
Persembahan di pentas akhir Gegar Vaganza All Stars (2022) bersama Hady Mirza menerusi duet “Seandainya Masih Ada Cinta” menjadi titik awal hati berbisik apa Dayang okey? Tubuhnya mengecil, cantik itu semakin pasti tapi keupayaannya di pentas semakin berkurang. Saya masih in denial. Maklumlah peminat.
Setelah itu, lewat fasa “Belagu II” dengan konsert bersama MPO di DFP membuat saya kembali senang dengan alunannya. Dan nyata konsert tersebut juga menjadi antara momen paling penting kembara bermuzik lebih dua dekadnya. Semuanya sebati menjadi sebuah jiwa baru di era paling majestic seorang Dayang Nurfaizah.
Namun hal ini saban tahun semakin merisaukan. Persembahan di pentas-pentas kecil walau dalam 2-3 minit begitu menggangu pendengaran saya. Dan menjadi satu lagi pentas pembuktian hati kembali membisik “Dayang you’re not okay” ketika dia menjadi artis jemputan di pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-38 (2024).
Medley “Seandainya Masih Ada Cinta” dan “Lelaki Teragung” yang dipersembahkannya malam itu menjadi momen SMAC dan Lelaki Teragung teraneh dalam pengalaman saya mendengarkan Dayang. Tenaganya mengurang, auranya buram dan wajah juga terampilannya jelas terlihat dia lelah.
Dan usai persembahan malam itu masih saya tidak endahkan. She’s okay. Sehingga beberapa hari lalu menonton persembahan Dayang di pentas Filharmonik Petronas menerusi konsert Simfoni Diraja UKM 2026 membuat saya semakin empati dengannya. Dan ia berlarutan sehingga persembahan “Lemah” semalam di pentas AJL 40.
Is she cannot sing anymore?
Itu persoalan berat saat saya menonton malam tadi. Mengapa sebegitu sekali? Dayang yang saya kenal tenaga nyanyiannya luar biasa. Saat nota pertama dilantun, mulut mula dibuka, nafas dihela semuanya sempurna. Melihatkan kembali persembahan “Tak Pernah Menyerah” dan “Lelaki Teragung” di AJL yang lepas-lepas membuatkan saya puas dengan nyanyiannya dan mendengarkan sound yang terhasil hari ini bezanya jauh sekali.
“Lemah” bukanlah lagu yang paling sukar dinyanyikan secara live dan sejujurnya ia mungkin single yang paling straight forward dalam persembahan nyanyian. Tiada itu dan ini semuanya mengikut landasan melodi paling simple dalam kesederhanaan emosi yang dituntut dalam penyampaian.
“Tak Pernah Menyerlah” juga simple tapi di pentas AJL kemasan muzik Genervie Kam menjadikan ia kompleks dan membenarkan Dayang mengeluarkan segala keupayaan yang dia miliki. Di pentas wajahnya penuh seri semangat saat menyanyikan lagu tersebut seiring dengan segala kemahuan dan kemampuan yang ada.
Saya tidak menulis artikel ini kerana mahu membuka aib atau menyebar hina dan benci tetapi sebagai pendengar yang membesar, mendengar dan menonton Dayang dari pentas sempit Planet Hollywood saban bulan sehingga ke pentas besar Istana Budaya dan Dewan Filharmonik Petronas – Saya hilang Dayang yang saya kenal dan kagum dulu.
Dayang hari ini semakin cantik malah ini fasa tercantik yang dia pernah lalui, juga mungkin fasa terbahagianya sebagai wanita. Saya hargai semua itu namun ia perlahan-lahan menghilangkan tenaganya di pentas, attitude yang cukup distingtif dan momen jaw dropping dalam persembahannya itu sudah tiada. Tidaklah saya mengharapkan fasa Beyonce-nya pada usia 45 tahun tetapi setidaknya saya tidak mahu melihat dia struggle setiap kali harus berpentas.
Untuk Dayang, beristirahatlah. Ambillah masa sebanyak mana yang perlu. Dua, tiga atau lima tahun sehingga semuanya pulih sepenuhnya.
Sebuah anekdot, Hafizan Mohd.
ARTIKEL BERKAITAN