
Lagu: Kayaba
Artis: No Good
Komposer / Lirik: Ali Johan Edrei / Syed Ismail / Wan Azry
No Good tahun lalu menerusi ep paling pendek saya dengar dengan durasi 10 Minit 17 Saat, tampil dengan bunyi yang cukup berani melawan arus pasaran muzik tempatan terhasil cukup membanggakan. Album berjudul “Demo Kawe” hadir cukup unik dalam dialek Kelantan yang disaluti keras muzik mereka.
Single “Che Using” sudah kami letakkan dalam senarai 50 lagu terbaik tahun lalu memberi satu warna berbeza yang amat sangat diperlukan pasaran muzik tempatan. Maka dengan tertubuhnya band ini saya kira kita sudah boleh bernafas lega kerana muzik diraikan kembali dalam kepelbagaian sifatnya.
Tidak mahu terus terikat dengan “Che Using” selamanya, No Good terus menzahirkan karya baru dalam kekangan ruang dan waktu era lockdown ini dengan single terbaru berjudul “Kayaba”.
“Kayaba” terhasil dalam ilham Reggae sebelum keras di korusnya dalam DNA muzik Punk mereka. Menulis tentang isu wang dan kepayahan, lagu ini sekali lagi seperti lagu-lagu No Good sebelum ini bergerak sebagai kritikan sosial masyarakat.
Bait-bait yang ditulis dalam dialek Kelantan dalam lagu ini sangat menarik minat saya yang tidaklah begitu faham sebahagian kata-katanya tetapi cukup seronok untuk dinikmati. Bait “Selok hujung bule baru ingat tuhey, Allahuakhbar” itu saja sudah cukup intrig.
Lagu ini merupakan single perdana untuk perjalanan menuju album penuh yang bakal berisi 11 lagu nanti. No Good antara pemuzik tempatan yang seharusnya diberi lebih perhatian dalam pasaran muzik semasa. Lagu-lagu mereka unik, ada kesegaran dan bergerak tersendiri.
6.7/10
ARTIKEL BERKAITAN
Mendekati Cerita Si Luncai Dan Labu-Labunya Menerusi Single “Labu” Budak Nakal Hujung Simpang