
Kembara muzik Raja Ema di era 80-an diisi dengan tiga album awal yang terisi dengan rangkaian Pop yang cukup catchy, ringan dan mudah dinikmati dengan persembahan vokal cukup bubbly Raja Ema.
Penghasilan 3 album yang saya maksudkan adalah Vol.1 (1985), Vol.2 (1986) dan Vol.3: Titik Bermula (1988) yang terisi dengan feel keriangan dalam intipati lirik kisah muda mudi di era tersebut.
Muzik di album Raja Ema terhasil dengan pengaruh Pop 80-an dengan pengaruh City Pop dan Synth Pop dalam kemasan produksi muzik programming yang mentafsir pasaran muzik ketika itu.
Beberapa hits penyanyi ini seperti “Angan-Angan” dan “Jejaka Idaman” menjadi antara ritma malar segar yang masih diingati sehingga hari ini. Bersama produser muzik hebat seperti Fauzi Marzuki dan Kesuma Booty juga Jenny Chin, album-album Raja Ema tidak terhasil dalam kualiti yang baik sekalipun lagu yang dipertaruhkan bersifat ringan.
Pasaran Pop 80-an ketika itu cukup berwarna dengan rangkuman muzik rancak yang mendominasi carta muzik di radio khususnya. Dan Raja Ema menerusi rangkaian hitsnya yang pasti saja dibantu populariti filem-filem lakonannya ketika itu begitu membantu namanya berada di radar popular.
Menerusi album keduanya “Vol.II” saya paling tertarik dengan lagu ciptaan Jenny Chin berjudul “Biarlah Aku Buktikan” yang benar-benar memberi tafsiran muzik di era 80-an. Seperti apa yang kita dapat dengar di album Freedom, Headwind, Sheila Majid dan Famieza antaranya.
“Senandung Rindu” sebuah lagi lagu yang cukup bagus pernah dirakamkan Raja Ema. Mendengar album ini saja sudah membuatkan saya kira banyak sangat lagu yang boleh dirakamkan semula dengan semangat City Pop dan Disko.
Namun pasaran muzik begini tidak begitu penting sangat di Malaysia. Jika di tanah seberang Indonesia semakin banyak bakat muda yang mahu mengembalikan pasaran muzik begini. LaleIlmanNino, Diskoria, Lalahuta, Vintonic antaranya.
Sebuah apresiasi Pop 80-an begini saya kira haurs diraikan pengamal muzik muda hari ini khususnya bagi satu kelangsungan hayat lagu-lagu malar segar yang cukup baik penghasilannya ini.
Mendengarkan kembali lagu-lagu Raja Ema pada hari ini saya kira cukup besar visi pemuzik di era 80-an untuk menyamakan standard muzik lokal dengan apa yang ada di pasaran global ketika itu.
Kesemua lagu-lagu malars segar Raja Ema ini boleh anda dengarkan di saluran YouTube Getaran Nostalgia yang disediakan Universal Music Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN