Dayang Nurfaizah bergerak sebagai persona Pop yang lebih dua dekad menuai kematangan bermuzik hadir dalam sebuah persembahan Pop Klasik yang melekakan.
Melewati pasaran muzik semasa berganti musim, nama Dayang Nurfaizah kekal di radar popular pasaran muzik tempatan sejak lewat 90-an. Kini dia menuai usia cukup matang dalam mencipta satu kosmik Pop yang cemerlang menerusi senarai diskografi lengkapnya yang sudah diyakini kehebatannya.
Kekuatan Dayang sebagai penyanyi tidak hanya pada kemampuan vokal dan persembahan pentasnya. Kepuasan menikmati muzik secara total dengan citarasa cukup tinggi sudah dia hidangkan buat kita sebagai pendengar.
“Kasih” sebuah album rakaman semula beredar lebih 15 tahun yang lalu, dihasilkan sebagai sebuah tafsiran muzik Dayang yang menggambarkan apa yang dia mahu lakukan sebagai seorang penyanyi.
Album yang menampilkan rangkaian malar segar seperti “Kasih”, “Saat Bahagia”, “Tiga Malam” dan “Sri Bulan” itu terhasil cukup bervisi ke hadapan dengan kemasan muzik serba baru mendepani mana-mana album yang terlahir ketika itu.

Usai mengembalikan keyakinan peminat lagu Balada dengan bakatnya di single hebat seperti “Di Pintu Syurga”, “Lelaki Teragung” dan “Separuh Matiku Bercinta”, Dayang mengembalikan segala groove yang dia miliki di tiga single “Sebentar”, “X Missing U” dan “Gerak Dulu” yang beredar di fasa 2019 – 2020.
Dan tidak mahu memperlahankan langkahnya dalam bermuzik, Dayang memberi sebuah lagi kejutan manis baut peminatnya dengan sebuah album rakaman semula the classic yang dinamakan “Belagu” dalam 8 lagu yang terhasil sempurna di bawah kendalian produser muzik Aubrey Suwito.
Muzik Kita bertemu Dayang Disember lalu berbual bicara “Belagu” yang menjadi antara impian manisnya yang sudah tercapai.

Dayang Nurfaizah bersama Aubrey Suwito
MK: APA YANG MEMBUATKAN PROJEK “BELAGU” INI PENTING BUAT DAYANG?
DN: Ini merupakan hasrat atau impian Dayang sebenarnya untuk hasilkan sebuah album klasik. Kalau sebelum ni semua tahu Dayang pernah keluar dengan album “Kasih” yang lebih bereksperimentasi dengan arrangement, vokal juga melodi yang kita perbaharui dengan feel baru.
Kali ini Dayang hanya mahu enhance keindahan lagu-lagu lama ini dengan sesuatu yang lebih lively dan segar. Dari segi arrangement Dayang tidak mahu terlalu mengubah namun pada masa yang sama ia perlu ada sentuhan segar yang boleh diterima pendengar-pendengar baru. Even dari segi nyanyian Dayang cuba menjaga keaslian lenggok tanpa tukar terlalu banyak stailnya tetapi masih dilakukan dengan cara Dayang sendiri.
MK: JADI “BELAGU” INI KELANGSUNGAN “KESUMA JIWA” ATAU BAGAIMANA?
DN: Sebenarnya dah lama Dayang mengimpikan album ini even sebelum “Kesuma Jiwa” lagi. Sebab kalau ikutkan perancangan, tiap-tiap tahun Dayang akan cakap Dayang kena juga buat satu album Pop Melayu Asli begini. Cuma biasalah soal masa, modal semua tu buat hasrat ini terpaksa ditunda dan alhamdulillah sekarang dah pun jadi kenyataan.
MK: BOLEH CERITAKAN SEDIKIT PROSES PEMILIHAN LAGU?
DN: Dayang senaraikan beberapa lagu dan berkongsi dengan Aubrey Suwito. Aubrey pun ada beberapa lagu yang dia cadangkan. Daripada situ kita lihat balik yang mana sesuai dengan Dayang.
Sebab ada lagu yang bagus tapi tak ada kesesuaian jadi dari proses perbincangan ini kita dapatkan senarai yang betul-betul Aubrey boleh mencantikkan susunan muziknya dan Dayang boleh persembahkan dengan sebaiknya.
Ada juga lagu yang Dayang tak pernah dengar pun sebelum ni macam “Dikenang Jangan Dipesan Jangan” tapi Aubrey cadangkan dan masa first time dengar Dayang dapat bayangkan yang Dayang boleh do something dengan lagu ini. Penting bagi Dayang untuk Aubrey boleh imagine sesuatu terhadap lagu-lagu yang dipilih supaya dari situ baru Aubrey dapat hasilkan sesuatu yang betul-betul bagus.

Dayang nak experience cara orang dulu-dulu merakamkan album
MK: HOW SPECIAL “BELAGU” PADA DAYANG?
DN: Special sangat sebab salah satu impian Dayang dah tercapai. Menerusi “Belagu” Dayang dapat kepuasan yang Dayang cari dari segi susunan muzik, cara bekerja, proses rakamannya. Semuanya adalah pengalaman baru buat Dayang. Proses merakam sebuah album live recording macam orang dulu-dulu lakukan. Hal itu yang Dayang nak rasa dan nak experience for once.
Agak susah sebenarnya nak capai apa yang kita plan sebab mula-mula semua pemuzik juga krew yang terlibat ingat ini macam album live showcase. Tapi Dayang explain pada Aubrey album ini hasilnya adalah sebuah album studio yang dirakam secara langsung mengikut cara orang dulu-dulu merakamkan album.
Sebagai seorang yang betul-betul enjoy nyanyi live, Dayang mahukan rakaman album ini jadi betul-betul raw dan kalau ada bahagian yang Dayang nyanyi salah sikit pun Dayang ok sebab Dayang memang mahukan feel rakaman live itu sendiri.
MK: MAKNANYA ALBUM INI DIRAKAM SECARA ONE GO?
DN: Ya betul. Baik vokal, muzik mahupun visual semuanya dilakukan secara seiring, sekali gus. Tiada konsep rakam muzik dulu lepas tu rakam vokal diikuti video, tidak begitu. Sebab tu prosesnya agak rumit dan boleh dikatakan semua yang terlibat dengan proses rakaman album ini first time lalui proses sebegini.
MK: BOLEH DAYANG SHARE SIKIT PROSES PEMBIKINAN ALBUM INI SEBELUM SESI RAKAMAN BERLANGSUNG?
DN: Lepas kita dah pilih 8 lagu yang akan dirakam, Aubrey siapkan demo untuk Dayang dengar and feel dulu dekat rumah. Dan seingat Dayang dari Julai sampailah Oktober 2020 memang Dayang banyak habiskan masa bersama Aubrey di studio. Kemudian bila Aubrey dah siapkan semua susunan muzik dan Dayang pun dah ready untuk vokal baru kita ke studio rakaman yang dah di set-up kan mengikut konsep bersama semua pemuzik dan krew produksi.

aubrey suwito
MK: MENGAPA DAYANG MEMILIH AUBREY SUWITO?
DN: Dayang suka Aubrey sebab dia sangat pandai menjadikan satu-satu lagu tu sound dia jadi grand, jadi besar. Kualiti itu yang Dayang sangat respect dengan kerja Aubrey. Sebagai contoh masa Dayang buat persembahan penutup Sukan SEA dulu tu, Aubrey arrange “Tudung Periuk” menjadi satu sound yang sangat hebat feel dia tapi pada masa yang sama masih menjaga keaslian melodi asal lagu tersebut.
Dan kebetulan masa Dayang jumpa Aubrey untuk projek ini, dia pun tengah study lagu-lagu klasik Melayu. Jadi memang orang kata masa yang sangat tepatlah untuk kita bekerjasama menghasilkan sesuatu bagi tujuan apresiasi lagu Pop Melayu Asli. Sekali gus meneruskan kelangsungan hayat lagu-lagu ini dalam pasaran muzik hari ini.
MK: ADA KESUKARAN MEREALISASIKAN ALBUM INI?
DN: Kesukaran untuk realisasikan album ini bukan pada Dayang sangat tetapi Dayang rasa pada musician dan juga krew video. Sebabnya semua pun tak pernah experience projek macam ni, jadi untuk krew production video Dayang rasa memang ada kesukaran buat mereka untuk fikir shot, continuity video dan sebagainya.
MK: DAYANG PUAS DENGAN HASILNYA?
DN: Dari segi muzik ya Dayang puas sebab apa yang Dayang imagine tu semua menjadi. Aubrey faham apa yang Dayang mahukan dan kerjasama kami sangat mudah prosesnya. Tujuan Dayang hanya satu je nak membesarkan lagi lagu-lagu lama ini supaya ia setanding lagu-lagu klasik barat. Supaya generasi hari ini dapat mendengar dan sama-sama meraikan keindahan lagu Melayu klasik. Itu yang Dayang mahukan juga untuk lagu-lagu Melayu Asli ini agar sentiasa diperbaharui dan diperdengarkan.

MK: MEMUNCULKAN KEMBALI HAEL DI “GURINDAM JIWA”
DN: Kalau nak diikutkan lagu tersebut memang perancangan asalnya Dayang nyanyi solo, tapi bila tengok balik liriknya yang berbalas-balas, Dayang fikir lagu ni lebih baik diduetkan dan chemistry dengan Hael memang dah ada pun kan jadi Dayang rasa tak ada salahnya.
Tapi sesuatu yang menarik tentang lagu ini adalah kita ubah formasi lagunya. Maksunya pembahgian parts Dayang dan Hael itu tidak mengikut lagu asal tetapi melodi dan liriknya tidak diubah hanya pembahagian nyanyian sahaja diubah mengikut kesesuaian vokal juga susunan muzik.
MK: SAYA MENDENGAR “MALAM KU BERMIMPI” LIRIKNYA DIUBAH?
DN: Sebetulnya bukan diubah tapi Dayang mengambil versi asal lagu ini yang dinyanyikan Nona Asiah bersama P.Ramlee. Mungkin ramai juga sebenarnya yang tak pernah dengar versi ini dan Dayang memilih versi Nona Asiah sebab Dayang sukakan versi tersebut.
Kalau diikutkan judul asalnya “Asmara Bergelora” cuma selepas perbincangan kita fikir untuk kekalkan judul “Malam Ku Bermimpi” dengan mengambil ilham muzik asal Nona Asiah P.Ramlee.
MK: INTERESTING. MANA DAYANG DISCOVER VERSI TERSEBUT?
DN: Rizalaman lahh… Biasa kalau kita bersiap untuk shot, dia suka pasang lagu-lagu lama ni. Ada one time tu dia pasang version Nona Asiah, kemudian Dayang tanya eh ni version mana? Kenapa Dayang tak pernah dengar? So daripada situ Dayang balik cari dan dengar balik.
Kebetulan dalam list Aubrey pun memang ada lagu “Malam Ku Bermimpi” dan Dayang cakap boleh tak Dayang nak version Nona Asiah ni. Lepas Aubrey dengar dia pun sukakan version yang asal ni jadi daripada situ kita work on new arrangement.
MK: JUDUL “BELAGU” ITU SENDIRI DATANGNYA DARI MANA?
DN: Kita nak something unik dan lain tapi nak cari perkataan Sarawak. Jadi keluarlah idea “Belagu” yang membawa maksud menyanyi. Perkataan yang Dayang rasa menggambarkan apa yang Dayang mahu lakukan dan at the same time memberi tafsiran album ini dihasilkan iaitu untuk menyanyikan kembali.
“Belagu” diketuai Aubrey Suwito sebagai produser dan arranger dengan barisan pemuzik rakaman langsung seramai lebih 15 pemuzik keseluruhannya. Antaranya Fly Halizor (Upright Bass), Jamie Wilson (Gitar), Mohar (Flute), Kevin Chew (Saxaphone) dan Khairul Anwar (Trumpet). Turut menampilkan vokal Hael Husaini di lagu “Gurindam Jiwa”.
Selain “Tudung Periuk” yang sudah beredar semalam, “Belagu” turut menampilkan Jikalau Abang Merindu, Tak Seindah Wajah, Malam Ku Bermimpi, Gurindam Jiwa, Tari Tualang Tiga, Dikirim Jangan Dipesan Jangan dan Kenang Daku Dalam Doamu.
Nasihat saya sebelum siap album ini mendarat di lapangan muzik digital, siap-siapkanlah sistem audio yang mampu menangkap semua bunyi-bunyian hebat di album ini.
Belagu berisi 8 lagu kesemuanya, saya sifatkan sebagai sebuah persembahan Pop Klasik Melayu yang dijaga santunnya dan ditinggikan martabatnya.
Kesungguhan Dayang melestarikan lagu-lagu klasik Melayu ini saya kira sudah menyamai apa yang sering penyanyi Jazz di barat sering lakukan dalam album-album mereka. Lihat sahaja legasi Nat King Cole, Frank Sinatra yang silih berganti generasi masih ada yang masih mahu melagukan sehingga hari ini.
Hal-hal ini sudah dilakukan Sheila Majid di album “Legenda” (1990) dan Sean Ghazi “Semalam” (2006) antaranya. Usaha ini saya kira harus berterusan dan inisiatif begini sangat diperlukan lebih lagi daripada bakat generasi hari ini dengan kerja muzik yang sekemas ini.
“Belagu” satu usaha yang harus diraikan dalam meneruskan usaha melestarikan lagu-lagu lama ini dengan meninggikan standard muziknya yang cukup tinggi dan panjang hayatnya.
Gambar: Taufiq Nadzri / DN&AD / Universal Music Malaysia
