
Jauh perjalanan Anugerah Juara Lagu bernadi sebagai penanda aras muzik Pop sebetulnya. Biar seringnya saya tertanya apa pentafsiran sebenar lagu terbaik yang masih buram sehingga hari ini menjadikan ia satu hal yang begitu subjektif. Pabila ia menjadi subjektif maka kebolehubahannya sentiasa wujud.
Ada tahun yang saya kira datang dengan agenda dan jika agenda tertentu menjadi bahan ukur mengangkat lagu terbaik, saya kira “Tiwikarma” ada peluang besar untuk menang tahun ini kerana lagu itu sendiri datang dengan agenda jihad dalam muziknya. Hal-hal agenda ini juga yang saya kira membuatkan “GILA” diangkat sebagai juara di era Covid dulu.
Tapi itu just my two cents, sebab most of the time pilihan juara saya seringnya salah. “Debu” masih lagi juara pilihan saya dia AJL 37. I mean mana ada Pop dengan idea, sound dan execution muzik sebegitu solid seperti “Debu”. Dan tahun lalu saya kira “Bukan Lagi Kita” yang paling layak bergelar juara (diulas panjang di sini) juga tewas. Namun ada juga tahun-tahun yang memang satu Malaysia setuju dengan pemilihan juaranya seperti “Sumpah”, “Jampi” dan “Hasrat”.
Tahun ini tahun yang average. Kesemua sepuluh lagu yang bertanding sebetulnya bergerak atas satu graf muzik yang moderate. And to be honest yang tiada satu dalam sepuluh lagu ini adalah wow factor. Faktor yang membuatkan kita teruja menantikan “Jampi”, “Sumpah” dan “Hasrat” diumumkan sebagai juara dulu. Tiga lagu ini yang saya kira paling berpengaruh di era baru penganjuran Anugerah Juara Lagu.
Cukup seimbang dengan penciptaan melodi yang baik, kreativiti penulisan lirik sehingga produksi muzik yang bersifat malar segar. Jadi apa yang dicari tahun ini? Jika wow factor itu tiada dalam sepuluh lagu yang ke final tahun ini? Jawapannya untuk saya adalah yang paling pantas menciptakan sesuatu yang datang dengan idea muzik yang besar, berbeza dan lengkap sebagai naskhah yang seimbang daripada sudut komersialnya dan produksi muziknya.
Kita perlukan sound bersifat kolaboratif, idea yang bertumbuh daripada hal-hal kecil yang disatukan membentuk sifat yang baru.
Dan atas alasan itu jugalah saya sangat tidak bersetuju “Lumangad Oku Dika” ke pentas akhir AJL 40 bukan kerana saya tidak menyenangi bakat Ryenald tapi maaf lagu tersebut hanya mengutip sifat-sifat Andmesh dalam penghasilannya. Baik melodi, lirik, feel sehinggalah produksi muziknya. Sama seperti “Nurcinta” yang membuatkan saya tertanya-tanya mengapa agaknya lagu ini dipilih juri?
As much as I love Amir sebagai bakat pelapis yang baik dan as much as lagu tersebut sangat memberi nadi untuk kelangsungan muziknya tapi sebetulnya ia patut berhenti di situ bukan dipertandingkan. Melodi “Nurcinta” sound dated and old fashion. Itu belum lagi liriknya “Tinggalkan ku jadi kenangan berakhirnya jodoh kita” dan “Kerana dah terlalu sayang // Kau ku sanggup lepaskan.” Dah 2026, masih ke tulis macam ni ke?.
Dan jika betul-betul mahu Balada 90-an begini ke final saya lebih merestui lagu “Hijab Rindu” yang setidaknya lirik ditulis puitis, penghasilannya juga lebih dinamik dengan kemasan muzik yang current. Feel Black juga banyak membantu lagu ini memiliki nilai evergreen yang baik.
“Kamu” memiliki acuan muzik R&B Soul dalam persembahan Pop yang baik. Tapi jika diperhatikan dua tiga tahun kebelakangan, Ernie Zakri sudah membawakan ilham serupa dengan sebuah persembahan yang lebih current dan soulful lewat “Astana” dan “Aura”. Kedua-duanya datang dengan penciptaan cukup sifat Ernie tanpa mengingatkan kita pada lagu-lagu lain. Namun kedua-duanya tewas, jadi jika “Kamu” di top 3 tahun ini saya pandang atas bawah sahajalah juri-juri kita.
“Kemana Ni” (Kmy Kmo / Luca Sickta / Salammusik) harus bergelar juara tahun ini.
Mengapa? Saya jelaskan. Jika anda pembaca Muzik Kita hal ini mungkin sudah saya ulang berkali-kali. Pertama lagu yang baik itu harus punya originality dan penyatuan Kmy Kmo, Luca Sickta bersama Salammusik menerusi “Kemana Ni” menciptakan satu harmoni baru pada sifat, pernyataan dan keperluan Hip-Hop untuk bernadi atas landasan pengaruh muzik berbeza. Dan atas harmoni ini jugalah satu sound baru tercipta.
Pengaruh Hip-Hop Nusantara yang dibawa Kmy dan Luca bergabung sangat baik dengan identiti Raggae Salammusik. Ia mengalir, bergerak dan menyatu di satu titik temu dengan sebaiknya. Instrumentasi yang beragam lewat lagu ini tidak kedengaran canggung. Kekuatan ada pada dinamik yang dicipta lewat verse berganti verse yang ditulis – pembahagian part Luca, Kmy dan Salammusik dibahagiakan sebaiknya kemas dalam mengisi 3 minit 43 saat dengan solid.
Liriknya bercerita rasional dilema kebanyakan kita. Ia menjadi representasi kini tanpa cerita cinta yang melelahkan seperti lagu lain kecuali “Semacam Pandora”. Banyak bait yang sangat sedap ditulis dalam tanpa perlu beragenda “Banyak soal dari jawapan dan berharapan ilmu percuma” // “Fleksibel mentaliti pasti nanti jadi titi, Titi bawa jati diri taruh nyawa demi diri” // “Selagi nadi aku kan keluar cari, Adakalanya risky mencari rezeki.”
At this point, mungkin anda tertanya menagapa bukan “Tiwikarma” pilihan Muzik Kita? Jawapan saya mudah sahaja berbalik pada originality. Betul lagu ini ada penulisan lirik yang sangat baik, isunya juga baik. Cuma sejak pertama kali mendengar sehinga berkali-kali saya mendengar mencari istimewanya lagu ini, ia akan membawa ingatan saya pada hampir kesemua lagu-lagu Malique (Perang Dah Tamat). Dan saya jarang teruja dengan konsep salin dan ikut ini.
Tapi saya faham jika “Tiwikarma” dipilih sebagai juara nanti alasannya apa. Especially kalau jurinya seusia mak saya seperti tahun lepas, I mean secara logiknya takkan mak saya nak pilih “Risiko” atau “Diam” of course dia akan pilih “Hening Rindu” yang dianggap puitis dan merdu. Namun untuk berevolusi kita perlukan jiwa yang terbuka dengan pembaharuan, peka dengan muzik kini dan teruja mengkaji hal-hal baru bukan sekadar mengikut teks lama dalam menilai.
Pilihan kedua saya untuk bergelar juara adalah “Tak Adil” (Aisha Retno / Radi) yang bergerak atas satu landasan Pop yang paling komersial tanpa terjerat dengan kehendak pasaran muzik semasa tempatan yang mahukan one ballad after another. Aisha sebagai komposer, penyanyi dan penulis lirik begitu beragam visi muziknya. Kali ini percubaan menggugah ilham Pop Rock begitu menjadi dengan penjiwaan Aisha yang sangat baik.
Lagu ini memiliki korus yang cukup kuat dan ikonik. “Di mana letaknya, Hati yang harusnya kau jaga.” “Tak Adil” bergerak sebagai sebuah emansipasi, tentang keadilan dan hak dalam belenggu emosi. Ia ditafsir dengan muzik yang datang dengan cita rasa kekinian, segar dan jiwanya menjadi representasi generasi kini.
Lagu-lagu lain seperti awal yang saya katakan tadi kebanyakannya average. Jika harus memilih Balada, “Lemah” (Dayang Nurfaizah / Hael Husaini) memiliki susunan muzik yang paling baik dan saya sukakan feel Country Ballad yang ada di lagu ini namun melodinya terlalu straight forward tidak mengikat.
“Tangisan Seorang Pendosa” (Marsha Milan / Hazama) ada jiwa Balada Melayu yang cukup besar dan lirik Hazama juga ada sesuatu yang bersifat humanisme untuk dibicarakan. Bercakap tentang Hazama, “Semacam Pandora” antara yang memiliki lirik yang baik namun melodinya itu tak cukup kuat untuk diangkat sebagai juara.
Empat dekad dalam mentafsir ilham terbaik dalam penciptaan lagu, AJL saya kira sudah mewakili banyak suara dalam membentuk landskap muzik berbeza. Sehingga hari ini kemenangan lagu seperti “Apa Khabar”, “Itu Kamu”, “GILA” dan “Pelukan Angkasa” berjalan di atas satu landasan tipis mewakili suara dan pemikiran tahun penganjuran diacarakan. Tahun ini sekali lagi bakal menciptakan juara yang baru semoga akan ada keterujaan baru untuk sebuah kelangsungan meraikan kepelbagaian dalam bermuzik.
TOP 5 MK
- Kemana Ni (Kmy Kmo / Luca Sickta / Salammusik)
- Tak Adil (Aisha Retno / Radi)
- Tangisan Seorang Pendosa (Marsha Milan / Hazama)
- Lemah (Hael Husaini / Dayang Nurfaizah)
- Cak Cak Cekuk (Shane Kennedy / Karim Karam / Iqie Hugh / Wani Kayrie)
ARTIKEL BERKAITAN