
Kembara muzik Alif Satar yang berawal di pentas One In A Million membawa tuah buatnya dengan single seperti “Jangan Nakal”, “Cukup Indah” dan “Akan Tiba”. Lagu-lagu yang dimuatkan di album perdananya yang diedarkan kira-kira sepuluh tahun lalu memperkenalkan kita dengan bakat Pop Alif yang pada masa itu tidaklah begitu impresif tetapi punya potensi.
Setelah itu bersama Sony Music (M) dia tampil dengan dua lagi album berjudul “Lelaki Seperti Aku” (2011) dan “Definisi” (2013) yang meneruskan rendisi Pop Alif dengan beberapa lagi rangkaian hits seperti “Akhir Penantian” dan “Lelaki Seperti Aku”.
Namun album-album Alif sebetulnya tidaklah begitu meninggalkan impak yang memberi justice buat karier muziknya sekali pun jika dilihat album Definisi itu dihasilkan cukup baik sekali dengan beberapa senarai lagu yang kuat untuk di ketengahkan.
Mungkin berbalik soal rezeki dan tuah. Namun, usaha dan keinginan Alif untuk terus bergelar penyanyi sangat saya puji. Dia tidak putus ada atau jauh mahu melupakan bidang nyanyian yang menjadi keutamaannya.
Single demi single dihasilkan dan saya kira impak yang baik untuk karier muziknya berawal di single duet bersama Shila Amzah berjudul “Selamanya Cinta” yang membawa Alif ke pentas AJL bersama Shila. Dan ya lagu ciptaan Shila itu begitu memberi justifikasi buat vokalnya dan taste dalam muzik.
Setelah itu, Alif tampil dalam beberapa single lain yang kembali menaikkan namanya. Lagu-lagu seperti “Sesunguhnya Aku”, “Sebenarnya” Bersama Siti Nordiana dan yang terakhir rakaman semula “Sesungguhnya” bersama Raihan.
Tiga single ini saya kira benar-benar meletakkan nama Alif Satar dikenali sebagai soloist lokal yang semakin mencuri perhatian dan dipandang serius.
Terkini, Alif tampil lebih dan semakin meyakinkan dengan single terbarunya berjudul “I Want You To Love Me” karya cipta Alif bersama Faizal Tahir, Mike Chan, Ezra Kong dan Romeo.
Lagu yang mengambil ilham powerhouse Ballad ini tampil penuh soulful yang benar-benar memberi satu dimensi berbeza sepanjang Alif bermuzik. Dan di tahap ini saya kira Alif jelas dengan arah muzik yang dia mahu ketengahkan dan tunjukkan kepada penggemarnya.
Single ini cukup solid sebagai sebuah naskhah yang membuatkan kita puas menikmati feel Alif dalam nyanyian dan kedengaran cukup current untuk bergerak sebagai sebuah naskhah yang boleh dibanggakan pasaran muzk lokal tahun ini.
“I Want You To Love Me” tampil penuh dinamik dalam romantisme penciptaan melodi, penulisan lirik yang baik dan kemasan muzik yang cukup membanggakan untuk sebuah naskhah Pop.
9/10
ARTIKEL BERKAITAN