
Lagu: Speak
Artis: Hani & Zue
Komposer / Lirik: Hani & Zue
Produser: Zue
Nama Hani & Zue sudah cukup ranum dalam pengalaman bermuzik secara indie yang sudah lebih lima tahun berlegar mencari keyakinan pasaran muzik lokal.
Biar perjalanan muzik mereka masih belum begitu diterima meluas pasaran semasa namun kelibat Hani & Zue sentiasa ada bagi mengisi kelompongan pasaran muzik lokal yang memerlukan warna berbeza seperti apa yang duo ini tawarkan.
Lagu-lagu seperti “Biar”, “Mulut Tempayan” sehingga lagu terbaik mereka “Aku dan Laguku” yang beredar tahun lalu sudah memperlihatkan kematangan duo ini bermuzik.
Awal tahun ini mereka hadir dengan sebuah lullaby album berjudul “The Piano Album” yang hadir membuai dalam 5 lagu yang rata-ratanya lagu popular mereka.
Dan terkini, tanpa membuang lebih banyak masa Hani & Zue melewati rasa dalam sebuah persembahan beremosi menerusi lagu “Speak”.
“Speak” hasil ciptaan sepenuhnya duo ini beredar 10 Mei lalu di semua gedung muzik digital menjadi sebuah lagi naskhah yang cukup bagus dalam diakografi mereka
Lagu ini hadir dalam penghasilan melodi yang cukup mengusik emosi dalam gelora rasa penulisan liriknya yang sederhana.
Penghasilan melodinya mudah menangkap pendengaran tanpa memaksa pendengar larut dalam persembahan sederhana duo ini yang memberi justifikasi vokal yang secukupnya.
Hani & Zue saya kira mungkin tidak mempedulikan tanda aras populariti mereka sebagai pemuzik tetapi saya kira ia bukan alasan untuk kita sebagai pendengar, pengamal media, peminat muzik dan radio untuk meminggirkan naskhah yang sebagus ini.
7.8/10
ARTIKEL BERKAITAN
Orkes A.Hizadin Melayangkan Rasa Syahdu Lewat Single “Menunggu”