
Lagu: Cinta di Akhir Garisan
Persembahan: Aisha Retno / Adira / Marsha Milan / Nadeera
Komposer / Lirik: Paul Begaud / Johari Teh
Produser: Ajai
Ilham rakaman semula menjadi satu kelangsungan Pop malar segar tempatan bernadi terus bagi didendangkan generasi berganti. Dalam memberi satu variasi ia menjadi satu penghasilan penting bagi melihat potensi lagu-lagu sedia ada ditinggikan standard muziknya. Hal ini sudah jelas sejak era sebelumnya – Sheila Majid meramu irama P. Ramlee lewat album legenda sehingga Dayang Nurfaizah di era Belagu nya.
Itu bary rangkaian lagu-lagu klasik belum lagi persembahan Pop yang sudah melalui arus baru muzik dengan interpretasi berbeza. Boleh jadi lebih baik dan ada juga kebarangkalian menjadi kurang menarik. Kemasan muzik semula dengan idea yang baru seharusnya seiring peredaran zaman. Jika sekadar mahu mengulang idea serupa ia sekadar okey sahajalah.
Apa yang Syafinaz persembahkan menerusi Syhhh.. satu contoh terbaik intepretasi baru yang cukup berevolusi. Lagu-lagu di album tersebut seperti memiliki hayat baru yang begitu menarik. Ilham sample yang banyak dalam lagu-lagu Hip-Hop juga menjadi salah satu ilham yang menarik untuk dihayati.
Terkini, Ajai meramu kembali Pop ikonik “Di Akhir Garisan” sebagai “Cinta di Akhir Garisan” yang lebih awal dipersembahkan cukup solid Nora, Ning Baizura, Ziana Zain dan Dessy Fitri. Sehingga hari ini lagu rakaman semula ‘End of the Line‘ daripada grup wanita Honyez itu sebati dalam sejarah Pop kolaborasi tempatan.
Dan di tahun ini mengemudi sebuah era baru naskhah ini bersama Aisha Retno, Adira, Marsha Milan dan Nadeera adalah kemasan muzik semula Ajai bersama Mac Chew yang mengemas kini instrumentasi string di lagu ini. Lebih istimewa lagu ini beriring orkestra Budapest Scoring Orchestra.
Apa yang saya mahukan sebagai pendengar adalah seuatu yang lebih kekinian dan datang dengan rendisi baru yang membezakan versi yang baru ini dengan versi sebelumnya. Namun setelah sekali dua dan beberapa minggu lamanya mengulang dengar saya tidak mendapat apa-apa magis daripada versi asalnya.
Yang terhasil menarik bagi saya hanyalah instrumentasi orkestra Budapest Scoring selain itu saya kira ia terlalu terletak pada satu acuan serupa seperti apa yang biasa kita dengar. Persembahan vokal keseluruhan baik namun ada kala rasa kurang mesra. Saya tidak pasti jika mereka berempat merakamkannya bersama atau sebaliknya tapi jika tidak bersama sekali di studio saya faham mengapa adunan rasanya kurang mesra.
Ia bukanlah penghasilan yang teruk namun ia sekadar interpretasi serupa tiada yang terlalu lebih dan tidak juga kurangnya. Cuma kalau anda seperti saya yang mencari rasa rasa yang berbeza, rendisi yang baru ini sekadar akan ada dan berlalu sahaja.
7/10
ARTIKEL BERKAITAN