
Lagu: Sayang Orang Sama
Persembahan: Adira Suhaimi
Komposer / Lirik: Mas Dewangga / Jova Devito / Dato’ Arisz Abdrul Rahman JP.
Produser: Mas Dewangga
Lewat sebenarnya lagu ini menangkap pendengaran saya dan sebetulnya hanya setelah melihat Danny (Big Stage Rocketfuel) mempersembahkan lagu ini, ia menarik pendengaran. Dan lebih menambah keterujaan pabila melihat lagu ini dihasilkan dua pemuzik muda Mas Dewangga dan Jova Devito yang saya kira melalui satu transisi dalam penciptaan muzik yang cukup bereksperimantasi sound Pop nya sehingga menghasilkan Pop high stream untuk Fiq7.
Kembali ke lagu “Sayang Orang Sama” jujur ia tidak menarik minat saya awalnya. Barangkali kerana ia berbalik pada penciptaan sebuah Balada patah hati. Namun entah mengapa ia menjadi addictive semakin didengar dan mungkin itulah magis yang ada pada penciptaan kedua-dua komposer pelapis ini.
Melewati lagu ini dengan satu sudut pandang berbeza membawa saya pada persoalan mengapa ia begitu popular. Dan saya temu dua jawapan pada persoalan ini. Pertama melodinya mudah, menjerat dengan sekali pendengaran terutama bahagian korusnya dalam bait “Ku masih sayang orang yang sama // Hingga ku terluka // Masih aku setia.”
Siapa saja yang tidak lepas daripada fasa move on mampu untuk tidak relate dengan cerita yang ditulis bukan. Ia bersambung dengan bait-bait rindu “Ku masih rindu orang yang dulu // Tetap aku menunggu // Walau kau ada yang baru.” Kisah sayang dan rindu yang pasti akan sentiasa dekat dengan pendengar tempatan.
Dan kedua saya kira melodi Mas dan Jova di bahagian korus lagu ini begitu kuat dan original sekali. Kali kedua, ketiga sampai berkali-kali mendengarkannya semakin sedap dan meresap rasa. Saya suka cara mereka berdua megolah lagu ini tanpa perlu terlalu memasukkan banyak hal-hal muzik yang menjadikan ia naskhah yang kompleks. Kerana sifat Balada itu sememangnya tentang feel juga emosi dan kedua-dua elemen ini yang menggerakkan “Sayang Orang Sama” sebagai naskhah Balada yang baik.
Saya percaya dengan kemampuan seroang Mas Dewangga mengolah muzik dia mampu menjadikan kemasan lagu ini beragam bunyi tapi saya juga semakin pasti dia semakin faham dengan apa yang pendengar mahukan iaitu rasa. Dan rasa jugalah yang diberikan sebaiknya Adira lewat persembahannya yang sederhana tapi sampai.
Pada saat menulis ulasan ini saya kira mungkin betul jika lagu itu fungsinya untuk menyentuh kita sebagai pendengar tanpa perlu terlalu menjadi kompleks dan menunjuk-nunjuk kemampuan yang ada. Tidak kira keupayaan mengolah nota muzik atau nyanyian yang bermacam-macam hal tekniknya. Dan ya, lagu ini menyentuh dalam kesederhanaan yang diperlukan sebuah Balada.
8.2/10
ARTIKEL BERKAITAN