
Lagu: Sadis
Persembahan: Aina Abdul
Komposer / Lirik: Aina Abdul
Produser: Vega Antares
Aina Abdul meniti sebuah perjalanan muzik yang cukup direstui pendengar muzik tempatan. “Sumpah”, “Sepi”, “Semalam”, “Terus Hidup” sehingga “Jangan Mati Rasa Itu” datang dalam teras Power Ballad yang pastinya digilai pendengar tempatan. Emosi yang merenggut rasa, belting and high notes yang tiada hujungnya menjadi satu formula daya tahan Aina mengikat pendengar semasa.
Namun sejujurnya setelah “Terus Hidup” saya agak lelah dengan idea serupa Aina namun saya memahami keperluan seorang Aina Abdul untuk terus berkarya di ranah muzik semasa, itu penilaiannya. Namun di sela-seli persembahan Baladanya, saya masih teruja dengan karya-karya Inggeris seperti “Blue” dan “I Lost Me” yang masih saya ulang dengar sehingga hari ini.
Tahun ini dengan rencananya beragam Aina mencuri perhatian saya lewat penghasilan “Sadis” yang beredar beberapa bulan kebelakangan. Mendengarnya buat pertama kali sudah membawa ingatan saya pada lagu-lagu AKMU yang berlegar konsep serupa. Saya tidak pasti jika ini rujukannya tapi saya bahagia dan begitu menyenangi persembahan keseluruhan lagu ini.
“Sadis” terhasil sebagai sebuah naskhah yang membuat saya kembali teruja menikmati muzik Aina, melodinya begitu baik dengan idea pada penulisan lirik yang merangkum kisah yang cukup relevan dan lebih ‘muda’ naratifnya. Transisi verse ke korus yang lembut membuai benar-benar membernarkan emosi yang sepatutnya berlegar dan meresap pendengaran.
Penulisan lirik Aina juga berbeza kali ini. Tanpa perlu lagi perlambangan dia menulis terus tentang perasaa, kesedihan dan penyesalan dengan bersahaja. “Detik ini menit ini // Aku tersedar aku rindu pada suaramu.” dan korusnya semakin menjerat “Benar kata orang // Bila takda baru nak rindu // Bila di depan mata // tak dihargai.”
Kemasan muzik dan produksi lagu ini benar-benar meninggikan standard muzik Aina Abdul sebagai seorang pemuzik Pop. Lagu ini membuat Aina keluar daripada zon selesa Balada bunuh diri yang cukup banyak sebelum ini dan keputusannya untuk terus bereksplorasi dengan sound baru begitu saya raikan. Visinya begitu jelas dalam kemasan muzik Vega Antares ini. At this point, saya kira ini karya terbaik seorang Aina Abdul pernah hasilkan.
9/10
ARTIKEL BERKAITAN