
Lagu: Terus Bersinar
Artis: Hafiz Suip
Komposer / Lirik: Mas Dewangga / Jova Devito / Arisz Ab Rahman
Produser: Mas Dewangga
Sedar tidak sedar sudah empat belas tahun Hafiz bermuzik sejak awal bergelar juara Akademi Fantasia, dia mendapat restu yang baik pengikut muzik tempatan untuk diraikan sebagai pelapis Pop yang datang dengan bakat serta nilai komersil yang cukup tinggi.
Dalam kembara bermuziknya juga Hafiz sudah bekerjasama dengan dengan hampir semua komposer hebat tempatan – M. Nasir, Ajai, Aidit Alfian, Audi Mok, LY dan beberapa lagi yang lain dalam menghasilkan hits malar segar. “Masih Jelas”, “Ku Akui”, “Matahari”, “Awan Nano” dan beberapa lagi.
Dan tidak terhenti pada single solo sahaja, Hafiz sehingga hari ini juga sudah berduet dengan penyanyi papan atas seperti Rossa, Siti Nurhaliza, Misha Omar, Adira juga Ernie Zakri. Dan melihatkan senarai-senarai hits yang dia miliki buat saya terfikir mengapa sehingga hari ini Hafiz belum ada konsert solo berskala besar?
Kembara bermuzik yang disusun sederhana dan tidak perlu terlalu berusaha membuktikan sesuatu seperti kebanyak penyanyi hari ini, yang sedaya upaya mahu membuktikan mereka bagus. Hafiz cukup sederhana, cool dan menjalani saja perjalanan bermuziknya dan biar sudah berbelas tahun dia masih relevan dan dihormati. Itu hal yang sangat perlu dipelajari penyanyi hari ini.
Meneruskan kelangsungan bermuziknya Hafiz menghadirkan sebuah lagi lagu buat kita semua, “Terus Bersinar” karya cipta Mas Dewangga bersama Jova Devito dalam persembahan Pop yang mengikat dengan sekali pendengaran. Feel Pop begini saya kira sangat dekat dengan beberapa single Hafiz di fasa 2020’s. Ada feel serupa “Kisah Cinta Kita”, “Sinar Cinta” juga “Takluk Cinta”.
Kekuatan di lagu ini saya kira benar-benar terletak pada persembahan vokal Hafiz yang cukup kemas dan puas dinikmati. Korus lagu ini benar-benar memberi kelebihan buatnya menyerlahkan komposisi lagu ini ke tahap yang baik. Di saat Hafiz melantun bait “Ku mohon padaNya agar terus bersinar // Kasih yang semakin pudar” begitu flawless dan sempurna sekali vokalnya.
Lagu ini sederhana sahaja sebenarnya namun kesederhanaan itulah membuatkan naskhah ini cukup istimewa dan mengulang dengarnya juga menjadikan ia semakin menarik untuk dinikmati. Di saat menulis artikel ini saya kira ya kita semua sudah siap sedia untuk menikmati kesemua hits Hafiz dalam sebuah konsert berskala besar.
8.2/10
ARTIKEL BERKAITAN