
Lagu: Sejambak Bunga
Persembahan: Ernie Zakri
Komposer / Lirik: Hael Husaini / Iqie Hugh
Produser: Hael Husaini / Iqie Hugh
Lama juga menantikan kembalinya Ernie berkolaborasi bersama Hael Husaini sebetulnya. Lapangan muziknya yang dua tiga tahun kebelakangan ini berarah pada paksi Indonesia dengan single seperti “Hal Hebat”, “Masing-Masing”, “Nostalgia” sehingga duet bersama Anggi Marito menerusi “Kisah Penuh Kecewa” dan Andi Rianto menerusi “Perjalanan” membentuk landskap yang berbeza.
Namun fasa itu sebetulnya banyak menguntungkan Ernie dengan capaian lagu yang lebih meluas, penjenamaannya itu sedikit sebanyak melebar ke tanah seberang. “Masing-Masing” sahaja sudah distrim puluhan juta kali di hampir kesemua gedung muzik digital.
Perkhabaran album duet masih dinanti dan pastinya kolaborasi tersebut bakal meneruskan satu keterujaan menikmati muzik Ernie itu sendiri. Mengolah kembali muziknya pada sebuah kolaborasi penggubah muzik tempatan, dia kembali dengan sebuah naskhah kini berjudul “Sejambak Bunga”.
Lebih manis, Ernie yang sebelum ini banyak bekerjasama dengan produser muzik seprti John Jeeves membuka satu ruang baru landskap muziknya dengan karya ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh. Melihat nama Hael sebagai komposer saja saya kira kita semua sudah terujua, Hael master dalam penciptaan melodi bersifat kekinian dan sound seperti apa yang bakal diisi buat Ernie itu sesuatu yang kita semua look forward pastinya.
Kedua-duanya pernah bersatu dalam pesona lagu raya sebenarya. Namun untuk persembahan Pop ini mungkin yang pertama. Beredar awal Ogos lalu nyata penciptaan keseluruhan lagu ini tidak mengecewakan. Setidaknya ia mengisi kekosongan Pop tempatan yang agak sunyi tahun ini dengan melodi yang mengikat.
Transisi Balada di lagu ini datang dalam sebuah komposisi yang lebih dalam emosinya. Kemasan muziknya memiliki depth yang membenarkan Ernie mengeluarkan segala keupayaannya dalam bercerita lewat persembahan nyanyian. Korus terhasil menjerat dengan sekali pendengaran. Liriknya juga menyatu sempurna dengan penghasilan melodinya.
“Aku berdiri Meski terluka // Ku beri sejambak bunga tanda aku hargai // Terima kasih // Kerna dirimu ku temui Aku.” bernadi sebagai sebuah penceritaan emansipasi wanita dalam merelakan dan bertumbuh sebagai persona yang baru. In a way ia kembali pada fitrah kebanyakan lagu-lagu Ernie yang begitu membangkitkan jiwa wanita dalam penulisan lirik-liriknya.
Kemasan muziknya Iqie sangat baik dalam memberi ruang Ernie bereksplorasi sepuasnya dengan nyanyiannya. Di bahagian hujung lagu ini datang dengan satu modulasi yang cukup mega. Cuma sebagai pendengar yang kurang gemar alunan nada tinggi yang tak berhujung saya agak terganggu. Tapi saya faham misinya untuk menyampaikan erti pembebasan suara itu sendiri dan pada masa yang sama membuat penggemar Ernie sama tinggi jeritannya.
Lagu ini saya kira tiada masalah untuk memiliki hayat panjang sebagai naskhah popular. Ernie juga sudah cukup stabil sebagai penghibur yang memiliki fan base yang cukup kuat untuk membawa lagu ini ke tahap yang lebih luas penerimaannya dan pastinya bakal mengembalikan Ernie ke pentas AJL.
7.8/10
ARTIKEL BERKAITAN