
Jika anda sering membaca ulasan Muzik Kita, perkataan bodoh dalam lirik adalah perkataan yang paling terhalang. Kalau lagunya sebagus mana pun dek kerana ada perkataan bodoh itu kuranglah ratingnya. Saya bingung kadang keliru mengapa kita suka sangat ‘membodohkan’ diri sendiri dalam nyanyian?
Daripada “Bodohnya aku melepaskanmu” – Sumpah (2019) sehingga yang terbaru “Atau apakah aku terlalu bodoh” – Terlalu Bodoh (2025) membuat saya tertanya-tanya sanggup kita membdohkan diri berkali-kali menyanyi berulang kali dengan membodohkan diri sendiri. Some said it just a song tapi saya percaya kata-kata berulang itu satu doa. Dan saya tak salah. Terbukti pun kesahihannya.
Kita memiliki kosa kata yang sangat banyak, luas dan beragam menggantikan ‘kebodohan’. Sifat bodoh dalam kebanyakan lagu menggambarkan kekecewaan dan kekecewaan bukan hanya berpaksi pada kata ‘bodoh’. Ia satu tindak tanduk dan persoalan – menggantikan “Bodohnya aku melepaskanmu” kepada “Mengapa aku melepaskanmu?” itu lebih meliputi fungsi penulisan lirik harus puitis. Dan di mana puitisnya perkataan bodoh itu?
Shila Amzah merilis lagu berjudul “Bodoh” (2018) dengan lirik “Bodohnya aku masih merindu” yang juga boleh diganti dengan persoalan “Mengapa aku masih merindu?” begitu juga dengan lagu daripada Tajul “Bodohnya diri ini // Termakan rayuan manismu” yang boleh diganti juga dengan kata soal “Mengapa diri ini // Termakan rayuan manismu?”.
Saya selalu juga percaya karyawan dalam apa bidang sekali pun datang dengan tanggungjawab – untuk berkongsi hal-hal yang baik, pengaruh yang baik dan sebelum hilang meninggalkan apa yang tersisa adalah hal-hal yang baik sahaja. The very last thing yang kita mahu orang cakap tentang kita adalah hal yang baik bukan hal yang bodoh.
Jika benar bahasa itu jiwa bangsa, mahukah kita isinya dengan negativiti?
Jadi di sinilah penulis lirik berfungsi sebagai manusia peka bahasa. Saya pernah berbual panjang akan hal ini bersama Habsah Hassan. Dia percaya penulis lirik punya peranan menyebarkan hal-hal yang baik. Paksi ketuhanan dan spiritual hampir ada di semua lirik-liriknya. Menerusi Habsah Hassan saya mengenal perkataan kendati (Dialah Di Hati) juga lompang (Andainya Takdir) dan daripadanya juga saya tahu jika ejaan LEGENDA itu bukan LAGENDA.
Ini yang yang dia tinggalkan pada saya setidaknya dan membuatkan saya jelas oh, bahasa Melayu sebetulnya luas dan beragam. Contoh yang baik juga harus saya beri pada Ad Samad. Kosa katanya luas, menolak perkataan klise yang sering digunakan dalam lagu. Maka dengan itu saya belajar banyak perkataan baru daripadanya.
Meliriklah juga pada penulisan hebat Mukhlis Nor yang banyak menghasilkan keindahan dan puitis bahasa Melayu dalam pendekatan moden menerusi lagu-lagu yang pernah dipersembahkan Sheila Majid (Patung, Tandanya Tandatanya, Gangguan) atau Zainal Abidin (Hijau, Telaga, Ikhlas Tapi Jauh) sehingga Pop 80-an Khadijah Ibrahim dalam lagu “Perasaan Mengganggu”.
Kosa kata hanya terbina dengan pembacaan, pengamatan pada penulisan sastera dan warisan. Ada banyak hal baik jika kita kembali meneliti penulisan Loloq, S. Amin Shahab, Keon Omar, Johan Nawawi antaranya.
Saya juga suka untuk menyebut nama Slen Fadzil (Gelita, Tanpa Rela) dan Shah Shamsiri (Sampai Bila, Mahakarya Cinta) yang menulis lirik lagu-lagu Balada dengan penulisan yang puitis dan menyentuh. Tanpa perlu menjadi terlalu cengeng bait lirik ditulis penuh emosi dan membentuk satu naratif yang indah.
Saya percaya masih ramai penulis berbakat dan bijaksana di luar sana yang peka akan hal ini, sebagai pemuzik carilah individu-individu ini untuk menulis lirik kerana kepakaran mereka diperlukan untuk sebuah kelestarian bahasa indah, puitis dan luas kosa katanya.