
Lagu: my Mystery
Artis: Isyana Sarasvati
Komposer / Lirik: Isyana Sarasvati
Produser: Kenan Loui
Menjadi pemuzik itu seharusnya menjadi satu ruang untuk setiap pengkarya bebas dalam bermuzik. Pertaruhan muzik itu tidaklah haru sterlalu menurut apa yang pendengar mahukan sahaja tetapi ia beriring tanggungjawab meninggikan pemikiran dan citarasa muzik dalam masyarakat.
Ruang bebas ini diambil sepenuh tanggungjawab oleh Isyana Sarasvati, yang berawal sebagai sosok pemuzik dengan bingkisan Pop yang cukup manis lewat “Keep Being You” dan menjadi wanita yang cukup dewasa dengan muzik Klasikal, Progressive Rock yang datang dengan penuh kejutan.
Setelah menghadirkan “Lexicon” sebuah album Klasikal yang ditunjang produser muzik Kenan Loui, dia semakin selesa dengan pertaruhan muzik begini sebagai lambang kedewasaannya bergerak sebagai pemuzik. Single “Il Sogno” menyusul setelah “Lexicon” diteruskan lagi dengan sebuah karya yang semakin keras dan bebas.
“my Mystery” pertaruhan terbaru yang melepaskan jiwa radikalnya dalam bermuzik. Terhasil dalam paduan muzik Rock yang lebih progresif mengembalikan ingatan saya pada kugiran wanita berkerudung – Voice of Baceprot yang mengendong ilham serupa dalam muzik mereka.
Isyana saya kira bijak dalam merangka kembaranya dalam bermuzik yang tercipta untuk dikenang saat andai kata dia mahu mengundurkan diri daripada bidang muzik satu hari nanti, kesemua lagu-lagunya akan menjadi bahan bicara yang sangat menarik untuk dikaji.
Diskografinya bergerak dalam fasa yang berbeza dan cukup menarik jika diingatkan kembali. Setelah fasa solo dia bergerak dengan projek kolaborasi bersama Afgan dan Rendy Pandugo yang memberi impak cukup besar sebelum kemudiannya bergerak dalam sisi muzik Klasikal yang menjadikan perjalanan muziknya nyata berbeza dengan bakat-bakat lain yang ada.
“my Mystery” pastinya menjadi salah satu lagi naskhah yang saya kira terhasil cukup personal baginya. Lagu ini mungkin sebuah representasi dirinya yang seperti apa dia mahu pendengar lihat dan bicarakan tentangnya. Dan biar ia agak sukar untuk pendengar biasa, lagu ini akan pasti meresap perlahan sebelum benar-benar membuat kita jatuh suka.
8.5/10
ARTIKEL BERKAITAN