendapatkan sentuhan gitarnya – dari Jamal Abdillah, Amy Search, Ramli Sarip, Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Sheila Majid semuanya pernah diiring profesionalisme Aji dalam bermuzik.

Melewati kisahnya sebagai gitaris menemukan semula artikel temu bual Harian Metro yang cukup menarik sekali pengisiannya. Sedikit sebanyak lembar cerita hidupnya sebagai gitaris diceritakan menerusi artikel Mei 2010 seperti di bawah.


“Datang Seremban, Gitar Menunggu” 

SEJARAH Aji mula bermain gitar bermula apabila menerima sebuah poskad tertera empat perkataan Poskad dihantar oleh pakciknya dari Seremban ke Kota Tinggi, Johor mengubah hidupnya yang kini bergelar gitaris profesional dan ‘sessionist’ yang kerap mengiringi ramai artis bertaraf antarabangsa termasuk penyanyi terkenal Taiwan dan China.

Kisah Aji atau Fauzi Samin, 43, menerima gitar jenis Aria Pro II bukan saja mengubah mentaliti beliau. Bukan itu saja, bakatnya turut mendapat perhatian produser Roslan Aziz di Roslan Aziz Production (RAP) dan pernah menjadi gitaris kumpulan muzik Afdlin Shauki selama beberapa tahun.

“Saya tak sangka sampai ke tahap sekarang kerana saya mula bermain gitar secara serius pada umur 16 tahun. Pakcik saya seorang pegawai polis di Seremban yang mahu melihat saya mahir bermain gitar. Dia mendorong dan berjanji membeli gitar dan mahu saya menjadi gitaris yang bagus dan mampu bermain muzik dengan baik. Beliau juga mengajar saya melukis gitar hinggalah bentuknya sempurna,” kata Aji, mengimbau kenangan lalu.

FENDI, AJI, ACIS, PACAI DAN AFDLIN

Kini bukan saja menjadi gitaris ratu jazz, Datuk Sheila Majid malah sering mengiringi Zainal Abidin, Jamal Abdillah, Amy, Dayang Nurfaizah, Anuar Zain, Mohram, Datuk Siti Nurhaliza, Kris Dayanti dan ramai lagi pada konsert berstatus besar.

Bahkan, tiada siapa tahu Aji juga pernah tinggal dan belajar gitar selama tiga bulan bersama gitaris hebat, Man Kidal di rumahnya di Kuala Lumpur. Ditanya beberapa pemuzik profesional antarabangsa, mereka menyifatkan Aji adalah seorang gitaris serba-boleh mengalunkan muzik jazz, blues, rock, pop atau apa saja muzik moden.

“Bukan saja mendapat gitar malah saya juga bermain muzik di sebuah kelab malam selama setahun di Wisma Punca Emas, Seremban dan antara artis rakan menyanyi di kelab terbabit adalah Adi Wow.

“Saya kemudian berhijrah di kelab malam di Kuala Lumpur sebelum bertemu Roslan (Aziz) yang menyuruh saya menyertainya dan meninggalkan kelab malam. Sejak itu, sambil mengiringi Afdlin, saya belajar gitar jazz dan mendalami disiplin dan nota muzik diajar Datuk Ramli MS.”

“Apapun, ingatan paling berbekas adalah kata-kata Roslan Aziz. Beliau mahu saya menjadi anak Melayu pertama bermain di kelab jazz masyhur dunia iaitu Ronnie Scotts Jazz Club di Frith Street, London.

arwah aji bersama jamie wilson

Akhirnya pada 1996, saya bersama Acis (keyboards), Pacai (bass) dan Che Mat (dram) berada di kelab itu bersama Sheila Majid dan lagu pertama kami mainkan adalah Di Sisi Daku. Antara nama besar pernah beraksi di Ronnie Scotts adalah Jeff Beck, salah seorang tiga bekas anggota The Yardbirds. Dua lagi adalah Eric Clapton dan Jimmy Page.

“Sejak itu, saya terus membuat persembahan bersama Sheila hingga sekarang. Bagi saya, muzik jazz Sheila ‘kompleks’, Jamal Abdillah memiliki ‘serious ballad’, Zainal perlu permainan ‘groove’ dan untuk lagu-lagu Amy Search ‘energy-driven’ dan seterusnya,” katanya.

Ditanya mengenai masa depan dan motivasi bermain gitar, Aji berkata dia tidak petik gitar untuk menjadi “wira gitar” atau menunjuk kemahiran bermain pelbagai gaya dan ‘chord’.

“Bagi saya, seberapa banyak lagu pun dimainkan, sejauh mana pun merantau, jati diri Melayu mesti kuat ibarat ikan di laut.

Aji bersama Jenny Chin.

“Paling menghairankan saya, ramai generasi muda tidak berminat menimba ilmu dengan orang lama yang hebat seperti Fauzi Marzuki, Manan Ngah dan Mac Chew. Mereka sudah memainkan pelbagai muzik tetapi apabila mencipta lagu, ‘perisa’ Melayu sangat kuat.

“Ramli Sarip ada memberitahu, meniru lagu orang luar tidak membawa ke mana dan lagu-lagu tidak mampu bertahan lama. Cuba tengok Blues Gang, mereka bermain muzik blues dengan lirik bahasa Negeri Sembilan, orang suka sampai sekarang kerana ada mengena dengan orang Melayu dan mendidik orang berfikir mengenai kerja.

“Saya tidak hairan jika kumpulan rock seperti XPDC atau May masih mempunyai pengikut yang ramai dan tidak ada masalah mengatasi populariti kumpulan rock baru yang cuba bermain muzik dengan gaya dan ‘flavour’ daripada orang luar.

“Apapun, buat masa ini, saya menjayakan 55 konsert setahun di merata tempat dan mahu terus berbakti kepada artis tempatan dengan permainan terbaik saya,” katanya.


ARTIKEL BERKAITAN

15 Tahun Fuuyo! Sebagai Album Urban Pop Paling Tastefully Produced

Review, Terkini,

Vintonic Persembah Ilham City Pop Menerusi Single “Cinta Yang Baru”

Tidak sedikit anak-anak baru di bidang muzik Indonesia yang mahu bereksperimen dengan muzik yang dievolusikan daripada muzik terdahulu. Semuanya berlumba-lumba dalam memberi satu warna penuh beragam bagi memajukan muzik itu sendiri.

Vintonic satu daripadanya yang tampil dengan ilham segar yang terinspirasi daripada muzik terdahulu. Kugiran Electro-Pop yang baru saja ditubuhkan tahun ini merilis single perdana mereka berjudul “Cinta Yang Baru”.

Terdiri daripada 3 anak muda – Heston Prasetyo, Nicho Benito dan Ravin Kalindra terbentuk setelah usai pembelajaran di bidang muzik musik di Boston, Amerika.  Berawal dengan demo, sehinggalah saat mereka bertiga memutuskan membentuk Vintonic.

Vintonic menghasilkan “Cinta Yang Baru” dengan visi memberi sentuhan baru muzik 80-an yang memiliki ilham synth pop dan retro sebagai penganalan muzik mereka. Maka terhasil sebuah nuansa Pop yang cukup menyenangkan.

6/10

 

 

#PerspektifMuzik, Highlight, Review, Terkini,

Rilis Terbaik Julai – Ogos 2019

 

Pasaran muzik Julai – Ogos tahun ini bermula cemerlang dengan terhasilnya rilis perdana Black Hat Cat Records (BHC) yang dikepalai Alif dengan rilis kolaborasi bersama K-Clique menerusi single “Mimpi” yang dengan mudah diterima cukup meluas.

Penghasilan “Mimpi” dan kejayaan luar biasanya membuktikan pendengar muzik tempatan semakin meninggi citarasa muziknya. Sudah lebih 2 bulan beredar di pasaran digital dan radio tempatan, “Mimpi” sudah distrim hampir 3 Juta di Spotify dan ditonton lebih 10 Juta tontonan di YouTube.

Perkembangan yang cukup baik untuk pasaran muzik Hip-Hop lokal khususnya. Setelah kejayaan tersebut, Alif menerusi BHC merilis sebuah lagi single daripada bakat solo Luqman Podolski dengan single ciptaan kolaborasi Luqman, dan Alif menerusi lagu “Sorang”.

Saya semakin tertarik dengan naskhah-naskhah produser muzik muda MFMF. (Justin Seow / Kuizz Shah / Wee Zhen Yong) yang membentuk prisma Pop tempatan dengan bunyian yang lebih moden dan ke depan. Saling melengkapi dengan apa yang di usahakan Alif di pasaran Hip-Hop.

Tiga anak muda dari MFMF. ini cukup bijak dalam menghasilkan sesuatu yang cukup current, moden dan bervisi. Lagu-lagu mereka terdengar segar dengan penghasilan melodi yang cukup baik dan dikemaskan dengan pengaruh Pop dan EDM yang berkelas.

Hal-hal ini tentu saja dapat dilihat menerusi single terbaru Bil Musa (Pikachu) yang hadir dalam ilham lo-fi R&B dan juga menerusi single solo Kuizz menerusi lagu “Why I Hate The Weekends” 


DOMINASI BALADA PITCH PERFECT DALAM PENYAMPAIAN FULL OF SKILL

Pasaran muzik Khai – Nana dengan mudah mencuri perhatian pendengar tanpa perlu mengambil masa untuk memikat pendengaran tempatan. Penghasilan lagu “Satukan Rasa” ciptaan duo ini bersama lirik Iman Imran saya kira sekadar meneruskan kelangsungan Balada sedia ada.

Melodinya baik namun sekadar itulah, berapa banyak lagi lagu begini yang kita perlukan? Shila Amzah juga semakin kembali digilai menerusi balada Farouk Roman dan Amylea menerusi lagu “Tiada Dirimu” begitu juga dengan Amylea sendiri yang tampil dengan lagu “Bukan Cinta” dalam ilham balada Melly-Go-Inspired.

Menambah lagi katalog muzik Balada pasaran tempatan, Idayu hadir sekali lagi dalam sebuah Big Ballad yang menampilkan keupayaan vokal cemerlangnya dalam bernyanyi. But to be honest kita semua pun tahu kebolehan dia untuk menyanyi dengan baik but how many Ballad lagi agaknya yang dia perlukan untuk benar-benar diterima meluas?

Berbanding single sebelumnya mungkin “Yang Ku Rindu” yang paling baik penghasilannya. Namun all those whistle and high note kita dah bosan sebetulnya. Melodinya juga tidaklah terlalu baru. Idayu perlu mencari formula lebih besar ideanya.

Maksud saya di sini even Christina Aguilera dan Mariah Carey sendiri tidak lagi merilis Big Ballad dan fokus mereka pada lagu-lagu lebih Pop dan moden tapi itu tidak bermaksud suara merdu mereka kita tidak dapat nikmati.

Idayu perlu lebih agresif dalam meletakkan standard muziknya lebih tinggi tanpa perlu bergantung ilham Balada OST semata. Saya mahu sekali melihat Idayu lebih besar feel Pop nya seperti Emeli Sandee atau Paloma Faith sebagai rujukan.


Di agenda pengedaran album, Faizal Tahir siap merilis “Rojak” yang merupakan album terakhirnya yang menampilkan hits terdahulu bermula “Ragaman” sehingga “Ratu” yang solid signatur muziknya sepanjang berkarier dalam muzik.

Astro kembali dengan musim kedua “Big Stage” dengan beberapa kejutan yang menarik perhatian. Neeta dari kugiran I Am Neeta antara yang punya potensi besar untuk begerak sebagai the next Pop star yang boleh dibesarkan skala psaran muziknya dengan percaturan pengurusan karier yang berkelas.

Apa yang perhatikan dalam pasaran muzik hari ini kita sudah ada barisan Pop Creator yang cukup baik – The Faithmen (Faizal Tahir, Mike Chan, Romeo), Hael Husaini & Ezra Kong, Alif dan MFMF. yang sudah membentuk kosmik Pop lokal dengan acuan yang cukup baik sekali.

Dan gerakan ini harus berterusan bagi memberi warna yang cukup positif pasaran muzik tempatan yang lebih membanggakan. Berikut senarai rilis-rilis terbaik Julai – Ogos 2019.

RILIS TERBAIK JULAI – OGOS 2019.
Caramel Cream – Midnight Fusic (Adrian Daniel / Arif Kamaruddin / Midnight Fusic / Pijar)
Growing Up Sucks – Chaleeda (Bil Musa / Justin Seow / Kuizz Shah / Wee Zhen Yong)
I Want You To Love Me – Alif Satar (Alif Satar / Faizal Tahir / Ezra Kong / Mike Chan / Romeo)
Asmara Botol Kaca – Margasatwa (Kimal)
Kamu – Faizal Tahir (Ezra Kong / Faizal Tahir)
Mimpi – K-Clique & Alif (Alif / Farid PF / Gnello / MK / Noki / Somean /Tuju )
Pikachu – Bil Musa (Bil Musa)
Why I Hate The Weekends – Kuizz (Justin Seow / Kuizz Shah / Wee Zhen Yong)
SEA Gyal – Airliftz
Cinta – Ismail Izzani (Ismail Izzani / Mas Dewangga)


ARTIKEL BERKAITAN

10 Rilis Terbaik Mac – April 2019

Highlight, Review, Terkini,

Menyelisik Perasaan Adrian Khalif Menerusi EP “Feelings Under Construction”

Adrian Khalif di awal kemunculannya bersama Dipha Barus menerusi single “Made In Jakarta” hadir dalam pesona yang cukup impresif. Namanya mula disebut-sebut sebagai barisan anak muda yang akan meneruskan legasi cemerlang pasaran Pop seberang.

Dengan serta feel R&B juga soul yang dimilikinya dia tanpa membuang masa setelah “Made In Jakarta” tampil dengan single kedua berjudul “Flawless/Merona” yang siap meletakkan namanya sebaris penghibur atas yang lainnya.

Nama Adrian Khalif sekali lagi menjadi perhatian ketika dia memenangi trofi “Artis Baru Lelaki Terbaik” Anugerah Planet Muzik (APM 2018) tahun lalu.

Dan di lewat tahun lalu dia sekali lagi tampil memukau dengan rakaman duet bersama Cantika Abigail menerusi lagu “Take Care” yang datang dengan ilham neo-r&b yang cukup mempesona.

Hampir lapan bulan “Take Care” beredar, Adrian siap tampil dengan mini album perdananya yang diberi judul “Feelings Under Construction” yang berisi 3 Lagu karya ciptanya bersama komposer lainnya.

Dibuka dengan ilham synth Pop “Morning Light” dengan penampilan istimewa Ben Sihombing yang turut membuahkan ilhamnya untuk lagu ini. Groove Adrian dirasai sekali dalam persembahan vokalnya yang sederhana.

“So Long Girl” meneruskan sisi Pop “Made In Jakarta” dengan fell R&B pada kemasan muziknya yang memiliki signature spirit Adrian dalam single sebelumnya. Pendengaran saya lebih terikat dengan “Utopia” yang menurut saya lagu terbaik di EP ini dan mungkin juga lagu terbaik Adrian dalam bermuzik sejak 2017.

Lagu ini hadir dengan ilham Pop / Ballad yang bergerak menjadi lebih R&B dan jazzy di tengahnya. Saya terbuai dengan kemasan muzik Marco Steffiano dengan lirik yang melekat bermakna terutama di bait “Seluruh aku milikku, Sematkanlah semaumu, Tlah kuberikan kuncinya, Buka aku semaunya.”  dan disambung dengan realisme perasaan penuh cinta “Ku berikan pintu syurga, Ini benar Utopia, Kini ku tlah di dalamnya, Siap ku tinggalkan dunia.”

Sejujurnya saya tidak puas dengan hanya 3 lagu yang mengisi EP ini, mungkin jika 5 ia lebih memuaskan tetapi saya kira Adrian mungkin tidak mahu membazirkan banyak karya tanpa didengari sebaiknya pendengar.

EP ini saya kira cukup segar untuk anda yang mahukan sesuatu feel segar tetapi masih Indonesia jiwanya terutama sekali di lagu “Utopia” yang sudah berapa kali sudah saya ulang sehingga artikel ini siap ditulis. A very good song!

7.6/10


ARTIKEL BERKAITAN

Usai Fasa 7 Bulan Berehat, Raisa Tampil Dengan Single “Kembali”

Review, Terkini,

Kuizz Hadir Penuh Attitude Di Single “Why I Hate The Weekends”

Meneruskan visi dalam bermuzik yang cukup current dan berevolusi, Kuizz yang berawal tampil dengan penampilan perdananya di EP “Till The End” pada tahun 2016 terus memikat pendengaran tampatan dengan beat semasa yang dipersembahkan dalam lagu-lagunya.

Benar-benar mula mencuri perhatian pendengar menerusi single “Silence” bersama Haneri yang diedarkan pada tahun 2017, Kuizz terus mencuri tumpuan dengan single “Vibe” yang beredar tahun lalu dengan jumlah strim di Spotify yang kini sudah menghampiri jumlah 5 Juta pendengaran.

Kelibat Kuizz mula mencuri perhatian saya ketika dia menjadi Top 2 Asia’s Dream Come True yang dianjurkan Spotify bersama Air Asia mengetepikan bakat lain dari Jakarta dan Singapura. Dan jika masih ingat pernah kami namakan Kuizz sebagai pemuzik baru yang harus diberi perhatian (Baca artikel lengkap di pautan di bawah) bersama Alif dan Ali Aiman.

Dan nyata dia benar-benar telah memberi satu warna pasaran muzik lokal di pasaran urban khususnya dalam agenda meninggikan lagi standard pasaran muzk tempatan.

Tahun ini Kuizz aktif dalam gerakan Pop yang diusakan bersama dua lagi rakannya Justin Seow dan Wee Zhen Yong yang membentuk hab Pop diberi nama MFMF. dan di tahun ini sahaja MFMF. sudah menghasilkan single-single yang cukup besar visinya. Bermula dengan Aku & Laguku (Hani & Zue), Flashes (Bil Musa), Growing Up Sucks (Chaleeda), If I (Daiyan Trisha), Passin Through (Daiyan Trisha) dan Summer Love (Alex Ungku).

Terkini melengkapkan lagi portfolio muziknya, Kuizz hadir lebih mempesona dengan single solo terbarunya berjudul “Why I Hate The Weekends” yang sekali lagi menyerlahkan sisi Pop semasa yang hadir dengan penghasilan melodi yang baik dan terkini.

Single ini seawal bait awal sudah memikat dengan lirik “Why is it the problem is my vibe?” Kuizz tampil cukup catchy di bahagian korus sing-a-long yang dihasilkan. Kiranya setelah “Vibe” saya percaya “Why I Hate The Weekends” mampu meneruskan kredibilitinya sebagai pemuzik pelapis tempatan yang boleh kita banggakan.

8.2/10


ARTIKEL BERKAITAN

Pop Masa Depan – Cerita Tiga Bakat Ali Aiman, Kuizz Shah & Alif

 

Review, Terkini,

Swinging 60’s Masdo Dalam Persembahan “Selamat Tinggal Pujaan”

Hebatnya penangan Masdo ini saya kira bukan calang-calang, mereka mencipta satu corak pemasaran muzik yang cukup tersendiri tanpa perlu bergantung kepada rilis digital untuk mewar-warkan siapa mereka sebagai pemuzik apa lagi air play di radio. Cukup sekadar promosi berterusan di media sosial dan gig tidak putus.

Masakan tidak, hanya setelah hampir 2 tahun “Selamat Tinggal Pujaan” diedarkan secara fizikal hanya pada 15 Julai lalu album ini diedarkan secara digital di Spotify. Lapan lagu diisi penuh pengaruh Pop Yeh-Yeh juga swingging 60’s yang tampil penuh attitude dan produksi muzik yang berkelas yang kesemuanya dicipta Ali Sariah dan diproduksi AG Coco.

Album ini dibuka cemerlang dengan “Ratu Hati” yang buat saya terkesima juga dengan hasilnya. String menerusi lagu ini lain macam buat saya menaikkan volume untuk mendengar detail rakaman lagu ini. Saya belum sempat pun menghabiskan lagu ini tapi saya rasa ya ini lagu terbaik album ini.

Clarity dan attitude vokal Ali terkawal baik, emosinya ada dan ceritanya sampai sekali tanpa ditenggelami energy muzik dalam lagu ini.

“Kecundang” memiliki pengaruh serupa “Bunga” yang merupakan single perdana yang memeprkenalkan nama Masdi di persada muzik temptan. Sebuah naskhah yang mudah untuk kita enjoy dengan catchy korus yang baik. Dan feel serupa diteruskan dengan lagu berikutnya seperti “Teruna Dara”, “Malam Pesta Rock & Roll” dan “Berduka Lara”.

Saya lebih enjoy dengan “Bercanda Di Malam Indah” dan tentunya “Bunga” yang menjadi penutup album ini.

Masdo saya kira punya satu kosmik berbeza dalam memberi satu warna yang berbeza pasaran muzik lokal. Apa yang mereka hidangkan mungkin tidaklah datang dengan sesuatu yang berevolusi atau terlalu original tetapi saya kira ia penting dalam memberi satu dinamik untuk pasara muzik tempatan.

Saya tidak pasti projek Masdo ini ke mana arahnya setelah debut ini tapi setidaknya untuk 3-4 Tahun mendatang mereka pasti akan tampil dengan idea yang lebih besar dan berwarna sebelum bernokhtah setidaknya.

Dan ya saya masih mengulang dengar “Ratu Hati” di saat review ini berakhir membawa imaginasi saya melayang untuk melihat Masdo meneruskan visi muzik mereka dengan corak Buddy Holly, Nat King Cole dan Jimmy Durante – more strings!

7/10


ARTIKEL BERKAITAN

Ramuan Rock N Roll Kyoto Protocol Dalam “The Pen Is Mightier”

#RetrospektifMuzik, Highlight, Terkini,

Mengulik Lembut Gemersik “Mazleela” Dalam “Prasangka”, “Tabah” & “Diam” Yang Terus Membisu

Kembali ke era pertengahan 90-an, di mana lambakan penyanyi Balada tumbuh (dengan kualiti) satu per satu daripada bumbung serupa, Suria Records memperkenalkan kita dengan nama-nama seperti Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Anis Suraya dan way before nama-nama ini popular, formula Balada meruntun jiwa ini bermula dengan penyanyi bernama Mazleela.

Mengukir satu fakta menarik ketika itu, usaha Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah) dalam menyambung legasi Balada Fauziah Latiff mix Noraniza Idris menghasilkan seorang penyanyi wanita bernama Mazleela dengan album perdana berjudul “Deraan Kasih” (1995).

Lagu-lagu seperti Cinta Apakah Nama & Edisi Lagu Rindu yang kedua-duanya ciptaan Pak Ngah menghembuskan feel 80’s revival yang pernah dibawa Noraniza Idris di awal karier muziknya sebagai penyanyi saduran.

Konsep muzik Mazlela sedikit berubah lebih Balada ala Fauziah Latiff dengan sentuhan Adnan Abu Hassan di album keduanya “Prasangka Yang Berakhir” (1996) yang menampilkan 4 daripada 10 lagunya ciptaan Adnan sendiri.

Kalau diikutkan dengan percaturan yang betul di saat itu, Mazlela sudah cukup siap untuk benar-benar popular. Radio begitu menyambut baik single “Prasangka Yang Berakhir” kiranya masa tu, heavy rotation jugalah.

Namun timing-nya kurang tepat untuk dia mengekalkan perhatian kerana pada tahun serupa Siti Nurhaliza sudah lebih bersiap untuk mendapatkan segala limelight dengan bakat luar biasanya.

Mendengar kembali album “Deraan Kasih” Mazleela sebetulnya meneruskan pasaran muzik Balada yang pada ketika itu mungkin dilabel sebagai muzik “kampung” – Antaranya jika anda ingat Melati (Bila Hatiku Rindu), Siti Fairuz (Bila Kurindu Ku Sebut Namamu), Tushee (Di Sebalik Janji), Shereen (Rahsia Cinta) dan mungkin lebih awal lagu-lagu Ahmad Nawab buat Ramlah Ram khususnya.

Balada Maz berubah sedikit bercitarasa dengan feel yang lebih baik, solid dan tidak terlalu mendayu di tangan Adnan Abu Hassan. Beberapa lagu ciptaan Adnan seperti Prasangka Yang Berakhir, Hanya Singgahan Memori, Mudahnya Kau Berubah dan Apakah Salahku antara yang dicipta mengikut lembut merdu penyampaian Maz.

Berbanding lagu-lagu seperti Deraan Kasih (To’ki) dan Sepi (Omar Taib) yang terlalu mellow dan yang easily mengundang skip saya kira Adnan Abu Hassan produser yang sangat bijak dalam mencari soft spot dalam penyampaian Mazleela supaya dia tidak terlalu merintih tetapi lebih kepada bercerita akan perasaan yang betul dalam lagu yang disampaikan.

“Diam Tak Bererti Membisu” album ketiga Maz diterbitkan di tahun 1998 dengan hits ciptaan Azmeer tersebut berjaya mengekalkan nama Maz dalam radar muzik radio ketika itu.

Trend album saduran di era 90-an yang diaktifkan SRC untuk artis rakaman mereka 2BY2 mengilhamkan syarikat rakaman tersebut membikin sebuah projek serupa buat Maz menerusi album studio terakhirnya berjudul “Anggun” yang beredar di tahun 2000 tapi silapnya SRC percaturan mereka tidak mengena.

Entah mungkin kerana fokus terhadap Siti dan Liza Hanim yang begitu disukai ketika itu membuatkan nama Maz sekadar mengisi katalog porfolio syarikat tersebut. Dan pada masa yang sama muncul pula Anis Suraya yang datang penuh pesona dalam gemersik suaranya.

Langsung menenggelamkan terus kewujudan “Anggun” yang dibikin dengan banyak rugi berbanding untungnya buat perjalanan karier Maz sebagai penyanyi ketika itu.

Meneliti keseluruhan lagu-lagu di albumnya, Maz tidak sekadar berkemampuan menyampaikan Balada ada pilihan Pop sebetulnya yang mid-tempo tapi entahlah bagai ada yang tak kena mendengar Maz menyampaikan lagu-lagu begitu.

Di penutup kembara kariernya yang bertahan kurang lebih 5-6 tahun, Maz meninggalkan kita semua dengan sebuah lagu yang saya kira dia sendiri tidak menjangka mampu menjadi hits

Lagu berjudul “Tabah” dimuatkan dalam album kompilasi The Best of Mazleela yang diedarkan SRC pada tahun 2002. Ketika itu saya kira kontrak rakaman Maz pun sudah bernokhtah dan setelah itu tiada rasanya perkhabaran dia menandatangani mana-mana kontrak rakaman.

Namun impaknya lagu tersebut sehingga hari ini masih menjadi pilihan DJ Lin Suria Cinta malah tidak pernah lekang dilaung penuh hiba di pusat-pusat karaoke RedBox.

“Tabah” hasil ciptaan Eddie Hamid menjadi satu-satunya lagu Maz dengan jumlah strim mencecah lebih 50 Ribu kali di Spotify. Yang lainnya hanya sekadar seribu lebih dan kurang. Dan sejujurnya “Tabah” satu-satunya (mungkin) Balada Eddie Hamid yang saya senang mendengarkannya. Mungkin juga kerana penyampaian jujur Maz dalam lagu ini.

Mazleela hilang dalam radar pasaran muzik lokal tidak hanya kerana persaingan kuat di bumbung SRC sahaja, sebuah lagi syarikat rakaman iaitu FMC turut aktif melahirkan nama baru seperti Siti Nordiana, Syura dan Elyana yang turut menjadi faktor sepinya bakat ini.

Namun saya kira dalam kitaran muzik generasi baru selepas Fauziah Latiff dan Ziana Zain tidak salah jika saya letakkan nama Mazleela sebagai terawal Adnan Abu Hassan zahirkan bagi membangkitkan ilham Balada begini.

Sepanjang berkarier Mazleela tidak lagi kiranya sempat ke final Juara Lagu jauh sekali menjadi pilihan juri profesional untuk menamakannya sebagai calon Vokal Wanita Terbaik Dalam Album di Anugerah Industri Muzik (AIM). Namun Maz saya kira punya satu momen dan soft spot di kalangan pengikut muzik era 90-an khususnya.

Maz jika bernafas di pasaran muzik hari ini saya kira tidak susah untuk mendapatkan 1 Juta view di YouTube atau strim yang tinggi di Spotify dan saya percaya jika lagu “Tabah” itu dirilis setahun dua kebelakangan ini ia akan jadi fenomena dan booming sekali.

Namun di penghujung 90-an A&R label dan orang radio lebih selektif untuk mengenengahkan sesuatu yang lebih serius dan berevolusi dalam muzik. Saat itu semua sudah siap dengan Balada yang lebih berkelas seperti Selamanya (Innuendo), Ku Mohon (Sheila Majid), Percayalah (Siti Nurhaliza), Aku Cinta Aku Rindu (Ajai & Nurul), Akhirnya (Camelia), Naluri (Nora) dan Musim Berlalu (Anuar Zain) membuatkan nama Maz perlahan tenggelam diam dan terus membisu sehinggalah hari ini. (Badi lagu Azmeer barangkali #jk)

Terkini,

Konsert Terakhir Sebelum Vakum, Tiket Konsert Inspirasi Afgan Live Terjual Laris!

Setelah kejayaan siri Konsert DEKADE di Malaysia tahun lalu dan di Indonesia awal bulan ini, solois Pop terkemuka nusantara, Afgan bakal menggegar pentas HGH Convention Centre Kuala Lumpur 5 Oktober depan dalam kembara Konsert Inspirasi – Afgan Live in Kuala Lumpur.

Populariti luar biasa Afgan di Kuala Lumpur seperti sudah dijangka, sehingga hari ini kurang 2 bulan konsert tersebut bakal berlangsung, sebanyak 75 peratus tiket konsert sudah dijual. Apa yang lebih menarik konsert ini turut menampilkan Sheila Majid sebagai jemputan khusus yang akan sepentas bersama Afgan.

“Konsert ini berkisar mengenai sumber inspirasi dalam kerjaya seni saya selama ini dan diharap ia dapat menaikkan semangat penonton untuk terus berusaha dalam mencapai apa yang diimpikan dalam hidup.” Menurutnya dalam satu sidang media yang berlangsung.

Afgan menambah, “Selain itu, konsert ini cukup istimewa dengan kehadiran idola sayaDato’ Shiela Majid dan ia merupakan satu penghormatan dan impian saya untuk mengadakan persembahan  bersama beliau khususnya buat peminat di Malaysia.”

Keterujaan serupa dikongsi Shiela Majid “Afgan merupakan antara penyanyi lelaki yang cukup berbakat dan pencapaian beliau sepanjang lebih 11 tahun di industri muzik amat membanggakan.”

Erik Ong, Ketua Pegawai Eksekutif Pop Corn Studio Sdn. Bhd. berkata “Afgan merupakan nama besar dalam industri muzik di rantau Asia dan ini dapat dilihat menerusi kekuatan populariti dan permintaan tinggi khususnya dari peminat muzik di Malaysia. Hal ini terbukti pabila tiket yang mula dijual pada 25 Jun 2019 kini hampir 75% telah laris dijual.”

Konsert Inspirasi Afgan Live di Kuala Lumpur 2019 merupakan konsert terakhir Afgan sebelum beliau berehat seketika dari industri muzik nusantara bagi memberi fokus terhadap perjalanan karier muziknya di Amerika Syarikat.

Gambar: Popcorn Studio Sdn Bhd


ARTIKEL BERKAITAN

“Shit Happens Okay!” – Sheila Majid