
Lebih dua jam berlangsung dengan satu pengalaman menikmati persembahan muzikal berkelas dunia, Rizalman membawa penonton menyelami ertinya seni, budaya dan persahabatan yang membekas sejuta rasa semua yang hadir.
Persembahan “Kesuma Jiwa 2020” berawal dengan tayangan filem pendek transisi persahabatan Rizalman dan Dayang dalam fiksyen yang ditulis dengan elemen humor. Penuh gurauan yang buat semua tersengih senyum sendiri melihat gelagat dua sahabat ini.
Kurang lebih lima belas minit berlangsung, filem pendek hitam putih tersebut benar-benar dihasilkan dalam feel sebenar filem-filem lama era Jalan Ampas. Sudut kameranya, ketepatan visual hitam putihnya (All those noise and lines), bahasa bualnya dan tentu sekali kostum digarap penuh terperinci oleh Rizalman yang menjadi kepala ilham projek filem pendek tersebut.
Transisi persembahan “Kesuma Jiwa 2020” bergerak ke pentas runway dengan barisan koleksi finale Rizalman bersama Zalora Malaysia yang rata-ratanya jelas mengambil ilham tradisi Melayu lama dalam pendekatan cukup moden.

Apa yang paling menarik perhatian saya di segmen ini adalah persembahan muzik orkestra yang disusun kemas Ahmad Muriz Che Rose yang menggunakan vokal asal penyanyi lama di setiap lagu. Begitu kemas dan tidak langsung canggung justifikasinya. Pengalaman baru menikmati muzik yang cukup saya hargai.
Kebanyakan lagu-lagu yang dipilih dihasilkan di era 50-an dan menurut Rizalman menerusi akhbar “Utusan Rizalman” yang diberi kepada pihak media, dia menyebut “Orang Melayu ketika era penjajahan bukan sahaja mengusir anasir luar melalui jati diri malah menolak menerusi unsur seni.”
“Ketika dulu begitulah cara orang seni menyampaikan mesej iaitu menerusi lagu, filem dan kostum” – Rizalman Ibrahim
Dan benar malam tersebut tidak tercela sedikit pun elemen seni Melayu lama yang dikendong sebagai akar ilham persembahan malam tersebut dengan tunas lainnya.
Rizalman sebagai penerbit eksekutif dan Faizul Surani yang bertindak sebagai Pengurus Persembahan benar-benar faham akan apa yang mereka perlu lakukan dalam memelihara pementasan ini agar tidak keluar dari landasan yang seperlunya.
Setiap plot, segmen dan kemasan muzik dihasilkan dalam satu persembahan yang cukup terkawal dalam satu transisi persembahan yang cukup menarik. Dan setelah usai segmen runway, masa yang ditunggu ramai adalah kelibat vokalis handalan Dayang Nurfaizah membuat kemunculan.

dayang nurfaizah
Dibuka dengan persembahan koir Kumpulan Koir Kebangsaan Malaysia di bawah pimpinan Syafinaz Selamat, Dayang Nurfaizah muncul manis dalam persalinan serba putih dalam lagu-lagu hebat seperti “Tari Tualang Tiga” dan “Mengapa Dirindu”.
Dayang seperti biasa tidak pernah mengecewakan, tidak perlu terlalu membuktikan apa lagi – semuanya dialun lembut dalam jarangnya dia menyanyikan lagu Melayu seperti “Hati Ke Hati”, “Bisikan Hati”, “Itulah Sayang” dan “Laksamana Raja Di Laut”.
Dan ya saya kira semua begitu terpukau dengan alunan “Di Pintu Syurga” dalam rendisi baru yang cukup membuai rasa sekali penghasilannya. Beberapa lagu lain yang turut dipersembahkan malam tersebut adalah “Joget Pahang”, “Gurindam Jiwa” dan juga “Selamat Tinggal Bungaku” yang menjadi penutup malam tersebut dengan cukup beremosi sekali.

Dayang yang mengundang kagum penonton dalam alunan melayu aslinya dengan caranya yang tersendiri
Intermission di tengah lagu dengan visual hitam putih di layar tanpa sebarang audio sebelum Dayang menghabiskan kan bait akhir begitu menjadi sekali perancangannya. Terlalu sempurna sebagai penutup bukan sahaja persembahan tetapi juga sebagai tribute buat Rizalman sepanjang dia berkarier dalam bidang fesyen.
Saya pulang malam tersebut dengan kagum. Laju adrenalin malam tersebut terbawa-bawa ke keesokan harinya kerana memikirkan betapa hebatnya pementasan yang betul-betul mengundang rasa gembira, puas dan pasti akan diingati sepertimana kagumnya saya menonton muzikal P.Ramlee, PGL dan Ola Bola dulu.
Dan malam tersebut dalam sedunya, Rizalman mengundurkan diri dari bidang fesyen untuk mengalihkan fokusnya pada bidang perniagaan lain. Rizalman Ibrahim, jika anda membaca artikel ini, kami di Muzik Kita mahu sekali anda berkongsi ilham dalam bidang hiburan yang amat memerlukan individu kreatif, kritis dan kritikal seperti anda.

Melihatkan persembahan “Kesuma Jiwa” saya kira Rizalman sudah dalam diam mendidik penonton dalam disiplin dan penuh protokol. Saya senang melihat semua yang hadir berbaju Melayu hitam dan berbaju kurung.
Semuanya kerana “takut” dan hormatnya kita pada figura ini. Dan industri muzik tempatan perlukan seseorang yang begini yang setidaknya saya pasti mampu mencipta satu disiplin dan landskap bunyi Melayu baru yang akan dijaga dan diangkat ke tempat sepatutnya.
SENARAI LAGU PERSEMBAHAN
- Kesuma Jiwa
- Tari Tualang Tiga
- Mengapa Dirindu
- Hati Ke Hati
- Itulah Sayang
- Bisikan Hati
- Di Pintu Syurga
- Laksamana Raja Di Laut
- Gurindam Jiwa
- Jogert Pahang
- Selamat Tinggal Bungaku
ARTIKEL BERKAITAN
Mendekati 2 Dekad Susah Senang Dayang Nurfaizah Sebagai Pop Living Legend