
Keberagaman pasaran muzik tempatan melalui satu transisi muzik yang melangkau ilham Pop semasa oleh bakat-bakat tempatan yang sentiasa mahu menghasilkan sesuatu yang di luar kebiasaan. Pengaruh muzik global yang lebih niche dijadikan sebuah teraju dalam membentuk satu pentafsiran muzik baru yang bernadi sebagai gerak fikir dan sudut pandang baru.
Atas alasan itu, NJWA melalui satu peralihan bermuzik daripada Najwa Mahiadin. Daripada persembahan tradisional Soul dan R&B yang berat emosi, Najwa menjadi NJWA sebagai sebuah transisi yang memberi pentafsiran baru muziknya.
Ethereal, Neo-Soul dan Cloudy R&B membentuk sesuatu yang lebih berkesperimentasi. Muziknya semakin terperinci dengan sound yang lebih berat. Melodi seperti terapung diawangan dengan vokal yang seakan melayang. Hal ini jelas dalam EP “Aurora” yang beredar pada tahun 2014.
Dan di sini, sebuah terma baru dalam muzik diperkenalkan. Anti-Pop, sebuah persembahan muzik yang menolak ilham Pop semasa tetapi beralih pada idea baru, percantuman cabang muzik berbeza dan eksperimentasi dengan instrumentasi berbeza yang kebiasaannya diterajui sebuah teknologi baru yang membentuk sound baru.
Hal ini jelas dalam pentafsiran baru NJWA lewat “Seri Mersing” yang datang dengan sebuah persembahan serba baru dalam membentuk nyawa baru irama klasik itu. “Seri Mersing” pada versi NJWA berbalut sound yang lebih urban yang dibentuk dengan beat, efek dan loop dalam persembahan yang hanya mengambil bahagian verse lagu asal tersebut.
Ia sehingga hari ini menjadi rakaman ulang yang paling ikonik dalam membentuk ilham baru sebuah lagu lama. Hal ini mengambil masa yang panjang untuk ia diteruskan bakat lainnya, pada tahun 2019 lewat penghasilan “Sireh Pinang”, Asmidar mengemudi ilham serupa.
Berbalik pada persembahan “Aurora” NJWA bergerak cukup berani dalam membentuk muzik barunya di saat ramai pendengar muzik semasa sudah yakin dengan sound R&B Soul yang dia persembahkan. Dan peralihan ini sebuah kejutan dan risiko sebenarnya. Ada yang menggemari dan tidak kurang semakin ramai yang tidak memahami siapa NJWA yang baru ini.
Namun itu tidak membawa satu arus rubah pada pendirian muziknya, NJWA masih kental dalam bereksperimentasi dengan muziknya. Pada 2018 sebuah lagi EP berbekal tiga lagu semakin membawa NJWA ke lembah bunyi yang semakin bereksperimentasi.
Lagu-lagu seperti “Ocean”, “In The Name of Love” dan “Togok” yang mengambil komposisi Gamelan membentuk sebuah lagi persembahan yang cukup jauh meninggalkan ilham Pop semasa. Ia sebuah representasi idea, pemikiran dan cita rasa bermuzik NJWA yang semakin luas juga beragam – tanpa mahu terikat idea serupa sepanjang masa.
Asmidar menerusi projek “Keronchong Bilek Ayer” membawa satu konsep muzik yang dengan visual yang cukup mesmerizing. Penyatuan dua budaya muzik – Melayu menerusi Keroncong dan sound Foley effect atau apa saja termanya membentuk dinamik baru dalam muzik.
Apa yang dihasilkan Asmidar menerusi ppojek ini adalah sesuatu yang abstrak. Ia diteruskan dengan rakaman ulang “Bahtera Merdeka” yang semakin membebaskan sebuah ilham baru, segar dan dewasa. Ia penghasilan yang mungkin agak asing buat pendengar yang biasa dengan lagu-lagu popular tetapi secara perkembangannya ia sesuatu yang sepatutnya diraikan.
Namun tidak ramai yang mahu mencabar pendengaran dengan sound yang baru, yang mahu memahami tidak hanya mendengar.
Maka dengan itu projek “Keronchong Bilek Ayer” tidak berterusan walaupun saya kira jika ada pihak yang mahu menaungi gerakan ini sebenarnya ia mampu menjadi aset eksport yang baik untuk menjual idea baru penciptaan muzik tradisional dengan sound yang lebih current dan berisi satu visi dan semangat yang baru bagi menghidupkan terus karya terdahulu.
Kaka Azraff, menjadi antara penyanyi R&B Pop tempatan yang berdiri atas paksi muzik yang tersendiri. Dan tidak salah juga dalam ramai-ramai penyanyi wanita yang menolak ilham Pop semasa, Kaka antara yang paling berjaya menembus batas norma penyanyi wanita.
Barisan hitsnya diterima atas faktor penghasilan muzik lebih komersial berbanding NJWA atau Noryn Aziz. Hip-Hop yang disatukan sebagai elemen utama dalam lagu-lagunya dihasilkan dengan melodi yang cukup mengikat. Kebanyakan lagu-lagu ALYPH yang diciptakan buat Kaka benar-benar memberi justifikasi buatnya sebagai penyanyi wanita R&B Pop yang berjaya.
Gerakan Muzik Kini
Killamisha, Heidi Moru, Lunadira, Zamaera dan Khodi antara bakat muzik pelapis yang memiliki sesuatu yang bergerak luar daripada radar muzik kebiasaan. Killamisha dalam persembahan Hyperpop, Heidi meneroka ilham Folk dan Khodi dalam persembahan Jazz yang sentiasa bereksperimen.
Semua ini membentuk satu sisi berbeza penciptaan lagu-lagu yang memberi satu kepelbagaian dan pilihan buat pendengar tempatan yang mahukan sesuatu yang keluar daripada muzik mainstream yang semain berulang ilham serupa.
Lunadiran dan Zamaera memiliki satu potensi besar untuk hayat panjang muzik mereka tanpa perlu bergantung pada pasaran muzik tempatan. Produksi muzik tempatan lewat penghasilan album dan single yang telah dihasilkan memiliki standard tinggi seperti apa yang ada di pasaran muzik global. Album Lunadira masih saya letakkan antara tempatan terbaik yang dihasilkan era pasca-covid.
Dan bercerita tentang eksperimentasi, seorang lagi bakat muzik gradual Berkeley, Jo Lixian datang dengan debut album “Slept on It” membawa sound Jazz yang secara dasarnya asing di sini. Namun atas ilmu, kepekaan dan pengaruh muzik yang beragam membentuk satu pemikiran muzik yang membebaskan Jo sebagai pemuzik dengan cita rasa berbeza.
Kepentingannya
Berbalik kepada keberagaman dalam muzik, itu yang sangat diperlukan dalam dunia yang dikawal sepenuhnya kehendak pendengar hari ini. Tiada lagi creative control, peranan A&R yang semakin berpaksi bisnes dan terus menerus mengikut (atau menyalahkan) kehendak pendengar.
Apa yang ditawarkan bakat-bakat yang menawarkan muzik berbeza ini adalah sesuatu yang penting dalam membentuk landskap muzik tempatan yang lebih beragam dan sihat. Tidak tergantung atau terikat pada idea serupa sepanjang masa.
Lunadira, NJWA, Killamisha dan yang lainnya memberi saya pilihan untuk menikmati muzik yang berbeza yang keluar daripada kebiasaan Balada umumnya yang semakin melelahkan. Saya percaya ramai lagi pendengar tempatan yang mahu pendengaran mereka dicabar dengan sound berbeza dan memiliki satu harapan besar muzik tempatan mampu berpaksi pada pasaran muzik yang cita rasa serta pemahaman muziknya tu beragam dan bervisi jauh.
ARTIKEL BERKAITAN